Ahad, 13 March 2016 | 12:06am
NAD Zainal menunjukkan produk kecantikan dan kesihatan, Audela by Nad Zainal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
NAD Zainal menunjukkan produk kecantikan dan kesihatan, Audela by Nad Zainal. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Nad Zainal tak terluka kelab peminat bubar


BUKAN tidak menghargai, jauh sekali melupakan jasa peminat yang begitu utuh menyokong perjalanan kerjaya lakonannya hingga diiktiraf Pelakon TV Wanita Popular, Anugerah Bintang Popular BH (ABPBH) 2014.

Namun, Nad Zainal atau nama lengkapnya, Farah Nadia Zainal Abidin, 26, enggan selamanya dianggap hipokrit apabila sering gagal memberikan komitmen setiap kali kelab peminatnya, Nad Zainal Lovers, menganjurkan aktiviti tertentu.

Disebabkan kelemahan dirinya, Nad akur apabila kelab peminatnya terpaksa dibubarkan , baru-baru ini.

Pelakon yang mencipta nama menerusi drama rantaian, Kampung Girl itu, tidak terkilan dengan apa yang berlaku, malah menyifatkan pembubaran kelab peminat sebagai tindakan terbaik kerana enggan dilihat bermuka-muka hanya kerana ingin memuaskan hati penggemarnya.

"Sejak awal penubuhan, saya sudah berterus-terang kepada ahli supaya tidak bersusah payah untuk semua ini kerana bimbang nanti akan mengecewakan mereka. Bukan saya tidak menghargai usaha mereka, cuma saya lebih selesa jika peminat mengagumi kerana bakat dan mutu lakonan.

"Saya tidak mahu disanjung hanya kerana status sebagai selebriti. Saya cuma insan biasa yang diberikan Allah sedikit kelebihan. Saya tidak kisah dikagumi dan diminati, tetapi biarlah berpada-pada.

"Bukan saya tidak bersetuju dengan idea penubuhan kelab peminat, malah terserah kerana setiap artis mempunyai cara mereka yang tersendiri. Cuma mungkin, ia tidak bersesuaian dengan jiwa saya yang lebih senang dikenali kerana bakat dan hasil kerja yang diberikan," katanya.

Nad berkata, meskipun status sebagai selebriti menuntut pengorbanan apabila mereka dianggap sebagai hak masyarakat, namun dirinya memerlukan sedikit ruang privasi jika tidak terikat dengan komitmen kerja.

"Mempunyai kelab peminat menuntut komitmen yang tinggi, sedangkan masa saya untuk semua itu agak terbatas. Setiap kali menyambut hari istimewa seperti meraikan ulang tahun kelahiran, saya lebih selesa jika bersama keluarga. Saya hargai setiap usaha dan susah payah peminat, tetapi saya tidak pernah menjanjikan apa-apa.

NAD Zainal pernah terpalit kontroversi hingga mencalarkan imejnya. - Foto Zunnur Al- Shafiq
NAD Zainal pernah terpalit kontroversi hingga mencalarkan imejnya. - Foto Zunnur Al- Shafiq

"Saya juga tidak mampu memenuhi permintaan peminat untuk menyertai setiap program yang mereka anjurkan. Saya tidak mahu dilihat berpura-pura hanya kerana ingin memuaskan hati mereka. Pembubaran ini jalan terbaik supaya tiada hati yang terluka," katanya.

Sebelum ini, Nad pernah terheret dalam kontroversi apabila dikatakan sombong dengan peminat dan tidak pandai menghormati orang di sekelilingnya. Anak kelahiran ibu kota itu sekali lagi mencetuskan kontroversi apabila rakaman video berdurasi 30 saat yang memperlihatkan kelakuannya yang acuh tidak acuh ketika menyertai sebuah program bersama anak yatim pada Ramadan lalu tersebar.

Enggan mengeruhkan keadaan, Nad menerusi laman sosial, Instagram memohon maaf kepada mereka yang tersinggung dengan perbuatannya itu dan berjanji untuk berusaha menjadi manusia yang lebih baik.

