Rabu, 3 Februari 2016 | 12:01am
ANGGOTA TUDM wanita bergambar selepas majlis penerimaan pesawat.
ANGGOTA TUDM wanita bergambar selepas majlis penerimaan pesawat.

Teruja kecanggihan pesawat A400M

ASET terbaharu TUDM perkasakan pertahanan udara negara.
ASET terbaharu TUDM perkasakan pertahanan udara negara.

BERPELUANG menaiki pesawat pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) sempena penerimaan pesawat kedua jenis itu baru-baru ini, menjadi kenangan paling berharga buat pengamal media tempatan, terutama penulis yang baru kali pertama dapat merasai pengalaman itu.

Tambah bertuah apabila misi itu turut disertai Menteri Pertahanan, Datuk Seri Hishammuddin Hussein yang kelihatan turut teruja ketika melangkah masuk ke dalam pesawat.

Mulanya perasaan agak gementar apabila mengingatkan pelbagai peristiwa dan tragedi membabitkan pesawat, tetapi ternyata kecekapan juruterbang TUDM serta anak kapal yang menerima latihan di Pusat Latihan Antarabangsa (ITC) di Seville, Sepanyol mengembalikan keyakinan penulis.

Penerbangan pergi balik dari Pangkalan Udara TUDM Subang ke Pelabuhan Klang yang mengambil masa kira-kira 45 minit bagaikan tidak terasa dek kecanggihan pesawat itu.

HISHAMMUDDIN meninjau A400M selepas majlis penerimaannya.
HISHAMMUDDIN meninjau A400M selepas majlis penerimaannya.

Malah, sepanjang penerbangan itu, penulis dan rakan media lain tidak terganggu dengan bunyi serta dengungan kipas kerana ia tidak sekuat seperti kebanyakan pesawat pengangkut lain hingga perlu memakai penutup telinga.

Juruterbang, pegawai dilatih di ITC

Bukan saja tempat duduk yang disediakan lebih selesa, ia turut memiliki sistem digital automatik tercanggih dan menjimatkan masa penerbangan dengan kelajuan antara 400 hingga 420 knot sejam, berbanding pesawat Hercules C130 yang digunakan TUDM.

Kelebihan lain yang dimiliki A400M iaitu mampu membawa beban berat dan besar merentasi benua dengan kelajuan jet dan masa sama, mengekalkan kemampuan taktikal untuk mendarat di landasan pendek dan tanpa sebarang penyediaan, ia juga boleh ditukar sebagai pesawat tangki untuk pengisian bahan api ke udara.

Pesawat kedua itu diterbangkan anak kapal TUDM yang terdiri daripada empat juruterbang dan empat Kuatermaster Udara dari Seville, Sepanyol dan tiba di Pangkalan TUDM Subang pada 29 Disember 2015 sebelum majlis penerimaan disempurnakan Hishammuddin pada 13 Januari lalu.

MEDIA berpeluang menaiki pesawat pertama A400M TUDM.
MEDIA berpeluang menaiki pesawat pertama A400M TUDM.

Sehingga kini, TUDM sudah menghantar 36 pegawai terdiri daripada juruterbang dan pegawai kejuruteraan serta 93 Kuatermaster dan juruteknik menjalani latihan di ITC secara berperingkat sejak suku pertama tahun 2014 bagi tujuan pengoperasian pesawat A400M.

Tahun ini, TUDM sedang menyelaraskan keperluan kursus dan latihan untuk lapan juruterbang dan loadmaster serta 24 juruteknik.

Tambah baik kawalan keselamatan

Sementara itu, Hishammuddin berkata, pesawat pertama A400M diterima pada Mac tahun lalu, manakala dua lagi pesawat sama dijangka diperoleh pada April dan November tahun ini bertujuan memperkasakan lagi ketumbukan itu serta memenuhi keperluan pertahanan negara yang ketika ini ditunjangi 14 pesawat C130H dan lapan pesawat CN235.

