Selasa, 5 April 2016 | 12:02am

Mustazlee mahu jadi pelumba pro

KOLEKSI gambar kenangan zaman kanak-kanak Mustazlee.
KOLEKSI gambar kenangan zaman kanak-kanak Mustazlee.

MUAR: Hobi mengayuh basikal ketika kecil di sekitar kampung suatu ketika dulu, kini menjadi kerjaya serta pemberi rezeki kepadanya.

Menariknya, seluruh ahli keluarga juga tidak pernah terfikir untuk mencorakkan anak kedua daripada lima beradik itu menjadi seorang pelumba basikal lebuh raya dewasa kelak.

Segala-galanya berubah apabila Muhammad Mustazlee Ishak sekeluarga berpindah ke kuarters Jabatan Kerja Raya (JKR) di Jalan Daud dan pelumba muda itu mula menemui kumpulan berbasikal.

"Masa kecil dulu dia memang suka berkayuh dan main basikal keliling kampung dan taman. Biasalah kanak-kanak apabila berjumpa dengan kawan yang seangkatan dengannya.

ISHAK (dua dari kiri) bersama isteri, Saripah Ahmad Chupri (dua dari kanan) dan keluarga menunjukkan pingat milik Mustazlee di rumahnya di Bakri, Johor.
ISHAK (dua dari kiri) bersama isteri, Saripah Ahmad Chupri (dua dari kanan) dan keluarga menunjukkan pingat milik Mustazlee di rumahnya di Bakri, Johor.

"Kemudian kami sekeluarga berpindah ke Jalan Daud, anak lelaki saya ini bertemu geng yang juga sama minat dengannya, sebab itu dia semakin minat sukan ini. 

"Dia berkawan dengan Mohamad Faruq Daud (anak kepada bekas pelumba kebangsaan dan jurulatih berbasikal negara, Daud Ibrahim) dan mereka selalu `berlatih' bersama," kata bapanya, Ishak Bidin.

Muhammad Mustazlee Ishak, atau lebih dikenali sebagai Atan di kalangan keluarga dan rakan adalah seorang pelumba basikal lebuh raya.

Pada Sukan Malaysia (SUKMA) Perlis, Mustazlee meraih tiga pingat menerusi Ujian Masa Individu (gangsa), Ujian Masa Berpasukan (perak) dan Perlumbaan Lebuh Raya (gangsa). Dia juga adalah wakil negara pada Kejohanan Berbasikal Asia (ACC) di Korat, Thailand untuk kategori bawah 23 tahun.

Selepas dilihat aktif dan berbakat dalam sukan berbasikal, Mustazlee ditawarkan ke Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail untuk diberikan lebih pendedahan dalam sukan terbabit, malah ia turut mendapat sokongan daripada arwah Daud.

"Waktu Tingkatan Dua, Mustazlee sudah mula menunjukkan minat mendalam dan mula serius dalam sukan itu dan diberikan latihan berterusan sehingga berada bersama pasukan Johor menerusi Program Johor Gemilang. Kemudian disebabkan prestasi memberangsangkan, alhamdulillah dia berjaya diserap ke dalam skuad negara.

"Saya sebenarnya langsung tidak menyangka yang anak saya ini mampu menyarung jersi negara serta membawa nama negara dalam kejohanan, tapi kini saya harap dia dapat membawa diri untuk menjadi yang terbaik," katanya.

Sebagai ketua keluarga dan juga bapa, Ishak berharap Mustazlee berjaya setakat mana dikehendakinya kerana keluarga sentiasa memberikan sokongan walau apa juga keadaan kerana dia sudah memilih bidang terbabit.

"Biar dia berusaha sehingga capai tahap tertinggi, tapi saya juga nasihatkan dia supaya sekiranya sukan ini tidak boleh pergi jauh atas faktor umur, dia perlu memohon pekerjaan tetap supaya masa depannya lebih terjamin," katanya.

MUSTAZLEE kini menyertai skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan.
MUSTAZLEE kini menyertai skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan.

Bagi Mustazlee sendiri impiannya selepas ini adalah untuk mengejar gelaran selaku pelumba profesional peringkat dunia, sekali gus mengharumkan nama negara.

"Cita-cita saya untuk mendapat pengiktirafan dunia seperti mana pelumba lain, kalau mereka boleh kenapa saya tidak?.

"Jadi saya letakkan sasaran dalam masa terdekat untuk menjadikan itu suatu kenyataan walaupun perlu bekerja keras merealisasikannya.

"Tapi saya sedar untuk capai tahap itu agak sukar, untuk itu saya kena banyak sertai kejohanan ternama di luar, tingkatkan disiplin, berlatih lebih daripada orang lain," katanya.

