X
Jumaat, 25 March 2016 | 12:05am

Kisah lembu gambaran tabiat Bani Israel

FIRMAN Allah SWT yang bermaksud: "Dan (ingatlah), ketika Nabi Musa berkata kepada kaumnya: Sesungguhnya Allah menyuruh supaya kamu menyembelih seekor lembu betina. Mereka berkata: Adakah engkau hendak menjadikan kami ini permainan? Nabi Musa menjawab: Aku berlindung kepada Allah daripada menjadi seorang daripada golongan yang jahil (yang melakukan sesuatu yang tidak patut)." (Surah al-Baqarah, ayat 67)

Kisah lembu betina yang Allah SWT ceritakan menggambarkan tabiat Bani Israel dan watak mereka sejak turun-temurun. Ia juga menjelaskan kudrat Allah SWT, hakikat kebangkitan, mati dan hidup.

Ciri utama Bani Israel

Ciri utama Bani Israel diperkenalkan begitu jelas dalam kisah lembu ini iaitu putusnya hubungan mereka dengan keimanan, kesukaran mempercayai apa yang disampaikan rasul, enggan menurut perintah, mencari alasan dan suka mempersenda sesuatu disampaikan dengan mulut yang lancang.

Apabila Nabi Musa menyampaikan perintah Allah SWT supaya mereka menyembelih seekor lembu betina, reaksi yang sepatutnya ialah mereka mematuhi perintah itu tanpa banyak soal kerana Nabi Musa adalah nabi dan pemimpin yang menyelamatkan mereka daripada cengkaman serta penindasan Firaun.

Biadab terhadap Nabi Musa

Namun, jawapan mereka sangatlah biadab apabila menuduh Nabi Musa mempermainkan mereka dengan menggunakan nama Allah SWT. Nabi Musa sangat kecewa dengan pertanyaan seperti itu kerana nabi tidak berdusta dan bergurau menggunakan nama Allah.

Sebagai jawapan kebiadapan ini, Nabi Musa memohon perlindungan Allah SWT daripada termasuk golongan yang jahil.

Ayat dalam surah al-Baqarah ini memaparkan kisah berlaku dalam masyarakat Bani Israel yang melihat sendiri seorang lelaki dibangkitkan kembali selepas kematiannya untuk mendedahkan siapakah pembunuhnya dan selepas itu dia mati kembali.

Masyarakat Bani Israel berada dalam suasana yang sungguh buruk, mereka melakukan jenayah, kemudian menyembunyikan sehingga tidak dapat dikesan siapakah melakukannya. Mereka sedia membuat pakatan menyembunyikannya daripada pihak berkuasa.

Kisahnya bermula apabila seorang lelaki kaya daripada kalangan Bani Israel dibunuh dan mayatnya diletakkan di kampung berdekatan dengan tempat pembunuhannya. Kejadian itu menimbulkan pertikaian dan tuduh-menuduh antara dua kampung berkenaan mengenai siapakah pembunuhnya.

Perkara itu dirujuk kepada Nabi Musa dan mereka meminta Baginda bermunajat kepada Allah SWT supaya didedahkan siapakah pembunuhnya. Allah SWT memerintahkan Bani Israel menyembelih seekor lembu betina, sebenarnya jika mereka menyembelih mana-mana lembu pun sudah memadai.

Sebahagian lembu itu digunakan untuk dipukul atas mangsa bunuh dan dia akan memberitahu siapa yang membunuhnya, maka selesai segala masalah. Bagaimanapun, Bani Israel menunjukkan sikap angkuh dengan tidak mempercayainya dan bertanya pelbagai soalan mengenai sifat dan rupa lembu.

Wasilah hidupkan orang mati As-Syahid

Sayyid Qutb ketika menghuraikan keperluan Allah SWT menghidupkan kembali orang mati menggunakan wasilah iaitu dengan menggunakan sebahagian badan lembu dan dipukulkan kepada si mati mengikut adat Bani Israel, lembu disembelih kerana korban.

Di sini, satu potongan anggota daripada lembu disembelihkan itu dapat mengembalikan nyawa kepada jasad yang terbunuh sedangkan anggota itu tidak mempunyai hayat atau kudrat untuk menghidupkan yang mati.

Ia hanyalah wasilah zahir yang dapat menunjukkan kudrat Allah SWT kepada mereka iaitu kudrat yang tidak diketahui oleh manusia bagaimana ia bertindak. Mereka hanya melihat kesan kudrat sahaja, tetapi tidak mengetahui hakikatnya dan cara ia bekerja.

Sesungguhnya memahami hakikat dan cara menghidupkan yang mati antara rahsia Allah SWT dan tiada jalan untuk sesiapa mengetahuinya.

Syeikh Al-Maraghi berpendapat, mereka disuruh menyembelih lembu betina bukannya binatang lain kerana mereka menyembah anak lembu. Ini bertujuan menghina benda yang mereka sembah dan mengetahui sejauh mana kecintaan mereka dalam penyembelihan anak lembu menerusi jawapan diberi.

Penyembelihan lembu ini mempunyai dua perkara yang tersirat iaitu menyelesaikan krisis pembunuhan dan mengenal pasti pembunuh sebenar. Memberi isyarat yang jelas kebesaran dan kudrat Allah SWT dapat menghidupkan orang mati sehingga dapat menceritakan kembali peristiwa yang berlaku terhadap dirinya.

Firman Allah SWT yang bermaksud: "Wahai orang yang beriman! Janganlah kamu bertanyakan (kepada Nabi) perkara-perkara yang jika diterangkan kepada kamu akan menyusahkan kamu," (Surah al-Maidah, ayat 101) Sebenarnya nama surah al-Baqarah diambil daripada isu utama dalam agama iaitu keimanan dan kepercayaan kepada hari kebangkitan.

Mereka yang tidak percaya kepada hari akhirat, hari kebangkitan dan hari perhitungan pasti akan sesuka hati berbuat apa-apa tanpa memikirkan kesannya.

Ayat ini mengingatkan kita tabiat dan perangai Bani Israel, keperluan mengelak pertanyaan tidak perlu dalam agama dan penegasan Allah SWT berlakunya hari kebangkitan untuk setiap manusia diadili oleh Rabbul Jalil.

Berita Harian X