Sabtu, 9 Julai 2016 | 12:49am
ALONG mengakui selama ini tiada matlamat hidup, namun situasi berubah apabila mula menghafaz ayat suci al-Quran. - Foto Syarafiq Abd Samad
ALONG mengakui selama ini tiada matlamat hidup, namun situasi berubah apabila mula menghafaz ayat suci al-Quran. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENUBUHAN sekolah agama di Penjara Kluang adalah untuk membantu banduan mendalami ilmu agama dan memantapkan pemulihan mereka. - Foto Syarafiq Abd Samad
PENUBUHAN sekolah agama di Penjara Kluang adalah untuk membantu banduan mendalami ilmu agama dan memantapkan pemulihan mereka. - Foto Syarafiq Abd Samad
ALONG membaca secara berterusan sehingga 10 kali setiap ayat itu hingga mampu menghafaznya. - Foto Syarafiq Abd Samad
ALONG membaca secara berterusan sehingga 10 kali setiap ayat itu hingga mampu menghafaznya. - Foto Syarafiq Abd Samad

Tebus dosa jadi impian banduan tahfiz

KLUANG: Tiada siapa menyangka alunan hafazan surah al-Baqarah dengan lenggok taranum, mampu dilagukan banduan yang pernah melakukan pelbagai jenayah dan kini sedang menerima hukuman di Penjara Kluang.

Namun itulah dibuktikan 15 pelajar kelas tahfiz Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang di sini, sejak ia dibuka mulai September 2013.

Along (nama samaran), 20, yang sedang menjalani hukuman penjara selama 10 tahun kerana kesalahan samun bersenjata, tidak menyangka sudah mampu menghafaz tiga juzuk al-Quran selepas belajar dalam kelas tahfiz berkenaan sejak setahun lalu.

ALONG kini berusaha meningkatkan kefahaman dan penguasaan al-Quran di dalam penjara. - Foto Syarafiq Abd Samad
ALONG kini berusaha meningkatkan kefahaman dan penguasaan al-Quran di dalam penjara. - Foto Syarafiq Abd Samad

Katanya, beliau mendapat hidayah untuk bertaubat selepas melihat ibu dan ayahnya menangis ketika program Qiamulail Hijrah Kasih di Penjara Kluang setahun lalu.

"Saya sangat sebak dan tidak tahan melihat ibu bapa menangis dan sanggup datang dari jauh, selain memberi kemaafan terhadap dosa silam saya yang mengaibkan keluarga kami.

"Sejak itu, saya bertekad berubah dan bergelar tahfiz di sini. Walaupun berdepan label bekas banduan sepanjang hayat, namun menjadi impian saya untuk menebus dosa dengan membalas kasih sayang keluarga selama ini," katanya kepada BH.

SUASANA di Penjara Kluang. - Foto Syarafiq Abd Samad
SUASANA di Penjara Kluang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Along mengakui selama ini tiada matlamat hidup, namun situasi berubah apabila mula menghafaz ayat suci al-Quran, yang membuatkan hatinya semakin tenang.

"Inilah kebesaran Allah. Walaupun pernah melakukan kesilapan dalam hidup, saya dipermudahkan menghafaz ayat suci al-Quran. Dengan bantuan guru tahfiz, saya mula menghafaz bacaan ayat suci pada waktu pagi sebelum berterusan menghafaz pada waktu petang dan malam di dalam sel penjara.

"Saya perlu membaca secara berterusan 10 kali sesuatu ayat itu hingga mampu menghafaznya. Kini, saya mengamalkan usaha menghafaz satu muka al-Quran sehari bagi memudahkan saya menghafaz lebih banyak juzuk," katanya.

Sementara itu, seorang bekas banduan akhir bertekad bergelar tahfiz bagi menebus kesalahan membunuh isterinya enam tahun lalu.

ALONG mula menghafaz ayat suci di dalam sel pada awal pagi sebelum berterusan ketika dalam kelas pembelajaran sebelum bersambung di dalam sel pada waktu malam. Foto Syarafiq Abd Samad
ALONG mula menghafaz ayat suci di dalam sel pada awal pagi sebelum berterusan ketika dalam kelas pembelajaran sebelum bersambung di dalam sel pada waktu malam. Foto Syarafiq Abd Samad

Zali, 36, (bukan nama sebenar) sedang menjalani hukuman penjara 15 tahun kerana kesalahan membunuh tanpa niat mengikut Seksyen 304 Kanun Keseksaan.

Beliau yang sebelum ini tidak pandai mengaji, bermula dengan Iqra dan kini sudah menghafaz enam juzuk al-Quran sejak terbuka hati menghadiri kelas tahfiz dalam Penjara Kluang mulai 2014.

"Saya mendapat hidayah untuk bergelar seorang tahfiz selepas dilanda penyesalan yang amat sangat disisih keluarga dan tiga anak, selepas secara tidak sengaja membunuh isteri.

"Pada mulanya sangat sukar untuk saya belajar mengaji apatah lagi menghafaz kerana mungkin kerana hati saya hitam berikutan dosa silam. Namun ustaz memberi motivasi dan keyakinan supaya saya meminta keampunan dan bertaubat dengan melakukan solat taubat dan tahajud setiap hari.

"Selepas solat berkenaan, setiap hari saya akan mula menghafaz jam 4 pagi sehingga waktu solat Subuh di dalam sel sebelum menyambung hafazan bersama ustaz di kelas tahfiz dari jam 8 pagi hingga 4.30 petang setiap kali waktu sekolah.

"Jika dahulu saya mengambil masa seminggu untuk menghafaz satu muka surat al-Quran, namun kini saya mampu menghafaz satu muka dalam masa dua hari," katanya.

Zali berkata, setiap hari beliau berdoa agar Allah memakbulkan hasratnya menjadi seorang tahfiz bagi bersatu dengan tiga anaknya.

"Saya sedar dosa ini sukar dimaafkan tiga anak sehingga mereka kini tidak mengaku sebagai bapa lagi. Semoga kami dapat bersatu semula sebagai keluarga bahagia di akhirat nanti," katanya.

SEBAHAGIAN banduan mengikuti pengajian kelas agama dan tahfiz di Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang. - Foto Syarafiq Abd Samad
SEBAHAGIAN banduan mengikuti pengajian kelas agama dan tahfiz di Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang. - Foto Syarafiq Abd Samad

Penyelia Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang, Ahmad Faisal Osman, berkata penubuhan sekolah agama itu adalah hasil cetusan idea Penasihat Majlis Agama Islam Negeri Johor (MAINJ), Datuk Noh Gadot dan Jabatan Penjara Malaysia dalam usaha memantapkan pemulihan banduan dengan memberi peluang kepada mereka mendalami ilmu agama.

Katanya, perasmian sekolah agama berkenaan disempurnakan Sultan Johor, Sultan Ibrahim Iskandar, pada 28 November 2013, sekali gus menempa sejarah sebagai sekolah agama dalam penjara pertama di negara ini serta di dunia.

"Seramai 35 banduan menjadi pelajar sekolah ini dengan 20 orang mengikuti kelas agama, manakala 15 lagi mengikuti kelas tahfiz.

FAKTA: Sekolah Agama Tarbiyah Husnul Khatimah Penjara Kluang

# Dibuka pada 2013, sekolah agama dalam penjara pertama di Malaysia dan dunia.

# Tiga lagi sekolah agama dibuka dalam penjara Marang, Tapah dan Pokok Sena mulai 2014.

# Kelas tahfiz bermula jam 8 pagi hingga 4.30 petang hari persekolahan

Berita Harian X