Khamis, 14 April 2016 | 12:04am
NAZRUDDIN Jol dengan ikan mata besar yang berjaya dijinaknya.
NAZRUDDIN Jol dengan ikan mata besar yang berjaya dijinaknya.

Lubuk Kapal Jepun, Batu Mandi tidak pernah mengecewakan

PENGUNJUNG masih menjalankan aktiviti riadah di pantai Telok Kemang Port Dickson, Negeri Sembilan walaupun ombak dijangka lebih tinggi apabila kawasan pantai itu dilanda fenomena air pasang besar yang turut melanda di beberapa kawasan pantai barat semenanjung. - Foto Hazreen Mohamad
PENGUNJUNG masih menjalankan aktiviti riadah di pantai Telok Kemang Port Dickson, Negeri Sembilan walaupun ombak dijangka lebih tinggi apabila kawasan pantai itu dilanda fenomena air pasang besar yang turut melanda di beberapa kawasan pantai barat semenanjung. - Foto Hazreen Mohamad

LUBUK tukun Kapal Jepun dan Batu Mandi di perairan Sarawak, dekat Kuching, memang kaya dengan pelbagai jenis ikan, gred A dan bersaiz mega, terutama selepas musim tengkujuh berakhir.

Antara ikan yang kerap menjadi sasaran pemancing laut dalam di dua lubuk itu ialah tenggiri papan, tenggiri batang, jenahak, kerapu, gerong belang dan ebek.

Biarpun ada waktunya, kunjungan beberapa kumpulan kaki pancing ke kedua-dua lubuk itu gagal menaikkan ikan gred A bersaiz mega, namun tetap tersenyum apabila berjaya membawa pulang ikan serupa yang beratnya antara dua hingga empat kilogram (kg) seekor.

Sekurang-kurangnya mereka tidak pulang tangan kosong kerana setiap pemancing yang menduga kedua-dua lubuk itu akan memperoleh masing-masing dua tenggiri dan jenahak.

Sebab itu, selepas musim tengkujuh, banyak bot pemancing laut dalam tegar dari sekitar Kuching dan Samarahan kelihatan memancing di situ, terutama pada hujung minggu, apa lagi waktu cuti umum.

 WANDER dengan spesis ebek yang berjaya dipancingnya.
WANDER dengan spesis ebek yang berjaya dipancingnya.

Tidak perlu cari umpan

Lazimnya pemancing yang sudah lama tidak merasai sentapan tenggiri, jenahak, kerapu dan ebek pasti akan datang semula ke situ, selepas musim tengkujuh.

Malah ada di antara pemancing dari sekitar Kuching, Samarahan dan juga dari luar Sarawak sanggup berkampung sehingga dua hari untuk memancing di kedua-dua lubuk itu.

Pada minggu lalu, biarpun keadaan laut di perairan Sarawak masih bergelora dengan angin kencang, namun tujuh pemancing dari sekitar Kuching iaitu Madihi Attan, Nazruddin Jol, Roney Kamarudin, Sopri Sabri, Kamarulzaman, Jerome dan Wander menduga dua lubuk di situ dengan menaiki bot memancing milik tekong Udin Bako.

Itulah trip kedua mereka ke lokasi itu selepas yang pertama pertengahan bulan lalu, kurang menjadi.

Trip memancing selama 10 jam mereka, bermula pada jam 7 pagi, bertolak dari Jeti Bako dekat Kuching ke dua lubuk terbabit di perairan Sarawak.

Bot mereka terus menuju ke lubuk Batu Mandi yang terletak 14 batu nautika dan Tukun Kapal Jepun kira-kira 20 batu nautika dari Jeti Bako.

Dalam trip itu, mereka menggunakan teknik 'jigging' dan tidak perlu singgah di mana-mana unjam untuk memancing ikan yang dijadikan umpan.

MADIHI dengan jenahak yang menjadi sasarannya dalam trip itu.
MADIHI dengan jenahak yang menjadi sasarannya dalam trip itu.

Disentap hingga putus

Madihi berkata, sejurus bot berlabuh di lubuk Batu Mandi, joran milik Roney yang baru labuhkan disentap kuat oleh penghuni lubuk itu, kemudian berlaku drama tarik menarik, kira-kira lima minit.

Bagaimanapun, Roney kecewa apabila tali utama pada gewang yang dipakainya putus.

"Selepas itu, joran milik Jerome ditarik kuat oleh mangsa dan selepas dinaikkan dalam masa tiga minit kelihatan seekor kerapu bersaiz tiga kilogram.

"Dalam trip itu lebih 10 kali tali utama dan perambut putus kerana ditarik ikan bersaiz mega dari dua lubuk berkenaan," katanya.

Tekong Udin berkata, seorang daripada anggota kumpulan itu tumbang kerana mabuk laut namun berjaya membawa pulang masing-masing seekor kerapu dan tenggiri.

Selepas 'sedar' dari mabuk, pemancing terbabit berjaya menjinakkan seekor kerapu, bagaimana pun beliau enggan mendedahkan nama pemancing terbabit.

Jumlah keseluruhan ikan yang diperoleh oleh tujuh sahabat itu 21 ekor, iaitu dengan tenggiri empat yang beratnya antara 3 hingga 6 kg seekor, jenahak empat ekor dengan berat 2 kg seekor.

Berita Harian X