Selasa, 19 Januari 2016 | 12:11am

Inspirasi minimum pilihan gaya 2016

Sama ada disedari atau tidak, aliran gaya di negara ini tahun demi tahun berputar pantas pada paksi yang sama dan lazimnya, berpandukan apa yang dikeluarkan pemain industri di kota fesyen, Paris, Milan, London dan New York.

Justeru, gaya dipersembahkan di pentas peragaan di empat kota fesyen itu menjadi ikutan dan paling digemari pereka serta peminat fesyen.

Berlandaskan busana dipersembahkan rumah fesyen seperti Dior, Celine, Calvin Klein, Moschino, Louis Vuitton dan banyak lagi, beberapa gaya paling menonjol sudah pasti akan turut menyerikan fesyen 2016 di Malaysia.

Diperincikan gaya popular yang bakal memeriahkan industri fesyen, terutama yang menjadi pilihan kota fesyen New York, Paris, Milan dan London atau The Big Four menjadi perhatian fesyen kelas dunia.

1. Pakaian

Seperti diramalkan majalah fesyen antarabangsa, Vogue mahupun portal fesyen lain, gaya tahun ini lebih kepada inspirasi minimum, sederhana tetapi glamor.

Jenama seperti Fendi, Moschino dan Chanel tahun ini membuat peraturan fesyen yang lebih kepada relevan untuk disarungkan.

Sementara itu, Calvin Klein, Mugler dan Anthony Vaccarello misalnya, memperincikan potongan mikro yang lebih menyerlahkan kaki pemakai melalui potongan skirt mini yang cantik potongannya.

Untuk fesyen musim sejuk 2016, ia lebih kepada corak bulu haiwan. Fesyen bulu dinamakan Snow White, bakal memeriahkan kalendar fesyen 2016 dengan mengangkat elemen lembut, hangat dan putih suci.

Jenama terkemuka seperti Louis Vuitton, Stella McCartney dan Giambattista Valli, misalnya inovatif menginterpretasi gaya klasik dalam dimensi berbeza.

Giambattista Valli pula ke hadapan dengan menampilkan gaya baju berbulu dalam konsep kontemporari dipadankan dengan seluar putih bercorak.

Tahun ini, kebanyakan jenama fesyen mengangkat cetakan seperti motif geometri, baldu, jalur dan sulam tampal dalam senarai koleksi fesyen mereka.

Miu Miu dan Mix Mara antara jenama yang mencipta kelainan menerusi cetakan bercorak.

Tidak ketinggalan gaya jaket, yang akan terus mewarnai fesyen 2016.

2. Warna

Rona untuk tahun 2016 memperincikan adunan pastel, lembut dan ton yang membentuk emosi lebih tenang dalam penataan fesyen.

Pilihan warna itu merujuk kepada ramalan syarikat percetakan dan warna, Pantone yang sememangnya sering kali menjadi rujukan dunia fesyen.

Warna disenarai syarikat ini masih mendapat perhatian penilai warna dan fabrik dunia fesyen itu.

Antara warna yang disenaraikan adalah rose quartz, peach echo, serenity, limpet shell dan kopi susu.

Diramalkan, warna ini lebih kepada pembentukan warna yang diadun dengan sifat semula jadi manusia.

Christion Dior dan Gucci, misalnya mengangkat warna pastel dalam koleksinya tahun ini. Ia bakal memberi inspirasi kepada pemakai koleksinya untuk menghargai diri dan alam sekeliling.

3. Kasut dan tas tangan

Untuk koleksi tahun 2016, kasut rata, sandal dan but lebih menjadi perhatian dunia fesyen dan menarik minat pereka kasut untuk menghasilkan ciptaan yang lain daripada lain.

Namun, tumit tinggi masih diperjuangkan barisan pereka, cuma nampak diskriminasi fesyen memihak kepada bertumit yang lebih fleksibel, retro dan tidak memperlihatkan gaya feminin. Kemasan terperinci turut diberikan tumpuan pada rekaan kasut.

Lihat saja Fendi, jenama besar dunia ini memaksimumkan penggunaan perincian pada permukaan kasut dan memberi persepsi berbeza dalam rekaannya.

Begitu juga Chanel yang masih taat menggunakan konsep dalam setiap rekaannya.

Berteraskan gaya fesyen but, Chanel mengekalkan konsep jenama dalam senarai kalendar fesyen tahunannya. Begitu juga, jenama lain seperti Gucci, Isabel Marant yang masih memperjuangkan inspirasi feminin dalam koleksi musimnya.

4. Aksesori

Graf penggunaan aksesori dalam fesyen dilihat melonjak untuk tahun 2016 ini, berbanding tahun lalu.

Ia diramalkan lebih kepada trend aksesori yang minimum dan tidak berlebihan, tetapi dijangkakan persembahan yang berani.

Malah, butiran yang digunakan bukan calang-calang dan pastinya menerapkan perincian mewah. Batu permata, berlian, manik berkilau dan mutiara putih antara yang mengejar trend aksesori 2016.

Topi muncung atau potong ke hadapan dan bulat daripada warna alam bakal menghangatkan senarai aksesori perlu ada pada tahun ini. Emas dan perak bukan lagi simbol aksesori buat masa ini kerana ia berpihak kepada simbol semula jadi seperti tali hitam dengan kalungan azimat hitam.

5. Beg tangan

Jangan persoalkan apa gaya tas tangan tahun 2016. Cuma, jadikan ia kegemaran anda kerana tidak rugi menggemari koleksi beg tangan yang ditampilkan tahun ini.

Material kulit masih menjadi pilihan utama selain jenis cetakan.

Jika baju berbulu hanya layak disarungkan untuk musim sejuk, beg tangan rekaan berbulu berterusan diangkat sejak tahun lalu.

Jenama seperti Marc Jacobs, Fendi dan Salvatore Ferragamo ternyata menyenangi menampilkan beg tangan bertali dan berbulu.

Tahun ini, kuasa alam diangkat menerusi kulit haiwan, bulu haiwan dan corak abstrak yang lebih beremosi pada tas tangan.

Louis Vuitton yang pernah menghangatkan tas tangan bercetak harimau, terus memberi inspirasi kuasa alam dalam rekaannya.

Namun, yang pasti, gaya glamor, canggih dan seksi adalah penataan utama dalam pilihan garis panduan fesyen beg tangan kali ini.

Berita Harian X