Rabu, 20 Januari 2016 | 12:00am

Platun Tiger bantu kawal keselamatan perairan Sabah

Bot bagi meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan di perairan Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom
Bot bagi meningkatkan kecekapan pasukan keselamatan di perairan Sabah. - Foto Poliana Ronnie Sidom

BERMULA dengan dua anggota unit khas Platun Tiger turun dari helikopter menggunakan tali sambil membawa dua beg hitam dan dalam masa satu minit, mereka mendarat atas kapal induk Pasukan Polis Marin (PPM) sebelum menaiki dua jet ski yang menunggu di tengah laut.

Pada masa sama, letupan yang menggegarkan sekitar kawasan darat dan lokasi berhampiran kapal induk itu dipercayai angkara musuh.

Di darat pula, empat anggota Polis Gerakan Am (PGA) lengkap bersenjata keluar dari tempat persembunyian menuju ke arah jeti untuk melindungi dua anggota membawa beg hitam yang tiba di situ.

Beg hitam berisi kunci empat bot ronda Rigid Hull Fender (RHF) kemudian diserahkan kepada Pengarah Jabatan Keselamatan Dalam Negeri dan Ketenteraman Awam (KDNKA), Polis Diraja Malaysia (PDRM), Datuk Muhammad Fuad Abu Zarim yang menanti di pentas.

Kunci kemudian bertukar tangan kepada Komander PPM, Datuk Abdul Aziz Yusof dan Komander Briged Sabah, Senior Asisten Komisioner Zainuddian Samsu Hadi.

Itu antara aksi mendebarkan tetapi mengagumkan daripada anggota PPM dan gerak am pada Majlis Penyampaian Bot Ronda RHF kepada PPM dan PGA di Dataran Plaza di Sandakan, Sabah, baru-baru ini.

EMPAT anggota PGA dalam demonstrasi melindungi anggota lain. - Foto Poliana Ronnie Sidom
EMPAT anggota PGA dalam demonstrasi melindungi anggota lain. - Foto Poliana Ronnie Sidom

ANGGOTA unit khas Platun Tiger dalam aksi pada Majlis Penyerahan Bot Ronda RHFB kepada PPM dan PGA, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANGGOTA unit khas Platun Tiger dalam aksi pada Majlis Penyerahan Bot Ronda RHFB kepada PPM dan PGA, di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Cekap kemudi bot peronda

Menerusi program itu, orang ramai berpeluang menyaksikan kemampuan empat bot ronda daripada jenis gentian kaca sepanjang 14 meter dan selebar tiga meter yang dibina oleh sebuah syarikat tempatan berpangkalan di Melaka, melakukan lima jenis pergerakan mendebarkan.

Pergerakan itu antaranya formasi anak panah menggunakan kelajuan 25 hingga 35 knot membentuk pusingan bersama ke kiri secara 90 darjah bertingkat, disusuli pergerakan membentuk formasi berkelajuan tinggi yang mana setiap bot bergerak ke satu titik ditetapkan sebelum dua lagi bot bergerak ke kanan, manakala dua lagi ke sebelah kiri.

Seterusnya membabitkan lintasan garisan berkembar yang mana dua bot berada di kiri dan dua lagi di kanan dengan berkelajuan sama bergerak serentak sebelum berselisih pada satu garisan dalam jarak cukup dekat.

Formasi ikut standard antarabangsa

Keupayaan bot menggunakan dua enjin 300 kuasa kuda itu semakin terserlah ketika pergerakan pintasan empat titik zon maut yang mana bot berada di empat penjuru sebelum bergerak serentak dengan kelajuan sama dan berselisih di titik tengah.

Tambah menarik apabila bot melakukan pergerakan membentuk angka lapan yang bergerak secara berselang.

Semua formasi itu dilakukan berdasarkan pergerakan taktikal tentera laut Pertubuhan Perjanjian Atlantik Utara (NATO) yang selaras digunakan dalam setiap latihan kemahiran pengendalian bot oleh pasukan keselamatan seluruh dunia.

