Khamis, 21 April 2016 | 12:06am

Majlis Fatwa tegas haramkan pembedahan kosmetik

SOALAN: Apakah pendirian Majlis Fatwa Kebangsaan Malaysia berhubung isu penukaran jantina bagi golongan mak nyah.

JAWAPAN: Persidangan Muzakarah Jawatankuasa Fatwa Majlis Kebangsaan Bagi Hal Ehwal Ugama Islam Malaysia telah membincangkan permasalahan ini dengan begitu serius sekali. Fatwa berkenaan penukaran jantina lelaki kepada perempuan atau sebaliknya telah dikeluarkan.

Penukaran jantina dari lelaki kepada perempuan atau sebaliknya melalui pembedahan kosmetik adalah haram. Seorang yang dilahirkan 'khunsa musykil' iaitu manusia yang dilahirkan mempunyai dua alat kemaluan lelaki dan perempuan, diharuskan pembedahan bagi mengekalkan salah satu alat jantina yang benar-benar berfungsi dapat digunakan mengikut keadaan yang sesuai. (JAKIM, 2007:7)

Seseorang yang dilahirkan lelaki, hukumnya tetap lelaki walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan dan pembenihan hormon. Seseorang yang dilahirkan perempuan pula, hukumnya tetap perempuan walaupun ia berjaya ditukarkan jantinanya melalui pembedahan yang sama. (JAKIM, 1982)

Huraian daripada keputusan muzakarah itu, perbuatan menukar jantina sama ada daripada lelaki kepada perempuan atau sebaliknya akan membabitkan implikasi hukum dari segi syarak berkaitan perkahwinan, perwalian, ibadat, kematian dan hal berkaitan kerana perbuatan menukar jantina jelas dilarang dan diharamkan oleh Islam.

Lelaki atau perempuan yang tidak nyata alat kelamin mereka sama ada lelaki atau perempuan dibenarkan melakukan pembedahan setelah mendapat nasihat daripada pakar perubatan dan alim ulama yang diiktiraf negara.

Jika terdapat golongan lelaki yang telah menukar jantinanya melalui pembedahan alat kelaminnya kepada alat kelamin wanita, maka lelaki berkenaan tidak akan diiktiraf sebagai perempuan kerana asal kelahirannya adalah lelaki.

Jika dia berkahwin dengan lelaki lain, maka perkahwinan itu tidak sah dan perbuatannya itu akan mengundang laknat Allah SWT.

Berita Harian X