Khamis, 7 April 2016 | 12:02am

Bukan selalu bernasib baik

ANGGOTA Ayas Angler dengan hasil tangkapan dari perairan Bintulu.
ANGGOTA Ayas Angler dengan hasil tangkapan dari perairan Bintulu.

KUALA LUMPUR: Benarlah kata orang, hasil daripada memancing kadang-kadang mengikut nasib.

Kalau nasib kurang baik, memang tidak akan dapat tangkapan yang diharapkan.

Begitulah nasib empat pemancing anggota kumpulan Ayas Angler ketika mereka ke tengah laut dengan harapan untuk mendaratkan sebanyak mungkin ikan gred A.

Ini kerana walaupun keadaan laut di perairan Bintulu, Sarawak, tenang dan arus air pula sederhana, namun jumlah ikan yang berjaya dibawa pulang ini kurang menjadi daripada sasaran.

Mereka yang terdiri daripada dua beradik iaitu Mohamad Affendy dan Zaidin Hamdan, Seleman Rapaee dan Mohd Farizan Mohd Ikhssan hanya mampu membawa pulang satu tong pelbagai jenis ikan, antaranya tenggiri, ibu gelama, kerapu, alu-alu dan tongkol, berbanding sasaran asal mengisi empat tong ikan.

Dalam beberapa trip sebelum ini, mereka berjaya membawa pulang lebih tiga tong ikan ikan gred A dari lubuk di lokasi yang sama.

Apa lagi, beberapa lubuk ikan di empat pelantar minyak iaitu Serendah, Tsunami, Gopa gora dan Belom yang mereka kunjungi, kali ini, memang kaya dengan pelbagai jenis ikan gred A terutama tenggiri.

Tetap puas hati

Affendy berkata, biarpun jumlah ikan yang berjaya dijinakkan dalam trip itu kurang, namun mereka tetap berpuas hati kerana dapat berlawan tarik tali dengan tenggiri, alu-alu, ibu gelama dan kerapu.

Beliau berkata, dalam trip itu, mereka berjaya menaikkan 10 tenggiri dan lebih 20 lagi, dipercayai ikan yang sama, terlepas apabila tali perambut putus atau tersangkut ke batu karang.

Katanya, jarak antara lokasi tempat memancing dengan Jeti Pantai ABF, Bintulu hanya 16 batu nautika, menyebabkan pemancing mudah untuk sampai dan memancing di situ.

"Biarpun hanya di sekitar perairan Bintulu, jadual untuk keluar memancing tetap dirancang dan disediakan lebih awal.

"Sejak kebelakangan ini, pemancing laut dalam yang datang menduga di perairan itu tidak perlu lagi pening kepala untuk memikirkan umpan segar seperti udang, sotong dan isi ikan kerana ikan di situ lebih gemar dengan lenggok 'jig'," katanya.

Tekad mahu kembali

Sementara itu, Mohd Farizan berkata, pada waktu ini, lokasi itu memang kaya dengan ikan gred A yang bersaiz mega, namun pemancing perlu sentiasa berhati-hati, kerana keadaan laut kerap berubah sebab musim tengkujuh belum berakhir.

"Kami akan berkunjung semula ke lokasi terbabit, apabila musim tengkujuh berakhir pada penghujung Mac depan.

"Biasanya kami akan memancing di beberapa lubuk di lokasi itu pada cuti hujung minggu dan cuti umum," katanya.

Berita Harian X