JET ski turut digunakan dalam pertunjukan sempena Majlis Penyerahan Bot Ronda RHFB di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
JET ski turut digunakan dalam pertunjukan sempena Majlis Penyerahan Bot Ronda RHFB di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Seiring keperluan semasa

Ketika menyempurnakan majlis itu, Muhammad Fuad berkata, penyerahan bot ronda RHFB adalah usaha PDRM melengkapkan logistik, seiring keperluan semasa PPM dan PGA di Sabah.

"Pertambahan besar dari segi kegiatan ekonomi, jumlah penduduk dan pengunjung ke Sabah, maka amat wajar jumlah bot ronda ditambah dengan aset lebih moden bagi membolehkan polis memberi khidmat tetap, cepat dan berkesan kepada masyarakat maritim," katanya.

Beliau berkata, keutamaan bagi melengkapkan aset diberi di kawasan Zon Selamat Timur Sabah (ESSZONE) bagi menangani ancaman keselamatan, terutama jenayah rentas sempadan.

Katanya, sebanyak 70 bot ditempatkan di Sabah dengan 60 daripadanya diletakkan di kawasan ESSZONE.

"Pada tahun 2016 ini, kita akan menambah aset lagi seperti bot dan helikopter bagi mempergiat operasi di pantai timur negeri ini," katanya.

Majlis ini ditutup dengan perarakan armada laut membabitkan 15 aset dengan didahului kapal induk PPM dan diakhiri helikopter Pasukan Gerakan Udara Sabah, sekali gus mendapat tepukan gemuruh dari orang ramai.

ANTARA aksi mendebarkan tetapi mengagumkan daripada anggota PPM dan gerak am pada Majlis Penyampaian Bot Ronda RHF kepada PPM dan PGA di Dataran Plaza di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom
ANTARA aksi mendebarkan tetapi mengagumkan daripada anggota PPM dan gerak am pada Majlis Penyampaian Bot Ronda RHF kepada PPM dan PGA di Dataran Plaza di Sandakan. - Foto Poliana Ronnie Sidom

Aset untuk kekang ancaman

Penambahan jumlah aset di ESSZONE membantu Kawasan Keselamatan Khas Pantai Timur Sabah (ESSCOM) untuk memantapkan operasi mengekang jenayah rentas sempadan, sekali gus mempertahankan kedaulatan Sabah.

Komander ESSCOM, Datuk Abdul Rashid Harun, berkata komitmen dan sokongan semua agensi penguat kuasa termasuk PDRM dengan melengkapkan aset serta peralatan keselamatan berupaya meningkatkan tahap keselamatan di ESSZONE.

"ESSCOM sendiri dalam proses membuat penambahan aset untuk semua agensi yang membantu mengendalikan operasi di ESSZONE.

"Ia dibuat secara berperingkat dan kita harap pada awal tahun ini, semua penambahan aset seperti dirancang mampu direalisasikan untuk mempertahankan keamanan dan kesejahteraan masyarakat bukan sahaja di laut, malah di darat," katanya.

Komander PPM, Datuk Abdul Aziz Yusof berkata, perolehan dua bot ronda RHFB itu adalah bukti kesungguhan PDRM memantapkan keupayaan aset PPM untuk menjalankan operasi di laut.

Katanya, permasalahan maritim yang kian kompleks terutama ancaman rompakan, penculikan, penyeludupan dan pendatang asing tanpa izin di perairan negeri ini adalah cabaran perlu ditangani oleh semua agensi penguat kuasa keselamatan.

"Perolehan bot ini dapat meningkatkan serta memberi khidmat lebih baik kepada masyarakat maritim," katanya.

INFO Bot Ronda RHFB

  • Buatan tempatan oleh syarikat berpangkalan di Melaka
  • Dibuat daripada jenis gentian kaca
  • Panjang 14 meter, lebar tiga meter
  • Menggunakan dua enjin dengan kekuatan 300 kuasa kuda setiap satu
  • Kelajuan maksimum mencecah 50 knot
  • Boleh memuatkan sehingga lapan orang
Berita Harian X