Isnin, 21 March 2016 | 12:04am
NAQUYAH ketika di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH ketika di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH bersama pekerjanya menyusun barangan keluaran animasi Upin dan Ipin di kedainya. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH bersama pekerjanya menyusun barangan keluaran animasi Upin dan Ipin di kedainya. - Foto Faiz Anuar
PENGARAH Kandungan Kreatif Les' Copaque Manufacturing Sdn Bhd, Nur Naquyah Burhanuddin. - Foto Faiz Anuar
PENGARAH Kandungan Kreatif Les' Copaque Manufacturing Sdn Bhd, Nur Naquyah Burhanuddin. - Foto Faiz Anuar

Pemilik Upin & Ipin perkasa jenama


IMPIANNYA adalah untuk menyaksikan empayar perniagaan keluarga yang dimulakan lebih sedekad lalu dapat memangkin industri animasi dan kreatif di negara ini. Ia menggunakan inspirasi daripada model kejayaan gergasi animasi dunia, The Walt Disney Company.

Itulah impian Nur Naquyah Burhanuddin, yang kini menggalas tugas untuk lebih memperkasakan jenama animasi terunggul di Malaysia dalam masa 10 tahun kebelakangan ini, Les' Copaque.

Beliau memegang mandat pada usia muda untuk memimpin LC Manufacturing Sdn Bhd (LCM), sebuah syarikat yang ditubuhkan khas bagi menyokong barang dagangan kepada jenama serta hak intelek yang dikeluarkan oleh Les' Copaque.

Sudah pasti Nur Naquyah, 28, tidak mahu dibayangi oleh bapanya yang juga Pengarah Urusan Les' Copaque, Burhanuddin Md Radzi. Berdasarkan idea dan usaha gadis muda ini, LCM kini bergerak agresif untuk terus mencorakkan industri animasi negara ini dengan produk sokongan yang setanding barangan antarabangsa.

IMPIAN Naquyah untuk menyaksikan empayar perniagaan keluarga dapat memangkin industri animasi dan kreatif di negara ini. - Foto Faiz Anuar
IMPIAN Naquyah untuk menyaksikan empayar perniagaan keluarga dapat memangkin industri animasi dan kreatif di negara ini. - Foto Faiz Anuar

"Matlamat saya adalah untuk melihat jenama LCM ini bersemarak. Sebenarnya, impian saya adalah untuk melihat rakyat Malaysia mendapat manfaat daripada apa yang sedang kami lakukan.

"Sama seperti kami mendapat inspirasi daripada Disney, kami berharap supaya rakyat negara ini dapat melihat kami berkembang dan menjana inspirasi pula daripada kejayaan syarikat ini (pada masa akan datang)," katanya ketika ditemui BH di pejabatnya di Shah Alam, baru-baru ini.

Nur Naquyah menyertai LCM tiga tahun lalu bagi membantu menyokong operasi barang dagangan Les' Copaque yang menghadapi cabaran berikutan lambakan produk tiruan di pasaran gelap.

Berbekalkan keazaman untuk mengubah keadaan itu, katanya, penubuhan LCM adalah bagi menyokong bahagian produksi Les' Copaque yang berhadapan sedikit kesukaran untuk mendapatkan pulangan pada awalnya.

"Produksi selepas beberapa lama dihasilkan barulah dapat menjana sedikit keuntungan, iaitu selepas kandungannya dijual. Pada awal penubuhan LCM, kami tiada hala tuju yang sebenarnya, hanya cuba-cuba mengeluarkan barang dagangan seperti cenderamata.

NAQUYAH menunjukkan antara produk yang terdapat di kedai Upin Ipin Store, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH menunjukkan antara produk yang terdapat di kedai Upin Ipin Store, Shah Alam. - Foto Faiz Anuar

"Apa saja yang peminat minta, kami cuba hasilkan. Jika peminat meminta buku, kami mengeluarkan produk itu dan sebagainya. Benar-benar tiada hala tuju yang sebetulnya," katanya.

Tidak beberapa lama selepas itu, LCM mendapat suntikan baharu dalam operasinya apabila Perbadanan Usahawan Nasional Bhd (PUNB) menawarkan pembiayaan di bawah Skim PROSPER Borong bagi membolehkan syarikat mempelbagaikan hala tujunya.

Beliau berkata, pada awal LCM ditubuhkan, syarikat itu sebenarnya tidak menghadapi masalah untuk mengekalkan kelangsungan operasi, tetapi berhadapan kesulitan untuk mengembangkannya.

"Itulah cabarannya kerana pengeluaran produk memerlukan sejumlah wang yang besar. PUNB memberikan bantuan Skim PROSPER Borong berjumlah kira-kira RM3 juta untuk membolehkan kami mengembangkan perniagaan," katanya.

Nur Naquyah berkata, perkara pertama yang dilaksanakan menerusi bantuan kewangan PUNB itu adalah untuk menghasilkan barang dagangan yang lebih sukar lagi, seperti mainan kanak-kanak.

