Jumaat, 1 Januari 2016 | 12:07am

Keimanan, ikhlas asas persaudaraan sebenar

FIRMAN Allah SWT: "Dan kenanglah nikmat Allah kepada kamu ketika kamu bermusuh-musuhan (semasa jahiliah dulu), lalu Allah menyatukan di antara hati kamu (sehingga kamu bersatu padu dengan nikmat Islam), maka menjadilah kamu dengan nikmat Allah itu orang Islam yang bersaudara." (Surah Ali-Imran, ayat 103)

Imam Zamakhsyari dalam tafsirnya Al-Kasyaf ketika menghuraikan ayat di atas menyebut bahawa permusuhan antara Aus dan Khazraj sebelum kedatangan Rasulullah SAW ke Madinah memakan masa 120 tahun dapat dipadamkan dengan persaudaraan Islam dan kerana Allah.

Ayat itu juga menggambarkan persaudaraan adalah inti bagi keimanan dan sumber perasaan mulia ada dalam hati orang Mukmin.

Persaudaraan yang tulen dianggap sebagai satu nikmat besar selain daripada nikmat Islam timbul daripada akidah yang satu.

Persaudaraan Islam mewajibkan tolong-menolong bukan secara membuta tuli, tetapi atas dasar menegakkan kebenaran dan melenyapkan kebatilan seperti mencegah pencerobohan serta mengembalikan hak orang yang teraniaya.

Sabda Rasulullah SAW: "Jangan kamu tercegat berdiri melihat seseorang dipukul dengan penuh kezaliman kerana laknat akan turun ke atas sesiapa yang melihatnya tanpa mencegah perbuatan itu." (Riwayat At-Tabrani).

Perasaan sedih terhadap orang lain yang ditimpa kesusahan menyebabkan seseorang berusaha menolong dan tidak akan berasa tenang selagi penderitaan orang itu tidak dapat dikurangkan atau dihilangkan.

Sabda Rasulullah SAW: "Bandingan orang Mukmin pada sifat kasih sayang dan bertimbang rasa antara mereka umpama jasad yang satu, andai kata salah satu anggotanya mengadu sakit maka sekalian anggota yang lain berjaga malam dan demam." (Riwayat Bukhari)

Bersandarkan semangat hadis itu, jika kita melihat sesuatu keburukan dilakukan kepada saudara Islam yang lain atau berlaku penghinaan dan pengaiban ke atas dirinya maka kita bersedia membantu sehingga dia duduk kembali ke tempat yang selayak untuknya.

Sudah tentu kewajipan itu menjadi semakin berat bagi mereka yang mempunyai pangkat dan kuasa dalam masyarakat.

Kuasa bukan bererti seseorang itu boleh mendabik dada atau berbangga dengannya, tetapi hendaklah menggunakan untuk membantu orang lain dengan penuh keikhlasan.

Antara tanda persaudaraan yang tulen ialah apabila seseorang berasa gembira dengan nikmat dan kebaikan diterima oleh orang lain, seolah-olah nikmat itu diperoleh oleh dirinya sendiri.

Sehubungan itu, Islam berusaha membasmi perasaan tamak dan mementingkan diri sendiri dengan menegakkan persaudaraan sebenar serta menekankan bahawa dunia ini bukan untuk kepentingan dirinya saja.

Masyarakat berkasih sayang yang berpandukan prinsip Islam, persaudaraan sebegini sebenarnya mengangkat ke mercu paling tinggi mengatasi persaudaraan berdasarkan keturunan dan bangsa. Bukti paling jelas ialah semangat kerjasama masyarakat Madinah.

Firman Allah SWT: "Dan orang (Ansar) yang mendiami negeri (Madinah) serta beriman sebelum mereka, mengasihi orang yang berhijrah ke negeri mereka dan tidak ada pula dalam hati mereka perasaan berhajatkan apa yang telah diberi kepada orang yang berhijrah itu dan mereka juga mengutamakan orang yang berhijrah itu lebih daripada diri mereka sendiri, sekalipun mereka dalam keadaan kekurangan dan amat berhajat." (Surah al-Hasyr, ayat 9)

Inilah bentuk persaudaraan yang sebenar di bawah rantaian iman dan akidah, bukannya atas dasar bangsa, kebendaan serta faedah keduniaan sementara yang diperoleh.

Ajaran Islam dari semua sudut memupuk persaudaraan seperti ini supaya ia tidak dicemari unsur yang boleh mengeruhkan keheningannya.

Justeru, tidak dibenarkan seseorang itu walaupun sekadar mengganggu fikiran atau perasaan orang lain.

Sabda Rasulullah SAW: "Tidak halal bagi seorang Muslim menakutkan Muslim yang lain." (Riwayat Abu Daud)

Apa jua yang boleh membawa kepada menyakiti tubuh badan dan emosi orang Islam lain atau yang menghampiri perbuatan menceroboh, maka semua itu dianggap jenayah. Apatah lagi perbuatan yang betul-betul menceroboh hak orang lain.

Pada masa sama, bagi meneguhkan lagi persaudaraan ini, Islam mengharamkan seseorang berbangga-bangga dan membesar-besarkan dirinya sehingga melahirkan sifat mazmumah seperti mengeji, menghina dan merendah-rendahkan orang lain.

Sifat ini sebenarnya lahir daripada kejahilan semata-mata kerana jika ada yang lemah sekalipun ia bukannya untuk dihina tetapi dibantu dan diperkasakan.

Satu lagi pendekatan al-Quran untuk mewujudkan persaudaraan sebenar dan menghapuskan perbezaan sengaja diada-adakan ialah dengan menekankan tiada perbezaan keturunan dan bangsa, malah berbangga-bangga dengan nasab dan keturunan adalah perbuatan batil.

Firman Allah SWT: "Kemudian, apabila ditiup sangkakala, maka pada hari itu tidak ada lagi manfaat pertalian kerabat di antara mereka dan tidak pula sempat mereka bertanya-tanya." (Surah al-Mukminun, ayat 101)

Persaudaraan sebenar menuntut keikhlasan dan kejujuran untuk menjalani kehidupan berdasarkan lembayung al-Quran bukannya di atas kepura-puraan di bawah naungan hawa nafsu dan kejahilan.

Menjadi kewajipan setiap Muslim untuk melihat nilai persaudaraan yang diasaskan kecintaan kepada Allah dan Rasul menjadi penawar mujarab kepada kekhilafan yang berlaku pada umat.

* Penulis ialah Perunding Motivasi Islam Fitrah Power Resources

Berita Harian X