Ahad, 17 Julai 2016 | 12:08am
FYZA kini memilih untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.
FYZA kini memilih untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.
GAMBAR selepas hari pernikahan Fyza Kadir bersama suami, Ahmed Feruz.
GAMBAR selepas hari pernikahan Fyza Kadir bersama suami, Ahmed Feruz.

Fyza Kadir sedar diri tak pandai berlakon


ORANGNYA cantik dan memiliki pakej yang dianggap lengkap untuk melangkah jauh sebagai pelakon.

Namun, semua itu belum memadai untuk memberi jaminan kepada Fyza Kadir yang diperkenalkan menerusi filem, Seram Sejuk pada tahun 2012 terus bertahan.

Selepas mendirikan rumah tangga bersama ahli perniagaan syarikat minyak dan gas, Ahmed Feruz Zainul Abidin, tiga tahun lalu, Fyza atau nama sebenarnya, Norhafezzah A Kadir memilih untuk mengundurkan diri daripada dunia seni.

Pernah bernaung di bawah MIG dan membintangi beberapa filem seperti Senario Ops Pocot, Ajiboy serta PE-3, Fyza akhirnya akur, lakonan bukan minat utamanya.

Fyza yang diketengahkan oleh penerbit, David Teo, cuba bertahan kerana ingin melihat sejauh mana kemampuannya.

Pada satu tahap, Fyza menerima kenyataan dirinya tidak mampu lagi berterusan melakukan sesuatu yang bukan menjadi kecenderungan dan minatnya.

"Sudah hampir tiga tahun, saya berhenti berlakon. Selepas berkahwin, saya terfikir itu masa terbaik untuk mengundurkan diri. Saya akur tidak dikurniakan bakat untuk terus kekal dalam bidang itu. Daripada terus memaksa dan mendesak diri, lebih baik saya berhenti.

FYZA Kadir dan suaminya, Ahmed Feruz.
FYZA Kadir dan suaminya, Ahmed Feruz.

FYZA pernah bernaung di bawah MIG dan membintangi beberapa filem.
FYZA pernah bernaung di bawah MIG dan membintangi beberapa filem.

"Tetapi saya tidak tahu masa akan datang. Jika suatu hari nanti, hati saya tiba-tiba terbuka untuk berlakon kembali, mungkin saya akan menyambung semula langkah yang sudah terhenti itu. Dulu, saya berlakon selepas diyakinkan oleh David. Dia memberikan saya peluang mencuba kerana baginya, bakat lakonan boleh diasah.

"Tetapi, jiwa saya tidak terarah kepada dunia lakonan. Saya pujuk diri untuk mencuba dan terus mencuba kerana mungkin selepas itu, minat akan bercambah. Saya tidak mampu lagi menipu, terutama apabila berasakan diri tidak punya bakat sebagai pelakon," katanya.

Fyza berkata, dirinya begitu menghormati mereka yang memilih untuk bergelumang hidup sebagai insan seni kerana perjalanannya tidak semudah seperti yang disangka ramai. Fyza juga tidak berkecil hati jika ada yang menganggap, dirinya hanya bersandar kepada kecantikan semata-mata untuk menembusi dunia lakonan.

"Ada benarnya apa yang mereka perkatakan itu. Kritikan mereka itu juga yang membuat saya sedar dan akur kemampuan diri. Saya malu menonton lakonan sendiri. Disebabkan tidak punya bakat, karakter yang perlu saya serap dan dalami tidak begitu menjadi," katanya.

Ditanya tidakkah terbit kerinduan, terutama suasana di lokasi penggambaran, wanita berdarah kacukan Malbari-Melayu ini sukar memberikan jawapan.

"Susah untuk saya luahkan kerana segala perasaan bercampur baur. Saya tidak ralat atau berasa rugi mengundurkan diri. Setidak-tidaknya, saya pernah mendapat peluang dan melalui perit-jerih dunia lakonan. Andai nanti ditakdirkan saya ingin kembali berlakon, saya perlu gilap semula kemahiran yang ada.

FYZA dan suami ketika bercuti di Athens.
FYZA dan suami ketika bercuti di Athens.

SUDAH hampir tiga tahun, Fyza berhenti berlakon.
SUDAH hampir tiga tahun, Fyza berhenti berlakon.

"Selama berlakon, saya rasa diri ini terlalu kerdil jika hendak dibandingkan dengan artis lain. Saya berlakon dulu bukan kerana ingin glamor dan mahu bergaya cantik di permaidani merah. Saya percaya kepada bakat, cuma mungkin ia belum kuat untuk membawa saya terus ke hadapan.

"Setakat memiliki rupa paras, tetapi tidak boleh berlakon dan hanya membuat penonton memperlekehkan kemampuan, lebih baik berhenti. Saya perlu mempelajari selok-belok aspek berkaitan lakonan sekiranya saya ingin serius nanti," katanya.

Mempunyai kelayakan dalam bidang fesyen, malah pernah menimba pengalaman bekerja dalam lapangan yang sama, Fyza dilihat antara figura yang sering diundang untuk menghadiri acara berkaitan. Bukan hanya menyerikan persembahan fesyen tempatan, si jelita ini juga pernah menerima undangan di luar negara.

"Saya dan fesyen memang tidak boleh dipisahkan. Saya bertuah kerana pengalaman sebagai pelakon dulu menjadi batu loncatan untuk saya melangkah ke dunia fesyen. Lagipun, dua bidang ini saling berkait rapat. Tetapi, saya tidak pernah terfikir untuk menceburi perniagaan berkaitan fesyen.

"Jika ingin memulakan perniagaan, mungkin saya akan membuka kafe namun semua itu masih dalam peringkat perancangan," katanya.

Berita Harian X