Rabu, 13 Januari 2016 | 12:13am
JUARA Master Chef Selebriti musim kedua, Syura masih belum bersedia mencari pengganti suami dan berserah kepada takdir. - Foto Afendi Mohamed.
JUARA Master Chef Selebriti musim kedua, Syura masih belum bersedia mencari pengganti suami dan berserah kepada takdir. - Foto Afendi Mohamed.
SYURA ketika menjuari Master Chef.
SYURA ketika menjuari Master Chef.

Syura mengaku cerai talak dua

KUALA LUMPUR: Penyanyi dan bekas juara Master Chef Selebriti musim kedua, Syura, memohon maaf berikutan kekeliruan yang timbul berhubung status rumah tangganya bersama bekas suami, Mohd Fadhly Md Yassin.

Syura, 30, berkata dia mengambil tindakan itu dengan tidak mendedahkan keadaan rumah tangganya ketika itu kerana perlu menjaga hati ramai orang.

"Apatah lagi bekas keluarga mentua adalah dalam kalangan sanak saudara sendiri.

"Banyak aspek yang perlu saya ambil kira. Saya tak boleh mementingkan diri sendiri saja. Saya bukan sengaja bertindak demikian.

"Saya harap penjelasan ini akan menjelaskan situasi sebenar. Semua dilakukan demi kebaikan semua," katanya yang sedang menuntut dalam semester akhir bidang seni kulinari di Universiti Tun Abdul Razak (UNITAR), Kelana Jaya.

SYURA tiada masalah menjaga anak kerana biasa hidup susah. - Foto Afendi Mohamed.
SYURA tiada masalah menjaga anak kerana biasa hidup susah. - Foto Afendi Mohamed.

"Cukuplah saya beritahu, orang di luar sana perlu tahu saya sudah menjadi ibu tunggal. Jika diikutkan, memang agak rumit untuk menjelaskan masalah rumah tangga kami.

"Ini kerana sebelum ini memang ada kekeliruan daripada segi lafaz cerai dan rujuk," katanya.

Syura yang popular dengan lagu berentak irama Malaysia seperti Nazam Berkasih dan Bakawali, berkahwin dengan Mohd Fadhly pada 16 April 2006.

Mereka dikurniakan tiga cahaya mata iaitu Nurul Dania, 9, Nurul Qaisara Sofea, 7, dan Mohd Irfan Aryan, 3.

Lebih setahun dia 'mengunci mulut' berhubung keadaan rumah tangganya itu dan kini mengesahkan bercerai talak dua dengan Mohd Fadhly.

Enggan menyatakan tarikh perceraiannya itu, dia berharap dengan penjelasan itu, segala persoalan berhubung status dirinya itu tidak lagi diungkit.

SYURA bersama bekas suaminya.
SYURA bersama bekas suaminya.

Sudah biasa hidup susah

Ditanya soal penjagaan anak, Syura atau nama sebenarnya Zuraidah Badron berkata dia dan bekas suami sepakat mengambil tanggungjawab bersama dalam membesarkan anak-anak.

"Memang tiada hitam putih dalam soal siapa yang perlu jaga anak. Biarpun sudah tidak sebumbung, kami mahu kasih sayang ibu dan bapa kepada anak-anak berterusan.

"Kalau saya ada komitmen di luar daerah, bekas suami akan dimaklumkan dan dia akan menjaga anak kami. Suami juga boleh bertemu anak pada hujung minggu," katanya yang menetap di Kelana Jaya bersama tiga anaknya itu.

Sudah biasa hidup berdikari, Syura tidak menghadapi masalah menguruskan anak-anak sendirian dan mencari rezeki buat keluarga.

Datang daripada keluarga susah, Syura sedia mengharung cabaran hidup serta menunaikan tanggungjawab sebagai ibu dan bapa.

"Saya sudah biasa hidup dalam kesusahan dan kesukaran. Sejak usia sembilan tahun lagi saya sudah menyara keluarga dengan menyanyi.

FOTO Syura bersama anaknya yang dikongsikan di laman sosial.
FOTO Syura bersama anaknya yang dikongsikan di laman sosial.

"Saya datang daripada keluarga miskin. Arwah ayah bekerja sebagai pengawal keselamatan dan kesihatannya ketika hayat tidak baik. Ibu pula hanya bekerja kilang. Saya menyanyi di rumah orang kahwin, kediaman Menteri Besar Johor dan Yayasan Kesenian Johor.

"Alhamdulillah, apabila pernah dibesarkan dalam situasi begitu, apa yang saya lalui sekarang mampu saya tempuhi," katanya.

Syura berkata, tawaran membuat persembahan tidak pernah putus sekali gus membolehkan dia menikmati pendapatan stabil.

"Saya ada komitmen membayar rumah dan kereta setiap bulan. Ketiga-tiga anak saya sudah bersekolah termasuk si kecil dan kos perbelanjaan mereka memang tinggi sekarang," katanya.

Berserah soal jodoh

gn4id:11454032

Mengenai kemungkinan mencari pengganti suami, Syura pantas menjawab dia belum bersedia.

"Saya ada ramai kawan lelaki tetapi yang betul-betul serius memang tidak ada. Untuk berkahwin kali kedua, saya perlu banyak mengambil kira sama ada bakal suami dapat menerima anak.

"Saya mencari lelaki yang bertanggungjawab, bukan kepada saya tetapi kepada anak. Saya realistik dan tak beritahu akan menolak jodoh kalau ia tiba.

"Soal jodoh ini kita tak dapat jangka bila ia akan datang. Kalau jodoh datang cepat, saya terima," katanya.

Syura mengaku jika ditakdirkan dirinya rujuk semula dengan bekas suami sekalipun, dia hanya berserah.

"Kalau ditakdirkan kami bertaut kembali, saya hanya mampu berserah dalam soal ini.

"Nak kata tak sunyi itu, tipulah. Tapi kehadiran anak dapat melenyapkan rasa sunyi yang bertandang," katanya yang tidak melepaskan peluang bercuti dengan anak-anak jika ada kelapangan.

Berita Harian X