Isnin, 11 Januari 2016 | 12:06am

Pakar IT jual ayam penyet

TUJUAN asalnya ke Singapura ketika itu adalah atas urusan perniagaan teknologi maklumat (IT) yang diusahakannya, namun sekembalinya ke tanah air, lain pula ceritanya.

Bagi Amran Abd Hamid, 41, kunjungan itu merintis kepada minat baharunya untuk beralih bidang daripada perniagaan IT kepada mengusahakan perniagaan makanan dan minuman (F&B) hingga munculnya jenama Dapur Penyet.

Ia susulan keenakan hidangan ayam penyet yang dinikmatinya di sebuah gerai di Singapura ketika itu, yang mana Amran merasakan makanan itu berpotensi untuk dikembangkan di negara ini.

Hasil perbincangan dengan pengusaha gerai itu yang berasal dari Indonesia, Edy Ongkowijaya, beliau membawa resipi berkenaan ke Malaysia dan membuka restoran pertamanya di Kompleks Maju Junction Kuala Lumpur pada Oktober 2010.

PENGARAH Urusan Dapur Penyet, Amran Abd Hamid. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGARAH Urusan Dapur Penyet, Amran Abd Hamid. - Foto Mohd Yusni Ariffin

"Saya memperkenalkan konsep baharu untuk perniagaan itu dengan memperkenalkan jenama Dapur Penyet dan mengusahakannya dalam bentuk restoran berbanding kios sebelumnya," katanya dalam satu temubual, baru-baru ini.

Amran adalah Pengarah Urusan Resepi Arena Sdn Bhd, francaisor Dapur Penyet yang kini sudah mengembangkan operasi ke empat negara iaitu Singapura, Brunei, Indonesia dan Myanmar serta memiliki lebih 60 cawangan.

Keunikan Dapur Penyet ialah, walaupun menu masakannya berasal dari Indonesia, ia diwujudkan dan mula berkembang sebagai rangkaian restoran di Malaysia, sebelum meneroka pasaran antarabangsa termasuk negara asalnya, Indonesia.

Amran adalah orang yang bertanggungjawab membangun dan memperkenalkan jenama Dapur Penyet serta konsep perniagaan itu. Bersama-sama Edy, yang juga rakan kongsi strategiknya, mereka sama-sama mengembangkan perniagaan itu ke peringkat antarabangsa.

Menurut Amran, selepas tertubuhnya Dapur Penyet, beliau mula mengatur strategi untuk memperkembangkan lagi perniagaan itu dengan membangunkan sistem serta memperkenalkan produk dan perkhidmatan baharu.

AMRAN bersama tukang masak di dapur restoran Dapur Penyet di Maju Junction. - Foto Mohd Yusni Ariffin
AMRAN bersama tukang masak di dapur restoran Dapur Penyet di Maju Junction. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Dapur Penyet ialah syarikat pertama restoran Ayam Penyet yang mendapat pensijilan halal Jakim pada tahun 2011.

"Apabila jenama Dapur Penyet sudah mantap dan mempunyai sistem yang baik, barulah saya mula menawarkan perniagaan itu secara francais," katanya yang meraih Anugerah Francaisor Harapan 2015 daripada Persatuan Francais Malaysia (MFA).

Mengimbas latar belakang kerjayanya, sebaik menamatkan pengajian peringkat ijazah, Amran berkhidmat sebagai kontraktor pembersihan landskap dan membuka syarikat kontraktor perkhidmatan untuk Indah Water Konsortium.

Namun, kerugian dialami ketika mengusahakan perniagaan itu memaksanya kembali bekerja makan gaji dengan berkhidmat di sektor awam selama dua tahun, sebelum bertukar kerjaya sebagai pegawai IT di Telekom Malaysia Bhd (TM).

"Minat menebal dalam perniagaan menjadikan saya tidak begitu selesa kerja makan gaji, maka saya berhenti daripada TM dan menubuhkan syarikat IT sendiri yang kemudian merintis kepada penubuhan Dapur Penyet," katanya yang menubuhkan Dapur Penyet bermodalkan wang syarikat IT yang diusahakannya.

