Rabu, 27 Januari 2016 | 12:05am
LADY Macbeth mempengaruhi suaminya untuk membunuh pemerintah dan merampas takhta. - Foto Nik Hariff Hassan
LADY Macbeth mempengaruhi suaminya untuk membunuh pemerintah dan merampas takhta. - Foto Nik Hariff Hassan

Macbeth citra tempatan gabungkan ritual, tradisional dan boneka

KEMUSNAHAN Macbeth berpunca daripada sifat tamak dan percaya ramalan ahli sihir. - Foto Nik Hariff Hassan
KEMUSNAHAN Macbeth berpunca daripada sifat tamak dan percaya ramalan ahli sihir. - Foto Nik Hariff Hassan

KETAMAKAN yang memusnahkan, menjadi inti pati utama naskhah Macbeth oleh William Shakespearse yang diadaptasi dan dipentaskan di bawah arahan penggiat teater, Ahmad Yatim di Blackbox Akademi Seni Budaya dan Warisan Kebangsaan (ASWARA), Kuala Lumpur, baru-baru ini.

Pementasan sepanjang 75 minit itu membawa hadirin menyelami kemusnahan akibat perasaan tamak tidak bertepi daripada karya agung yang ditulis Shakespeare sekitar tahun 1606.

Macbeth mengkhianati Raja Duncan hanya kerana ramalan tiga ahli sihir yang mengatakan panglima perang Scotland itu bakal menjadi raja sehingga akur dengan desakan isteri, Lady Macbeth untuk membunuh pemerintahnya ketika tidur dan merampas takhta.

Memegang tampuk pemerintahan tidak menjadikan Macbeth senang sepenuhnya, sebaliknya melalui kehidupan dengan perasaan bersalah sehingga menjadikannya sebagai manusia paranoid.

MACBETH oleh William Shakespeare yang diadaptasi dan dipentaskan di bawah arahan penggiat teater, Ahmad Yatim. - Foto Nik Hariff Hassan
MACBETH oleh William Shakespeare yang diadaptasi dan dipentaskan di bawah arahan penggiat teater, Ahmad Yatim. - Foto Nik Hariff Hassan

Lebih teruk lagi, Macbeth terpaksa merancang pembunuhan demi pembunuhan sebagai benteng menyelamatkan diri, malahan Lady Macbeth tidak kurang teruknya apabila mengalami penyakit berjalan dalam tidur setiap malam sambil membuat pengakuan pembunuhan itu.

Bagaimanapun kejahatan lambat-laun pasti berjaya ditundukkan dan akhirnya, Macbeth jatuh tersungkur bersama cita-cita besarnya apabila dibunuh.

Mesej tamak kuasai manusia

Meskipun ditulis berabad-abad lalu, Macbeth masih relevan dan sesuai dinikmati dalam menyampaikan pemikiran serta mesej mengenai ketamakan yang sering menguasai manusia, manakala usaha mementaskannya pula dapat memperkenalkan karya seniman agung kepada generasi hari ini.

Macbeth yang dipentaskan sebagai keperluan pembelajaran dan projek akhir pengajian (PeTA) itu, menampilkan konsep persembahan unik dengan elemen citra tempatan yang disampaikan melalui pendekatan teater ritual, tradisional dan boneka.

MACBETH terpaksa merancang pembunuhan demi pembunuhan sebagai benteng menyelamatkan diri. - Foto Nik Hariff Hassan
MACBETH terpaksa merancang pembunuhan demi pembunuhan sebagai benteng menyelamatkan diri. - Foto Nik Hariff Hassan

Watak Macbeth dalam pementasan kali ini dijayakan oleh pelajar Ijazah Sarjana Muda Seni Teater (Lakonan), Zaim Zainal.

Zaim berkata, beliau banyak menonton naskhah Macbeth sebelum ini yang diadaptasi ke layar perak termasuk versi baru arahan Justin Kurzel dan lakonan Michael Fassbender.

Timba ilmu, Ahmad Yatim

"Ini kali pertama saya terbabit dengan naskhah Shakespeare dan wataknya berat untuk dibawakan tetapi sebagai penggiat teater generasi muda, kesempatan menimba ilmu dengan Ahmad memang dinantikan.

"Tidak ramai pelakon yang dapat menimba ilmu daripada beliau sehingga kami sebagai pelajar, merasakan peluang keemasan ini tidak boleh dilepaskan, apatah lagi membabitkan karya seniman agung seperti Shakespeare untuk dinikmati dan dikenali generasi hari ini," katanya.

Turut membintangi produksi Macbeth termasuk Farah Idayu Fadzil sebagai Lady Macbeth; Muhammad Amir Ameezan (Duncan); Syed Atiq Wan Long (Malcolm); Abdul Hanif Ag Latif (Macduff); Nik Muhammad Aqil (Banquo); Muhammad Hazmi Faiz (Lenox) dan Khairel Izwan (Rosse).

MACBETH, Zaim Zainal (kiri) dan Farah Idayu Fadzil sebagai Lady Macbeth.
MACBETH, Zaim Zainal (kiri) dan Farah Idayu Fadzil sebagai Lady Macbeth.

Pelakon lain ialah Muhd Syafiq Ahmad Nordin dan Nawfal Mohd Zamri yang membawakan watak pembesar; Mohamad Fahim (tabib); Nur Shahirah Mohd Rafi (perwara); Muhammad Ibrahim Khairulsani (pengawal); Fadhli Masoot (Donaldbain) serta Nur Izzati Napiah (Fleance).

Selain Macbeth, karya lain Shakespeare yang turut dipersembahkan ASWARA ialah Hamlet yang juga diadaptasi Ahmad dan diarahkan Fasyali Fadzly.

Berita Harian X