Isnin, 28 Disember 2015 | 12:18am

Search jawab tuduhan Yazid


SERING dibelenggu tohmahan mengabaikan seorang anggota mereka yang menghadapi sakit kegagalan buah pinggang, Nasir selaku pemain bass Search mengakui, jelak menjawab persoalan serupa.

Beliau memohon supaya Yazid, yang juga pemain dram kumpulan itu untuk memikirkan perasaan anggota lain sebelum membuat sebarang kenyataan negatif, sekali gus mencalarkan imej Search.

Biarpun menjelaskan dirinya masih mampu dan berupaya untuk membuat persembahan, Nasir meminta Yazid tidak terlalu mengikut emosi, sebaliknya meletakkan diri beliau ditempat anggota Search yang lain.

"Saya sebenarnya sudah bosan menjawab soalan yang sama saja. Setiap kali Search merancang mengadakan konsert atau acara yang besar, cerita mengenai Yazid pasti timbul. Ada saja kenyataan kurang enak yang dibangkitkan oleh Yazid.

KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar (kanan) bergambar bersama Kumpulan Search selepas menyampaikan Anugerah Ikon Sepanjang Kegemilangan, Anugerah Juara Lagu kepada kumpulan itu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
KETUA Pegawai Eksekutif Rangkaian Televisyen Media Prima Bhd, Ahmad Izham Omar (kanan) bergambar bersama Kumpulan Search selepas menyampaikan Anugerah Ikon Sepanjang Kegemilangan, Anugerah Juara Lagu kepada kumpulan itu. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Saya meminta Yazid untuk berlaku adil kepada anggota Search yang lain kerana kami juga perlu bekerja mencari rezeki demi menanggung keluarga. Tidak wajar menuding jari menyalahkan kami tanpa sebab yang munasabah kerana dia sendiri perlu tahu kemampuan dirinya untuk kembali beraksi di pentas.

"Benar, Yazid memiliki semangat juang yang tinggi atas permintaan peminat. Namun, dia perlu sedar keadaan kesihatannya tidak mengizinkan untuk terus bergerak aktif seperti dulu. Pergerakannya terbatas, apatah lagi untuk bermain dram," kata Nasir kepada BH PLUS.

Nasir berkata, keadaan kesihatan Yazid turut dipersoalkan oleh pihak penaja sebelum mereka melaburkan wang kerana tidak mahu menanggung risiko dan bertanggungjawab dengan sebarang masalah yang mungkin terjadi.

Vokalis kumpulan itu, Amy turut bersetuju dengan kenyataan yang dibuat oleh rakan seperjuangannya itu.

KUMPULAN Search, Amy (depan) bersama Kid (kiri) Nasir (dua dari kiri) dan Nordin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.
KUMPULAN Search, Amy (depan) bersama Kid (kiri) Nasir (dua dari kiri) dan Nordin. - Foto Nurul Syazana Rose Razman.

Malah, beliau terkilan sering terpalit dengan dakwaan mereka meminggirkan Yazid dan tidak mempedulikan bebanan kos rawatan yang ditanggungnya.

"Siapa kata kami meminggirkan Yazid? Mereka yang melemparkan dakwaan tidak berasas itu seharusnya menyelidik terlebih dahulu usaha kami bagi membantu Yazid yang memerlukan bantuan.

"Kami tidak menggantikan tempat Yazid sebagai pemain dram Search sebaliknya menggunakan khidmat pemain saksafon untuk mengisi kekurangan pada muzik yang dipersembahan kepada penonton. Sebarang kenyataan berhubung penyingkiran Yazid juga tidak pernah dibuat kerana ia tidak benar.

"Banyak pihak tidak tahu yang kami membahagikan hasil yang diperoleh daripada persembahan dan konsert kepada Yazid.

BANYAK pihak tidak tahu yang kami membahagikan hasil daripada persembahan dan konsert kepada Yazid, ...Search. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BANYAK pihak tidak tahu yang kami membahagikan hasil daripada persembahan dan konsert kepada Yazid, ...Search. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Kami tidak pernah melupakan untuk memberi bahagian Yazid kerana tahu dia juga memerlukan wang. Malah wang persembahan yang kami terima, walaupun persembahan berlangsung tanpanya, kami tetap beri (diagihkan kepada lima orang) kerana dia adalah ahli kami.

"Benar, kami tidak melancarkan tabung khas untuk Yazid, namun kami mengambil pendekatan untuk memberi sejumlah wang hasil persembahan kepadanya. Malah, kami berbesar hati dengan bantuan banyak pihak untuk meringankan beban yang ditanggungnya," tegas Amy.

Amy berkata, beliau bersyukur apabila ramai pihak yang cuba membantu Yazid dengan mengumpulkan dana untuknya.

Namun, beliau bimbang jika ada pihak yang cuba mengambil kesempatan menggunakan nama Yazid untuk mendapatkan derma daripada orang ramai.

KUMPULAN Search minta Yazid supaya tidak terlalu mengikut emosi dan fikirkan perasaan anggota lain sebelum buat kenyataan. - Foto Munira Abdul Ghani
KUMPULAN Search minta Yazid supaya tidak terlalu mengikut emosi dan fikirkan perasaan anggota lain sebelum buat kenyataan. - Foto Munira Abdul Ghani

Mengulas mengenai perkembangan kerjaya, Amy berkongsi Search merancang untuk mengadakan sebuah konsert berskala besar sempena ulang tahun ke-35 mereka berkecimpung dalam industri seni.

Tambah Amy, mereka membuat perancang teliti bagi memastikan konsert itu berbeza berbanding konsert sebelum ini.

"Kami masih lagi menjalani proses perbincangan bagi merencana butir lanjut mengenai konsert yang dijadualkan pada tahun hadapan.

"Kami berjanji konsert sempena 35 tahun kami menapak dalam industri itu menampilkan kelainan berbanding persembahan sebelum ini.

"Oleh itu, kami enggan terburu-buru membuat keputusan, sebaliknya meneliti setiap aspek dengan lebih mendalam.

"Kami berharap peminat setia Search akan menyokong semua strategi yang disusun dan teruja dengan usaha kami untuk mengadakan konsert itu nanti," kata Amy.

WANG persembahan yang diterima, walaupun tanpanya, tetap dibahagi lima kerana dia adalah ahli kami, ...Amy. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
WANG persembahan yang diterima, walaupun tanpanya, tetap dibahagi lima kerana dia adalah ahli kami, ...Amy. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Berita Harian X