Selasa, 5 Januari 2016 | 12:03am

Ketahui tanda arus tempur elak lemas

MITOS mengenai arus tempur.
MITOS mengenai arus tempur.

LAPORAN terkini Pertubuhan Kesihatan Sedunia (WHO) mencatatkan 372,000 orang lemas setiap tahun di seluruh dunia. 

Daripada jumlah itu, kira-kira 90 peratus kes lemas berlaku di negara berpendapatan rendah dan sederhana.

Laporan itu juga menyebut, lebih 40 kes lemas dilaporkan setiap jam dan dalam kebanyakan kes berlaku pada musim cuti sekolah dan perayaan.

Malaysia juga tidak terkecuali, yang mana pada musim cuti persekolahan, kes lemas meningkat sama ada di pantai atau air terjun mahu pun kawasan riadah berkaitan dengan air.

Selain fenomena kepala air yang berlaku di kawasan air terjun dan sungai yang boleh menyumbang tragedi lemas, arus tempur atau "rip current" yang terjadi di pantai juga boleh menyebabkan insiden lemas.

Arus tempur atau dikenali juga sebagai ombak dan gelombang pecah pantai, terjadi apabila ombak yang pecah di pantai menarik masuk ombak ke tengah laut dan pecah dua yang membentuk laluan di tengah-tengahnya.

FAKTA mengenai arus tempur.
FAKTA mengenai arus tempur.

Dalam keadaan biasa, ombak mengalir selari dengan pantai namun dengan adanya tiupan angin, akan terjadinya arus tempur yang melintang.

Kebiasaannya, ombak datang secara senget dan tidak menegak tetapi arus tempur bergerak terus ke pantai, pecah kepada dua bahagian dan menarik semula masuk ke laut.

Antara tanda arus tempur adalah warna air lebih gelap, air laut nampak tenang dan tidak berombak, serpihan sampah sarap dan rumpai laut di pantai.

Di Amerika Syarikat dan Eropah, arus tempur dikenal pasti antara penyebab utama kematian dan pihak berkuasa pantai di negara itu menyediakan panduan dan papan tanda khusus mengenai aspek keselamatan dan ancaman arus tempur.

Pengarah Pusat Kejuruteraan Pantai dan Lautan Universiti Teknologi Malaysia (UTM), Prof Dr Ahmad Khairi Abd Wahab, berkata apabila terkena arus tempur, orang yang sedang berenang atau bermain air di pantai akan ditarik arus itu.

APA perlu dilakukan jika disedut arus tempur.
APA perlu dilakukan jika disedut arus tempur.

Katanya, mangsa yang panik apabila terperangkap dalam arus itu akan cuba berenang ke pantai, tetapi sebenarnya mereka berenang melawan arus itu dan berada jauh dari pantai.

"Akibatnya mangsa kepenatan dan hilang ditelan ombak. Orang ramai yang mengalami keadaan ditarik arus tempur, tidak boleh berenang melawan arus sebaliknya berenang ke kiri atau ke kanan arus itu untuk keluar dari aliran arus berkenaan," katanya.

Ketika ini, tiada kajian ilmiah khusus dijalankan untuk mengesan kejadian arus tempur yang boleh berlaku di mana-mana kawasan pantai di negara ini.

Bagaimanapun, pengamatan beliau mendapati arus tempur kerap berlaku di Desaru dan Mersing, Johor pada Mac dan April akibat perubahan angin monsun.

"Saya mencadangkan kajian ilmiah dilakukan untuk mengenal pasti lokasi arus ini. Dengan kajian itu, pihak berkuasa boleh mengenal pasti lokasi itu, sekali gus mengurangkan kes lemas," katanya.

SAIZ dan kelajuan arus tempur.
SAIZ dan kelajuan arus tempur.

Kejadian 'ditelan' arus tempur boleh dielakkan jika pengunjung dapat mengesan dan mengenal pasti fenomena itu.

Justeru, beliau mencadangkan pihak berkuasa tempatan dan pihak yang bertanggungjawab dengan kawasan pantai menyediakan papan tanda untuk memaklumkan mengenai arus tempur serta cara menyelamatkan diri.

Sementara itu, Setiausaha Kehormat Persatuan Penyelamat Kelemasan Malaysia (LSSM), Geh Thuan Tek berkata, orang ramai perlu mengetahui tanda kejadian arus tempur supaya tidak terperangkap di dalamnya.

"Paling penting, jika ini berlaku, orang ramai dinasihatkan tidak panik sebaliknya berenang secara melintang bukannya berenang ke pantai," katanya.

Berita Harian X