AMRAN bersama kakitangan restoran Dapur Penyet di Maju Junction. - Foto Mohd Yusni Ariffin
AMRAN bersama kakitangan restoran Dapur Penyet di Maju Junction. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Amran berkata, tahun awal penubuhan Dapur Penyet cukup getir kerana selain terpaksa bersaing dengan pengusaha perniagaan ayam penyet lain, beliau turut mengalami kerugian sehingga memaksanya menumpukan sepenuh perhatian terhadap perniagaan itu serta mengkaji segala punca bagaimana untuk mengatasi kerugian dan memperoleh kejayaan dalam perniagaan itu.

"Alhamdulillah, saya berjaya mengenal pasti semua punca itu. Apabila tumpu sepenuh perhatian, baru saya menyedari perniagaan ini amat berpotensi tetapi semua kos kena ambil kira.

"Jangan kompromi dengan kualiti dan perlu ada prosedur operasi standard (SOP) untuk memudah serta melancarkan operasi," katanya yang turut terhutang budi dengan Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) dan Perbadanan Nasional Bhd (PNS) dalam mengembangkan perniagaannya itu.

Dapur Penyet merancang membuka 10 cawangan di negara ini pada tahun ini di lokasi berpotensi seperti Shah Alam, Melaka, Johor Bahru, Terengganu dan Pulau Pinang, selain mengembangkan sayap ke Sabah dan Sarawak menjelang tahun 2017.

PENGARAH Urusan Dapur Penyet, Amran Abd Hamid (tengah) bergambar bersama kakitangan restoran "Dapur Penyet" di Maju Junction selepas temubual bersama Nadibiz. - Foto Mohd Yusni Ariffin
PENGARAH Urusan Dapur Penyet, Amran Abd Hamid (tengah) bergambar bersama kakitangan restoran "Dapur Penyet" di Maju Junction selepas temubual bersama Nadibiz. - Foto Mohd Yusni Ariffin

Amran berkata, pihaknya mensasarkan semua cawangan baharu itu dikendalikan sepenuhnya secara francais dan bagi tujuan itu, Dapur Penyet turut menjalin kerjasama dengan institusi kewangan dalam menyediakan pinjaman kepada francaisi untuk membantu mereka menjadi usahawan.

"Kami berharap lebih banyak sokongan diberikan daripada kerajaan dan syarikat milik kerajaan bagi membantu melahirkan lebih ramai usahawan Bumiputera menceburi perniagaan ini," katanya mempelawa usahawan yang berminat menjadi francaisi Dapur Penyet.

Amran berkata, pelaburan minimum yang diperlukan bagi mereka yang berminat menjadi francaisi adalah kira-kira RM500,000 termasuk latihan, peralatan, pengubahsuaian, stok dan sebagainya.

Beliau berkata, pihak Syarikat juga melabur kira-kira RM200,000 setahun dalam usaha meningkatkan lagi mutu perkhidmatan serta menaikkan jenama Dapur Penyet melalui kempen pemasaran yang efektif.

"Daripada pengalaman Dapur Penyet mengusahakan 10 cawangan milik sendiri, kebiasaannya pihak syarikat mampu memberi pulangan modal selepas beroperasi antara satu hingga tiga tahun berdasarkan lokasi dan perkara ini amat menggalakkan," katanya.

Sehingga kini, Restoran Dapur Penyet mempunyai 14 cawangan di Malaysia, antaranya di Maju Junction Mall, Bandar Baru Ampang, Kota Damansara, Wangsa Maju, Alam Damai, Selayang Mall, Cyberjaya, Mydin Seremban 2, Presint 15, Putrajaya dan terbaharu di IOI City Mall, Putrajaya.

PROFIL

Nama: Amran Abd Hamid

Jawatan: Pengarah Urusan Resepi Arena Sdn Bhd (Dapur Penyet)

Tarikh lahir: 29 Disember 1974

Asal: Seberang Prai, Pulau Pinang

Kelulusan: Ijazah Sarjana Muda Pentadbiran Korporat UiTM

Berita Harian X