Selasa, 3 Mei 2016 | 1:32am
PELAKON, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin pada majlis resepsi mereka di Hotel Mandarin Oriental. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Shaheizy Sam dan Syatilla Melvin pada majlis resepsi mereka di Hotel Mandarin Oriental. - Foto Zunnur Al Shafiq
SITI Nur Syatilla Amirol Melvin atau lebih dikenali sebagai Syatilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
SITI Nur Syatilla Amirol Melvin atau lebih dikenali sebagai Syatilla. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MATA yang tajam dengan raut wajah sombong membuatkan Syatilla lebih sesuai dengan watak hitam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman
MATA yang tajam dengan raut wajah sombong membuatkan Syatilla lebih sesuai dengan watak hitam. - Foto Nurul Syazana Rose Razman

Shaheizy Sam cengkung bukan angkara isteri


BIARPUN sudah sah bergelar isteri sejak 8 Februari lalu, pelakon Syatilla Melvin mengaku belum berpeluang memasak sesuatu yang istimewa buat suaminya, Shaheizy Sam.

Meskipun dirinya kini diulit kebahagiaan alam berumah tangga, namun dalam bab menghidangkan juadah buat suami tercinta, nampaknya terpaksa dilupakan seketika.

Bukan mengabaikan lelaki bertakhta di hatinya itu, sebaliknya kata Syatilla, Sam kini sibuk menguruskan badan untuk menjayakan karakter filem terbaharunya.

"Buat masa ini saya belum berkesempatan untuk memasak buat suami kerana dia mengamalkan diet ketat untuk filem terbaharu lakonannya. Dia berjaya mengurangkan berat badan sebanyak lapan kilogram dan kelihatan sangat cengkung.

"Tamat saja penggambaran filem itu nanti, saya akan menyediakan pelbagai juadah bagi memastikan dia kembali ke bentuk tubuh asal. Saya kurang gemar melihat susuk tubuhnya yang terlalu kurus kerana kelihatan seperti orang sakit pula.

PELAKON, Syatilla Melvin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
PELAKON, Syatilla Melvin. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Buat masa ini, saya belum menikmati tanggungjawab melakukan kerja sebagai isteri sepenuhnya kerana kami tinggal bersama keluarga Sam.

"Kebanyakan lauk pauk disediakan oleh ibunya dan saya hanya melakukan kerja ringan seperti mengemas bilik dan sebagainya," katanya kepada BH.

Dalam pada itu, Syatilla mengakui lebih selektif memilih tawaran yang diterima, namun menafikan dakwaan suaminya menyekat beliau daripada meneruskan kerjaya sebagai pelakon.

Dilihat mempunyai aura ketika melakonkan watak antagonis, wanita bertubuh langsing dan tinggi lampai ini menjelaskan beliau masih ingin terus mewarnai industri seni tempatan.

"Setakat ini, Sam tidak pernah mengeluarkan sebarang kenyataan berhubung isu itu. Tidak pula dia menyekat saya daripada menerima sebarang tawaran berlakon, namun saya harus tahu karakter bersesuaian dengan status sebagai isteri orang.

SYATILLA kini lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan tetapi suami tidak pernah menyekat beliau daripada meneruskan kerjaya lakonannya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
SYATILLA kini lebih selektif dalam memilih tawaran lakonan tetapi suami tidak pernah menyekat beliau daripada meneruskan kerjaya lakonannya. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

"Sebagai isteri, setiap tawaran lakonan akan dirujuk terlebih dulu kepada suami. Sekiranya dia melarang, saya akan patuh, namun belum pernah lagi berlaku suami tidak memberikan izin tanpa sebab munasabah.

"Apa sekali pun, syurga isteri terletak di bawah tapak kaki suami. Saya perlu akur sekiranya Sam minta saya berhenti berlakon kerana tugas mencari rezeki itu terletak di bahu suami," kata Syatilla.

Meskipun cukup dikenali sebagai pelakon watak jahat dalam drama televisyen, Syatilla, atau nama lengkapnya, Siti Nur Syatilla Amirol Melvin, 25, mengakui dirinya belum terpijak rezeki untuk berlakon dalam filem.

Mempunyai sepasang mata yang tajam dengan raut wajah sombong, membuatkan anak kelahiran Parit Buntar, Perak itu cukup dikenali sebagai pelakon watak hitam. Antara lakonannya yang berbekas pada ingatan termasuk menerusi drama Ramadan Yang Hilang pada 2013.

Mengulas drama rantaian, Sha dan Shah, yang berjaya melonjakkan namanya, sekali gus jauh dari karakter antagonis lakonannya, beliau menganggap peluang yang diberikan sebagai pembuka jalan untuk meluaskan kerjayanya sebagai pelakon.

PELAKON, Shaheizy Sam bersama isterinya, Syatilla Melvin. - Foto Zunnur Al Shafiq
PELAKON, Shaheizy Sam bersama isterinya, Syatilla Melvin. - Foto Zunnur Al Shafiq

Keberkesanan lakonan Syatilla dan rakan gandingannya, Kamal Adli, turut mengundang spekulasi peminat yang ingin melihat mereka terus bersama di alam nyata.

Syatilla menegaskan, keserasian yang tercipta sekadar lakonan semata-mata dan bersyukur Sam tidak mudah melatah dengan komen sedemikian.

"Alhamdulillah, Sam juga pelakon dan memahami situasi apabila peminat menyukai keserasian gandingan untuk drama sehinggakan meminta kami 'bersama' di alam nyata. Apa yang digambarkan dalam drama adalah berbeza sama sekali dengan keadaan sebenar.

"Jika peminat melihat sendiri bagaimana saya dan Kamal berkomunikasi di luar, pasti mereka terkejut. Saya sendiri dikenali dengan karakter kasar dan lasak, jadi kami bergurau seperti rakan saja. Malah, Sam sendiri rapat dengan Kamal sejak dulu lagi.

"Apa pun, masing-masing sudah punya pasangan sendiri, cukuplah sekadar keserasian itu ditonjolkan melalui drama lakonan kami. Saya tidak mahu peminat terlalu obses sehingga membandingkan kami dengan gandingan di lensa kamera," tegas Syatilla mengakhiri wawancara.

Berita Harian X