PEMBUBARAN kelab peminat dianggap Nad Zainal sebagai langkah terbaik kerana tidak mahu dianggap bermuka-muka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
PEMBUBARAN kelab peminat dianggap Nad Zainal sebagai langkah terbaik kerana tidak mahu dianggap bermuka-muka. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

Enggan bangga diri

Tersenarai dalam pencalonan awal kategori Pelakon TV Wanita Popular untuk edisi ABPBH29, Nad bagaimanapun, enggan memikirkan peluangnya untuk kembali mengulangi pencapaiannya tahun lalu. Akur persaingan untuk edisi terbaharu ini lebih sengit, Nad tidak terkilan jika gagal mempertahankan trofi itu.

"Berbanding saya, ramai calon lain yang lebih popular dan layak untuk berada dalam senarai finalis. Selain memiliki nama dan bakat yang besar, mereka juga ikhlas menjaga hati peminat. Saya akur, setiap kemenangan mengikut peredaran dan perubahan masa.

"Mustahil untuk saya berterusan mempertahankan kemenangan kerana setiap tahun, pasti akan muncul pelakon wanita lain yang jauh lebih menyerlah. Alhamdulillah, saya pernah merasai detik manis itu dan saya tidak kisah jika tahun ini, kejayaan beralih kepada pelakon wanita lain," katanya.

Enggan bermegah dengan pencapaiannya, Nad tidak menafikan kejayaan pada ABPBH 2014 memberi impak besar dalam menaikkan popularitinya. Pada masa sama, Nad juga enggan mengabaikan kualiti yang memberi jaminan kepada seseorang artis untuk bertahan lama.

"Tidak kira kejayaan itu diraih hasil penilaian juri atau peminat, setiap kemenangan mempunyai makna yang tersendiri kepada seseorang artis. Saya bangga apabila dihargai, apatah lagi jika ia diterima hasil daripada kerja keras memberikan persembahan terbaik yang memuaskan hati semua pihak," katanya.

NAD enggan dianggap hipokrit. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din
NAD enggan dianggap hipokrit. - Foto Mohd Khairul Helmy Mohd Din

NAD mahu dikagumi kerana bakat dan mutu lakonan. Foto Intan Nur Elliana Zakaria
NAD mahu dikagumi kerana bakat dan mutu lakonan. Foto Intan Nur Elliana Zakaria

Mahu jadi pengarah

Turut melebarkan sayapnya dalam bidang perniagaan dengan memperkenalkan produk kecantikan dan kesihatan, Audela by Nad Zainal, isteri kepada Muhammad Faliq Amiruddin ini, menyimpan hasrat menceburi kerjaya di sebalik tabir.

Hampir tujuh tahun menimba pengalaman sebagai pelakon, Nad mengimpikan untuk duduk di kerusi pengarah.

"Saya tidak mahu selamanya berada pada takuk lama. Saya merancang mendalami ilmu di sebalik tabir kerana ia antara cita-cita yang sudah lama terpendam. Saya ingin menjadi pengarah. Mungkin ia akan direalisasikan bersama suami kerana beliau juga mempunyai kepakaran dalam bidang ini.

"Sebelum itu, saya ingin mantapkan dulu pengetahuan dengan mencari sebanyak mungkin pengalaman. Saya juga ingin menyertai pertandingan mengarah filem pendek sebelum mencuba produksi yang lebih besar. Mungkin pada tahun depan, saya akan merealisasikan impian ini," katanya.

Nad berkata, keinginannya itu bukan didorong oleh kegusaran apabila melihat kehadiran pelakon wanita baharu yang sedang memantapkan kedudukan mereka dalam industri hiburan.

"Perkara itu tidak pernah saya fikirkan. Ketika ini, fokus utama saya adalah memperbaiki mutu lakonan kerana saya ingin melangkah lebih jauh dalam bidang ini. Selepas tujuh tahun, saya kini selesa membawa watak berat kerana ia lebih menguji kemampuan diri.

"Sebagai pelakon berpengalaman, saya perlu memperlihatkan kematangan. Setiap pelakon perlu tahu apa yang dimahukan mereka dan harus bijak memilih karakter bersesuaian supaya bakat menyerlah seiring usia pembabitan," katanya yang akan tampil dalam pementasan teater, Ombak Rindu pada bulan depan.

Berita Harian X