Katanya, barangan sedemikian sukar dihasilkan di negara ini, sebaliknya perlu ditempah dari China yang memerlukan tempahan dalam kuantiti sangat besar.

NAQUYAH menunjukkan dua watak popular Upin & Ipin yang terdapat di kedainya. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH menunjukkan dua watak popular Upin & Ipin yang terdapat di kedainya. - Foto Faiz Anuar

"Selepas itu, kami juga memperkasakan lagi penjenamaan dari segi reka bentuk, logo dan sebagainya. Kami menyedari syarikat mempunyai banyak hak intelek (IP).

"Sebagai contoh, pada awalnya kami menamakan gedung jualan sebagai UI Store (inspirasi daripada watak terkenal Upin & Ipin), namun pada masa sama syarikat mengeluarkan banyak IP yang berlainan seperti Puteri dan sebagainya. Berikutan itu, kami terpaksa menukarnya kepada LC Merchandising (LCM)," katanya.

Beliau menegaskan, dengan adanya jenama baharu itu, orang ramai dilihat mula menerima semua jenis barangan yang dikeluarkan tanpa mengira IP memandangkan jenama LCM semakin dikenali.

"Segala-galanya adalah mengenai penjenamaan kerana apabila jenama bertukar, ia menyukarkan operasi," katanya yang mengakui antara kesilapan LCM pada awalnya adalah kerana terlalu mempertaruhkan kepada watak Upin & Ipin.

Nur Naquyah berkata, selepas menghasilkan banyak IP dan melihat penerimaannya, beliau sedar bahawa LCM tidak boleh menggunakan Upin & Ipin jika mahu mengeluarkan IP berikutnya.

Malah, katanya, semasa menyertai LCM tiga tahun lalu, beliau sendiri mendapati kakitangannya tidak begitu memahami fungsi penjenamaan.

PADA awal penubuhan LCM sekadar memenuhi kehendak peminat dengan cuba-cuba mengeluarkan barang dagangan seperti cenderamata. - Foto Faiz Anuar
PADA awal penubuhan LCM sekadar memenuhi kehendak peminat dengan cuba-cuba mengeluarkan barang dagangan seperti cenderamata. - Foto Faiz Anuar

"Apabila tiada jenama, hala tuju syarikat hanyalah tertumpu kepada jualan semata-mata. Matlamatnya hanya untuk meraih untung, mendapatkan duit saja.

"Saya sedar keuntungan adalah penting, tetapi apabila sekian lama, orang sudah mula keliru dengan jenama kami. Jika orang kenal dengan jenama kami, apa saja produk dan nilai yang diletakkan, sudah pasti boleh dijual dan itulah yang saya rasakan perlu diperkasakan lagi," katanya.

Nur Naquyah berkata, sebagai syarikat yang mencipta IP dan tidak menyumber luar produk lain, adalah sangat penting untuk mengeluarkan barang dagangan sebagai satu bentuk sokongan kepada sesuatu IP baharu.

Berikutan itu, katanya, sebaik saja sesuatu IP baharu dicipta, LCM perlu bergerak pantas untuk menyokongnya dengan barangan berbentuk cenderamata.

NAQUYAH menunjukkan pakaian watak animasi popular Upin & Ipin. - Foto Faiz Anuar
NAQUYAH menunjukkan pakaian watak animasi popular Upin & Ipin. - Foto Faiz Anuar

Malah, beliau berkata, kakitangan sendiri tidak mengetahui bahawa akan ada IP baharu akan dikeluarkan, jadi wang sedia ada digunakan untuk menghasilkan barangan lain yang tiada kena mengena dengan produk sedia ada.

"Kami mengeluarkan siri untuk ditayangkan di televisyen, filem dihasilkan untuk ditayangkan di pawagam, tetapi barangan dikeluarkan tiada hala tuju. Pada masa sama, barangan cetak rompak banyak terdapat di pasaran.

"Sebagai contoh, semasa animasi Puteri yang dihasilkan tahun lalu, saya sudah merancang untuk menyokongnya dengan penghasilan barangan cenderamata seperti tiara. Selepas itu, semua kanak-kanak mula mencari tiara.

"Disebabkan itulah, seperti saya katakan tadi perkara seperti ini perlu berjalan serentak kerana produk berkenaan popular pada masa itu. Yang lucunya, kami juga ada menemui barangan Puteri yang mempunyai jenama LCM di pasar malam," katanya.

Nur Naquyah menegaskan, situasi itulah yang menyebabkan beliau sentiasa mengingatkan kakitangannya supaya bertindak pantas kerana sebagai pencipta IP, syarikat sepatutnya sudah bersedia dari awal.

Selain Upin & Ipin yang menyambut ulang tahun ke-10 tahun ini, IP lain yang dipasarkan oleh LCM ketika ini ialah animasi Pada Zaman Dahulu, Puteri dan Dadudido.

PROFIL: Nur Naquyah Burhanuddin

  • Usia: 28 tahun
  • Pendidikan: Ijazah Pengurusan Hartanah, Universiti Malaya (UM)
  • Jawatan: Pengarah LC Manufacturing Sdn Bhd
Berita Harian X