Isnin, 22 Februari 2016 | 12:10am
SELAIN sibuk dengan dunia lakonan, Hafreez turut membuka perniagaan menjual baju-T bersama dua rakan baik menggunakan jenama The Storge - Foto NSTP
SELAIN sibuk dengan dunia lakonan, Hafreez turut membuka perniagaan menjual baju-T bersama dua rakan baik menggunakan jenama The Storge - Foto NSTP
HAFREEZ bakal memulakan penggambaran telefilem Tersuka Tanpa Sengaja versi Aidilfitri, akhir bulan depan. - Foto NSTP
HAFREEZ bakal memulakan penggambaran telefilem Tersuka Tanpa Sengaja versi Aidilfitri, akhir bulan depan. - Foto NSTP

Trauma jerawat batu, Hafreez Adam kongsi tip tingkat keyakinan diri

KUALA LUMPUR: Di sebalik kejayaan dikecapi, pemegang trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Hafreez Adam, 25, pernah mengalami tekanan jiwa yang teruk berpunca daripada jerawat batu.

Menyisihkan diri daripada masyarakat, Hafreez teringat detik apabila segala keindahan dan kebahagiaan hidup bagai direntap disebabkan masalah kulit yang serius terutama pada bahagian muka.

"Beberapa tahun lalu, saya pernah dikritik kerana penampilan saya. Saya mempunyai masalah jerawat yang sangat teruk dan terpaksa berkurung di dalam rumah.

"Ini kerana saya tidak yakin berdepan dengan orang ramai," katanya berkongsi pengalaman dengan BH Plus.

PEMEGANG trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Hafreez Adam. - Foto NSTP
PEMEGANG trofi Artis Baharu Lelaki Popular pada Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014, Hafreez Adam. - Foto NSTP

Hafreez berkata, ketika itu, dia jarang keluar rumah apatah lagi menghabiskan masa bersama rakan-rakan sebaya.

"Saya lebih banyak bersendirian kerana tidak selesa dengan keadaan kulit saya.

"Malah, pada suatu insiden, bapa bagai hilang emosi apabila hampir menumbuk saya hanya kerana masalah kulit yang saya alami.

"Lebih teruk, ada kawan dengan sinis beritahu kulit pada bahagian punggung saya lebih cantik daripada wajah saya," luahnya yang popular dalam drama rantaian, Bila Hati Berbicara.

Didik diri jadi lebih positif

Menganggap episod 'melawan jerawat batu' sebagai kisah hitam dalam hidupnya, Hafreez bagaimanapun bangkit atas inisiatif diri dan sokongan keluarga.

HAFREEZ menganggap episod 'melawan jerawat batu' sebagai kisah hitam dalam hidupnya. - Foto NSTP
HAFREEZ menganggap episod 'melawan jerawat batu' sebagai kisah hitam dalam hidupnya. - Foto NSTP

Sehubungan itu, Hafreez berkongsi tip bagaimana berdepan situasi apabila keyakinan diri goyah dek perubahan fizikal pada tubuh atau wajah.

"Pertamanya, apabila kita bercakap mengenai luaran atau fizikal, cari individu seperti teman-teman yang anda boleh percaya untuk mengubah diri anda.

"Dulu, saya tidak tahu menahu mengenai fesyen. Jadi saya mendapat bantuan daripada kakak dan adik perempuan saya untuk mengubah penampilan," katanya.

Hafreez berkata, semua orang juga perlu menjaga pemakanan.

"Saya mengurangkan pengambilan kafein dan memperbanyakkan minum air suam. Cuba berhenti daripada mengambil gula terlalu banyak dan makanan berminyak," katanya.

Tip ketiga, katanya, setiap orang perlu mendidik diri sendiri menjadi lebih positif.

HAFREEZ tidak menyesali setiap ujian yang dilalui kerana menganggap ia mendewasakan dirinya. - Foto NSTP
HAFREEZ tidak menyesali setiap ujian yang dilalui kerana menganggap ia mendewasakan dirinya. - Foto NSTP

"Cuba jauhi komen negatif daripada orang lain. Zaman sekarang, orang memang suka nak jatuhkan kita.

"Saya percaya setiap ciptaan Tuhan ada keindahannya sendiri, Jadi jangan terlalu tertekan dengan apa yang diperkatakan orang. Ingat bahawa tiada manusia yang sempurna," katanya.

Biarpun pernah mengalami tekanan dan emosi, Hafreez bagaimanapun tidak menyesali dengan apa yang terjadi. Ini kerana baginya setiap yang dilalui mendewasakan dirinya.

Jual baju-T

Hafreez bersyukur peminat tidak putus memberi penghargaan dan sokongan. Dia percaya setiap kejayaan yang diperoleh datang daripada sokongan padu peminat.

"Tanpa peminat, kita tiada di sini. Kita perlukan penyokong untuk berada di belakang kita. Tidak kira profesion apapun, tiada sokongan, kita akan mudah putus asa," katanya.

Tampil dalam pementasan teater Zombie La La La yang baru melabuhkan tirainya di Istana Budaya, semalam, Hafreez akan memasuki set penggambaran telefilem Tersuka Tanpa Sengaja versi Aidilfitri, akhir bulan depan.

PEMENTASAN teater Zombie La La La yang turut dilakonkan oleh Hafrezz (kiri atas) di Istana Budaya. - Foto NSTP
PEMENTASAN teater Zombie La La La yang turut dilakonkan oleh Hafrezz (kiri atas) di Istana Budaya. - Foto NSTP

Sementara itu, selain sibuk dengan dunia lakonan, Hafreez turut membuka perniagaan menjual baju-T bersama dua rakan baik menggunakan jenama The Storge.

Sudah setahun diusahakan, Hafreez akan mengeluarkan rekaan terbaru dan merancang untuk mengeluarkan lebih barangan seperti gelang tangan dan topi di bawah jenama sama.

Berita Harian X