Anak kedua daripada lima beradik ini juga bercita-cita untuk menjadi seorang anggota polis kerana inginkan masa depan yang lebih cerah dan berkhidmat untuk negara, serta memasang hasrat untuk menjadi jurulatih kelak.

"Saya harap mampu mencapai segala yang dihajatkan namun buat masa sekarang saya perlu memberikan tumpuan penuh kepada latihan dan kejohanan termasuklah mengharumkan nama negara di peringkat dunia," katanya.

Mustazlee yang mula serius berkecimpung dalam sukan berbasikal ketika di tingkatan dua di Sekolah Sukan Tunku Mahkota Ismail, Johor berkata dalam seminggu dia dan rakan perlu melengkapkan 1,000 kilometer (km) kayuhan untuk mengekalkan stamina serta memastikan kayuhan lebih mantap di Pusat Latihan Persekutuan Kebangsaan Berbasikal Malaysia, Melaka.

MUSTAZLEE gigih berkayuh dalam latihan pada setiap petang di Kampung Bukit Godek, Semabok, Melaka.
MUSTAZLEE gigih berkayuh dalam latihan pada setiap petang di Kampung Bukit Godek, Semabok, Melaka.

"Ketika di Johor saya bersama program Johor Gemilang di bawah kendalian jurulatih, Muhamad Firdaus Daud dan dia banyak bantu saya, berpesan kepada saya untuk belajar semula atas segala kesilapan yang dilakukan dalam setiap perlumbaan.

Bagi saya pula, setiap kali latihan saya akan letakkan dalam fikiran untuk menang," katanya yang berkongsi sedikit petua dan tunjuk ajar.

Seperti orang lain, Mustazlee juga mempunyai 'seseorang' untuk dijadikan pencetus semangat, dia memilih pelumba basikal dari Australia, mewakili pasukan Sky, Richie Porte sebagai idola kerana pelumba terbabit mempunyai kepakaran mendaki bukit, teknik pecutan yang bagus serta gaya kayuhan menarik.

"Idola saya adalah Porte kerana dia mempunyai pelbagai kepakaran dan pernah meraih banyak kemenangan bersama pasukan profesional. Saya akan kaji cara kayuhan dia dan cuba belajar serta cuba melakukannya di dalam trek.

MUSTAZLEE menunjukkan pingat yang diperolehi dalam perlumbaan disertainya.
MUSTAZLEE menunjukkan pingat yang diperolehi dalam perlumbaan disertainya.

"Selain itu, untuk berjaya dalam bidang sukan saya kena menjaga pemakanan supaya terus kekal cergas untuk berlumba," katanya yang diserapkan ke pasukan elit kebangsaan ketika berusia 19 tahun dan pernah berada dalam skuad Johor sebelum ini.

BIODATA: Muhammad Mustazlee Ishak

Tarikh dan tempat lahir: 30 April 1995 di Hospital Muar, Johor

Sukan: Berbasikal

Nama ibu bapa: Saripah Ahmad Chupri dan Ishak Bidin

Nama adik beradik: Mustaza, Muzamil, Norzeha, Nurul Huda,

Pendidikan: Sekolah Kebangsaan Parit Setongkat (Tahun 1-3); Sekolah Kebangsaan Ismail Satu (Tahun 4-6); Sekolah Menengah Kebangsaan St Andrew (Tingkatan 1); Sekolah Sukan Tengku Mahkota Ismail (SSTMI) (Tingkatan 2 hingga 5)

Antara pencapaian:

2014 - SUKMA Perlis Ujian Masa Individu (Gangsa), Ujian Masa Berpasukan ( Perak), Perlumbaan Lebuh Raya (Gangsa); Kejohanan Lumba Basikal GP Kebangsaan Sirkit Akhir 2014, Melaka; Ujian Masa Individu Remaja (Perak); Perlumbaan Lebuh Raya Remaja (Perak), Keseluruhan Lelaki (Emas); Cabaran Berbasikal Remaja Diraja Seri Menanti 2014 Perlumbaan Lebuh Raya Lelaki (Gangsa); Sapura Kencana - Kriterium SIC Sepang Kriterium Remaja Lelaki (Gangsa)

2013 - Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Sirkit III 1 Kilometer (Gangsa), Perlumbaan Scratch (Emas), Pasukan Kejar Mengejar (Emas); Kejohanan Berbasikal Trek Remaja Sirkit II Perlumbaan Mata (Gangsa), Individu Kejar Mengejar (Perak); GP Kebangsaan Johor Kriterium peringkat 3 (Gangsa); Kriterium Shah Alam - Kategori MTB Terbuka Lelaki Basikal Bukit (Emas); Cabaran Diraja Seri Menanti Perlumbaan Lebuh Raya Lelaki Remaja (Gangsa)

Berita Harian X