Rabu, 3 Ogos 2016 | 12:03am
LISA Surihani hadir pada majlis rumah terbuka Global Station Sdn Bhd baru-baru ini. - Foto Munira Abdul Ghani
LISA Surihani hadir pada majlis rumah terbuka Global Station Sdn Bhd baru-baru ini. - Foto Munira Abdul Ghani
LISA Surihani bersama suami, Yusry. - Foto Adi Safri
LISA Surihani bersama suami, Yusry. - Foto Adi Safri

Petua Lisa Surihani kawal berat badan

[email protected]



KETIKA pelakon, Lisa Surihani, hadir ke majlis rumah terbuka Global Station Sdn Bhd baru-baru ini, penampilannya mencuri perhatian ramai.

Masakan tidak, Pelakon Wanita Terbaik pada Festival Filem Malaysia Ke-23 (FFM23) itu tampil dengan bentuk badan yang jelas semakin mengecil.

Cantik berbaju kurung rekaan Jovian Mandagie, isteri kepada Yusry Abdul Halim itu juga lebih yakin apabila diminta memberikan pose istimewa di hadapan jurukamera.

Dengan pelbagai gaya mengalahkan supermodel, usaha Lisa selama ini untuk mendapatkan potongan badan lebih menarik selepas melahirkan anak sulung, Yahaira Leanne, 10 bulan, nyata membuahkan hasil.

Lisa pula bukanlah kurus kerana makan hati. Sebaliknya sedikit-sebanyak teguran diterima daripada netizen, yang melihat tubuhnya agak berisi selepas kelahiran, membuatkan wanita ini bersemangat mendapatkan bentuk badan ideal. Pada masa sama, Lisa sendiri bukanlah melayan segala kata-kata kecaman berkaitan fizikalnya, sebaliknya ia dijadikan azimat untuk lebih berusaha.

PELAKON, Lisa Surihani. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON, Lisa Surihani. - Foto Munira Abdul Ghani

"Benar memang ada yang berkata dengan pelbagai perkara mengenai berat badan saya. Begitupun apabila dikecam, saya melihatnya dari sudut positif. Orang di luar sana, termasuk netizen, akan terus melemparkan komen dan mereka bebas bercakap apa saja. Saya sama sekali takkan menjadikan ia sebagai pelemah semangat.

"Saya harus jadi lebih positif dan gembira. Malah, selepas melihat hasil dan berat badan sekarang, kerja keras saya berbaloi. Berat saya kini sekitar 53 hingga 54 kilogram (kg). Dalam tempoh empat bulan, saya berjaya turunkan lapan kg. Kalau boleh, saya ingin turunkan beberapa kg lagi. Ada yang cakap saya sudah okey dengan berat sekarang. Saya bagaimanapun yakin boleh kurus lagi," katanya optimis.

Lisa memulakan gaya hidup sihatnya ketika Yahaira memasuki usia lima bulan.

"Semua ini bermula dengan pembabitan saya dengan syarikat kesihatan Purely B. Mereka yang memperkenalkan saya gaya hidup sihat menerusi penjagaan pemakanan yang baik. Jaga makan pula bukan semata-mata diet atau tidak menyentuh sesetengah makanan. Ia bertitik tolak kepada kehidupan sihat dengan mengamalkan senaman mengikut peringkat usia.

"Dari situ saya mula berazam kuat untuk mendapatkan bentuk badan diingini," katanya.

LISA Surihani mula berazam kuat untuk mendapatkan bentuk badan diingini selepas terbabit dengan syarikat kesihatan Purely B. - Foto Rohanis Shukri
LISA Surihani mula berazam kuat untuk mendapatkan bentuk badan diingini selepas terbabit dengan syarikat kesihatan Purely B. - Foto Rohanis Shukri

Menurut Lisa, asalnya beliau tidak biasa dengan apa yang diamalkan, malahan agak skeptikal dengan gaya hidup berkenaan.

"Apabila sudah memulakannya, saya jadi jatuh cinta pula. Saya suka konsep menjaga pemakanan yang mengutamakan 'portion control' atau mengawal apa yang perlu dimakan. Menerusi konsep itu saya tak mengehadkan diri dengan mengelak sesetengah makanan. Malah, saya juga tidak mengelak daripada makan nasi. Sudah namanya tekak orang Melayu, nasi memang wajib.

"Saya sedar ada yang menjauhi nasi kerana ia dianggap menggemukkan. Saya begitupun realistik dengan konsep itu dan menerusi cadangan pihak Purely B menerusi perkongsian artikel diberi, saya lebih banyak mendapat input positif. 'Portion control' asalnya saya lihat seperti kita kena kurangkan makan dan hadkan apa yang nafsu makan inginkan.

"Konsep itu pun nampak senang untuk difahami, cuma seperti susah untuk diamalkan. Malah, kalau ikut gerak hati dan nafsu badan, kita kadang-kadang makan lebih daripada apa yang diperlukan. Jadi, saya mula cuba untuk mendengar apa yang sebenarnya badan perlukan. Badan kita pun kadang-kadang seperti menguji kita dengan menyuruh makan itu dan ini," katanya.

LISA Surihani bersemangat mendapatkan bentuk badan ideal selepas menerima teguran daripada netizen. - Foto Saifullizan Tamadi
LISA Surihani bersemangat mendapatkan bentuk badan ideal selepas menerima teguran daripada netizen. - Foto Saifullizan Tamadi

Lisa tidak terkecuali berdepan situasi masih teringin hendak makan selepas kenyang. Bukan situasi pelik, malah kebanyakan orang mungkin turut mengalaminya.

"Lisa sendiri pelik kenapa selepas makan satu hidangan masih terasa lapar? Sedangkan apa yang dimakan itu cukup lengkap dengan nutrisi ion, protein dan karbohidrat, contohnya. Namun selepas pembacaan mengenai konsep berkenaan, ia menekankan kepada kepentingan meminum air kosong dulu sebelum makan.

"Saya mempraktikkannya dan mendapati ia benar-benar berkesan. Perasaan lapar selepas makan satu hidangan juga sudah mula terhakis dan hilang. Jadi selama ini saya lihat gerak badan yang selalu cakap lapar selepas memakan satu hidangan itu sebenarnya seperti menguji kita. Kita sebenarnya tidak lapar pun.

"Selain bab menjaga makan, saya juga mula bersenam secara konsisten. Kalau makan tidak dijaga dan hanya mengharapkan senaman, tiada gunanya juga. Dalam hal ini fakta menekankan bab makan perlu dijaga sebanyak 70 peratus dan selebihnya ialah senaman," katanya yang kini banyak melakukan senaman 'body tone' menggunakan Power Plate, Xtend Barre, berbasikal dan bermain badminton.

Berita Harian X