Isnin, 1 Ogos 2016 | 12:06am

Pokemon Go era baharu permainan telefon pintar

PEMAIN hanya perlu melontarkan Poke Balls yang bersesuaian bagi menangkapnya.
PEMAIN hanya perlu melontarkan Poke Balls yang bersesuaian bagi menangkapnya.

POKEMON Go, versi permainan yang rancak diperbualkan ketika ini.

Ia diperkenalkan di luar kebiasaan permainan platform telefon pintar apatah lagi mengajak pemain untuk bergerak dalam dunia nyata bagi meneroka dunia maya Pokemon dan menangkap pelbagai spesis Pokemon.

Walaupun belum dilancarkan di Malaysia, keghairahan pemain memuat naik video permainan yang pernah terkenal menjadi kegilaan ramai dengan ikon comel Pikachu itu, sedikit sebanyak memberi penulis pengalaman dan pendedahan awal.

Satu daripada video yang dimuat turun pemain dan memberikan pengalaman menyeluruh adalah milik Darkathion: Pokemon Go Beta Gameplay (Aus) memaparkan ulasan setiap peringkat permainan secara adil.

Sebaik memuat turun permainan berasaskan augmented reality keluaran Niantic itu, pemain diberikan pilihan untuk memilih avatar lelaki atau wanita yang boleh diubah suai mengikut cita rasa pemain sebagai perwakilan pemain Pokemon.

Seperti kebanyakan permainan dunia terbuka, pemain akan dilengkapi dengan peta maya yang menyediakan maklumat kedudukan Pokemon bersembunyi di lokasi terbabit secara sebenar, PokeStops untuk melengkapkan pemain dengan telur, Poke Balls, ubat dan umpan.

Manakala Pokemon gym pula sebagai tempat pertempuran menaikkan kekuatan Pokemon pemilik yang mana ia ditempatkan di lokasi tarikan utama orang ramai dan pelancong.

Setiap spesis Pokemon dilaporkan berbeza mengikut kawasan seperti kawasan berair, berbatu dan hutan, namun dalam trailer permainan itu, Niantic turut memaparkan barisan Pokemon unik khusus mengikut negara.

Justeru, ketika berdepan dengan Pokemon liar, pemain hanya perlu melontarkan Poke Balls yang bersesuaian bagi menangkapnya yang jika berjaya akan memberikan pemain 'candies' dan 'stardust' untuk menaikkan kekuatan atau evolusi Pokemon.

Pokemon yang berjaya ditangkap akan disimpan dan disenaraikan dalam Pokedex, menjadikan usaha mengumpul dan melengkapkan seberapa banyak Pokemon dalam ensiklopedia Pokedex sebagai sasaran utama dalam permainan ini.

POKEMON Go, versi permainan yang rancak diperbualkan ketika ini. - Foto AFP
POKEMON Go, versi permainan yang rancak diperbualkan ketika ini. - Foto AFP

Info:

Pokemon Go

Pembangun: Niantic

Penerbit: Niantic

Konsep: Pokémon Siri

Enjin: Unity

Platform Telefon Pintar: iOS, Android

Genre: Augmented reality

Mod permainan: pemain tunggal, dan berkumpulan,

Taktik permainan: pembelaan, pertarungan

Berita Harian X