"Perolehan empat pesawat ini (A400M) adalah inisiatif menambah baik kemampuan kawalan keselamatan serta kesiapsiagaan pasukan tentera dalam berdepan dengan pelbagai kemungkinan termasuk ancaman keselamatan.

HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan), Mohd Johari (tiga dari kiri), Zulkifeli (kanan), Roslan (kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Mohammad Foad Abdullah (dua dari kanan) mencuba tempat duduk pesawat kedua A400M TUDM di Pangkalan Udara Subang. - Foto Sairien Nafis
HISHAMMUDDIN (tiga dari kanan), Mohd Johari (tiga dari kiri), Zulkifeli (kanan), Roslan (kiri), Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Seri Abdul Rahim Mohamad Radzi (dua dari kiri) dan Timbalan Ketua Setiausaha Kementerian Pertahanan, Datuk Mohammad Foad Abdullah (dua dari kanan) mencuba tempat duduk pesawat kedua A400M TUDM di Pangkalan Udara Subang. - Foto Sairien Nafis

"Justeru, diharap ia dapat membantu skuadron ini melaksanakan tugas dengan lebih cemerlang, cekap dan sistematik, khusunya dalam menjalankan sekurang-kurangnya enam fungsi pengangkutan udara," katanya ketika berucap pada majlis penerimaan pesawat itu.

Yang turut hadir pada majlis bersejarah itu ialah Timbalan Menteri Pertahanan, Datuk Mohd Johari Baharum; Panglima Angkatan Tentera Malaysia (ATM), Jen Tan Sri Zulkifeli Mohd. Zin; Panglima TUDM, Jen Datuk Seri Roslan Saad dan Panglima Tentera Laut, Laksamana Datuk Seri Ahmad Kamarulzaman Ahmad Badaruddin.

Hishammuddin menjelaskan, enam fungsi pesawat A400M adalah melakukan penerbangan pengangkutan logistik dan komunikasi jarak sederhana dan jauh dengan berkesan, memberikan bantuan semasa darurat dalam negara secara cekap dan pantas dan melaksanakan operasi bantuan awam, kecemasan, pemindahan, pelaksanaan undang-undang bantuan kemanusiaan dan tugas keamanan.

Hangar tempatkan empat pesawat

Pesawat A400M juga turut berperanan melakukan penerbangan perubatan dan kecederaan, penerbangan taktikal membabitkan tugasan bersama pasukan khas ATM dan penghantaran serta pengguguran dari udara dan pemindahan kecemasan di luar negara membabitkan konflik di negara asing.

Selain Malaysia, negara lain yang memiliki A400M ialah Perancis, Jerman, Turki dan United Kingdom, namun Malaysia negara pertama memiliki pesawat ini di Asia.

Pesawat A400M itu diperkenalkan secara rasmi buat julung kali di negara ini menerusi Pameran Antarabangsa Maritim dan Udara Antarabangsa Langkawi 2015 (LIMA'15).

Serentak majlis penerimaan itu juga, turut diadakan majlis penyerahan Hangar No 22 Skuadron iaitu hangar pertama yang dibina di Asia bagi menempatkan empat pesawat itu dan difahamkan ia juga yang terbesar di dunia.

PESAWAT pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).
PESAWAT pengangkut Airbus A400M milik Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM).

Pembinaan hangar itu dimulakan sejak 11 Jun 2012 dan dijangka siap pada Jun ini, namun, atas komitmen dan usaha gigih Kementerian Pertahanan, ia siap enam bulan lebih awal iaitu pada penghujung tahun lalu.

Hangar itu dilengkapi prasarana moden merangkumi auditorium, bilik mesyuarat, bilik kuliah, surau, bilik rehat anak kapal, bilik operasi dan gimnasium, selain kemudahan ruang untuk penyelenggaraan enjin serta mencuci pesawat itu.

Berita Harian X