Khamis, 4 Ogos 2016 | 12:03am

Menjinak bantal emas Morib

POJIE dengan tangkapan dari perairan Morib.
POJIE dengan tangkapan dari perairan Morib.

KUALA LANGAT: "Berapa ekor sotong kau bawa? Setakat lima ekor tidak cukup untuk buat umpan," tegas tekong Jafri Darini ketika melihat Mohd Fauzi Edros atau Pojie mengangkat bekas umpan hidup untuk dibawa ke trip memancing di perairan pantai Kelanang, Kuala Langat.

Kata Jafri atau Jeff, untuk kepuasan memancing, Pojie perlu membawa sekurang-kurangnya 10 ekor sotong sebagai umpan.

Bagi Pojie, dalam trip kali ini dia mahu menduga jenahak emas yang mendiami lubang dan tukun konkrit tiruan di sekitar perairan pantai Kelanang berikutan kejayaan sekumpulan pemancing yang dibawa oleh Jeff dikatakan membawa laba lumayan pada hujung bulan lalu.

"Kali ini kami bawa 10 ekor sotong kurita untuk umpan killer jenahak dan 20 udang lipan hidup.

"Sebagai tambahan, Jeff ada bawa 30 udang hidup. Manalah tahu kalau-kalau tengah syok memancing, umpan pula habis," katanya kepada Joran.

Terima rentapan kuat

Sebagai tekong, Jeff merancang untuk berlepas awal dari jeti tetapi disebabkan air laut sedang surut menyebabkan perjalanan mereka ditangguhkan sehingga jam 8 malam iaitu apabila air mula pasang.

Pojie berkata, ketika sampai di muara Kelanang mereka meredah ombak kecil menyebabkan bot gentian kaca sedikit beroleng dan membasahi peralatan yang dibawa.

Selepas lebih satu jam menempuh perjalanan yang sesekali dilambung ombak, barulah mereka tiba di lubuk pertama pada kedalaman 40 meter.

Sebaik saja mendapat posisi dikehendaki, Jeff terus melabuhkan sauh, manakala Pojie terus melempar umpan seekor sotong kurita dan berharap ada jenahak sudi menyambar.

Bagai orang mengantuk disorongkan bantal, tidak sempat batu ladung jatuh ke dasar, satu rentapan kuat diterima hinggakan joran Penn Sea Ranger 30-55 paun melengkung.

"Berdesing bunyi gelendung kekili Penn International 30SW. Tanpa memberi amaran tali keluar laju daripada gelendung hingga memaksa saya mengetatkannya.

"Selepas tiga minit, ikan menjadi lemah dan saya segera mengarau tali. Bagaimanapun, ketika riak ikan kelihatan, ia memberi satu henjutan kuat dalam usaha melepaskan diri, namun aku lebih bersedia dengan melonggarkan regangan kekili.

"Untuk jenahak pertama seberat lima kilogram, saya terpaksa mengambil masa tujuh minit untuk menewaskannya," kata Pojie.

HASIL tangkapan yang memberi kepuasan kepada pemancing.
HASIL tangkapan yang memberi kepuasan kepada pemancing.

Hampir terhumban ke laut

Sementara itu, dalam diam-diam Jeff menunjukkan kehebatan menaikkan jenahak sekitar empat kilogram (kg) di bahagian belakang bot.

Dia mengambil masa tidak sampai lima minit menjinakkan si bantal emas Morib. Di lubuk pertama ini mereka menjinakkan empat jenahak sekitar dua hingga lima kg dan dua kerapu remaja.

Di lubuk kedua pula iaitu tukun batu Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), mereka sekali lagi berpesta jenahak dan kerapu.

"Kami lepak di lubuk ini agak lama kerana banyak sentapan ikan, walaupun sekitar 300 gram, ia tetap menghiburkan. Sesekali sentapan rakus diterima dan menariknya jenahak seberat lima kg nyaris membuatkan joran Ugly Stick 20-40 paun, terhumban ke laut apabila terlucut daripada tempatnya, nasib baik diikat.

"Puas aku mengayuh kekili Shimano Tyrnos 30 apabila ikan masuk ke celah tukun batu. Hampir lima minit aku berusaha menariknya sebelum ia berjaya dikeluarkan dengan beg udara tersembul di mulut," kata Pojie.

Sepanjang tujuh jam memancing, mereka memperoleh sembilan jenahak sekitar dua hingga lima kg, dua kerapu tiga kg dan berpuluh ikan bersaiz remaja.

Berita Harian X