Khamis, 4 Ogos 2016 | 1:18am
SEBAHAGIAN daripada pekerja asing diberi taklimat keselamatan dan pencegahan jenayah di sebuah tapak binaan.
SEBAHAGIAN daripada pekerja asing diberi taklimat keselamatan dan pencegahan jenayah di sebuah tapak binaan.

Warga asing sakit mental bolos saringan



KUALA LUMPUR: Kaedah saringan pekerja asing yang bekerja di negara ini kendalian Agensi Pemantauan dan Pemeriksaan Perubatan Pekerja Asing (FOMEMA) dipertikaikan kerana mengabaikan aspek kesihatan mental golongan itu.

Beberapa badan bukan kerajaan (NGO) berpandangan aspek kesihatan mental penting disaring selain dilakukan secara berkala terutama membabitkan sektor pembantu rumah kerana ia membabitkan keselamatan orang lain, terutama kanak-kanak.

Pengarah Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan, berkata pekerja asing khususnya amah perlu menjalani saringan awal kesihatan mental sebelum masuk ke negara ini kerana bidang tugas mereka.

Pemeriksaan semula pula perlu dilakukan setiap kali mereka memperbaharui permit kerja setiap tahun.

PENGARAH Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto Zunnur Al Shafiq
PENGARAH Eksekutif Persekutuan Majikan Malaysia (MEF), Datuk Shamsuddin Bardan. - Foto Zunnur Al Shafiq

Katanya, keutamaan kesihatan mental pekerja asing amat penting kerana sektor amah dan pengasuh anak membabitkan keselamatan orang lain berbanding sektor lain.

"Adakah kita sudah bersedia menampung situasi kesihatan mental itu jika lambakan warga asing berlaku di negara ini sedangkan rakyat negara kita sendiri memerlukan rawatan dan ubat yang mencukupi.

"Sehubungan itu, satu peraturan perlu diwujudkan bagi memastikan pekerja asing disaring mental mereka di negara asal sebelum disaring sekali lagi di negara ini," katanya kepada BH.

Dalam pada itu, beliau berkata, jumlah pesakit mental dalam kalangan pekerja asing yang ramai di Hospital Kuala Lumpur (HKL) adalah amaran bagi semua pihak termasuk ejen pengambilan warga asing, FOMEMA, Kementerian Dalam Negeri (KDN), Jabatan Imigresen dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) untuk bertindak.

Katanya, selama ini tiada saringan mental dibuat kerana tiada keperluan tetapi statistik menunjukkan langkah persediaan dan pencegahan perlu dilakukan.

PAKAR Perunding Psikiatri HKL, Dr Abdul Razak Othman.
PAKAR Perunding Psikiatri HKL, Dr Abdul Razak Othman.

Pakar kriminologi bebas, Shahul Hamid Abd Rahim, berkata saringan kesihatan peringkat kedua yang dilakukan di negara ini perlu lebih teliti dan telus bagi memastikan pekerja asing yang sihat dibenar bekerja.

Katanya, satu dasar baharu mesti diwujudkan sebelum pelekat kebenaran bekerja dikeluarkan, di mana pekerja yang gagal saringan kesihatan fizikal atau mental mesti dihantar pulang.

"Saringan kesihatan kedua di negara ini dilakukan kerana ragu-ragu laporan kesihatan dari negara asal mereka, bagaimanapun setiap kawalan perlu dilakukan di peringkat awal kemasukan.

"Amah atau pengasuh yang mengalami sakit mental memberi kesan terhadap keluarga majikan mereka, malah boleh menyebabkan kecederaan ataupun pecah belah," katanya.

Warga asing dominasi Wad Psikiatrik HKL

Warga asing, sebahagian besar wanita pembantu rumah, kini menjadi penghuni wad psikiatri kerana sakit mental kronik di HKL.

Keadaan itu dikaitkan dengan tiada saringan awal ketika mereka mula memasuki negara atau pemeriksaan secara berkala ketika bekerja di sini.

Bagi tempoh tahun 2014 hingga 2015, HKL merekodkan 391 kemasukan pesakit mental ke wad psikiatri atau secara purata 16 pesakit sebulan, dari 32 negara.

Daripada jumlah itu, seramai 101 pesakit mental adalah warga Indonesia, yang mana majoritinya wanita.

Pesakit mental lelaki asing pula adalah 66 orang, majoritinya dari Myanmar. Mereka bekerja di pasar borong dan pembantu kedai di sekitar Lembah Klang.

Ada yang dikesan menghidap penyakit mental sejak berada di negara sendiri dan tidak meneruskan rawatan apabila bekerja di Malaysia manakala yang lain menghadapi masalah mental akibat tekanan di sini.

HKL dalam dilema dalam isu itu kerana selagi pesakit terbabit ditahan di wad psikiatri ia akan menyebabkan kos rawatan meningkat manakala jika dibebaskan mereka berisiko menimbulkan ancaman kepada orang lain.

Pakar Perunding Psikiatri HKL, Dr Abdul Razak Othman, berkata sebahagian pesakit mental wanita warga Indonesia bekerja sebagai amah dan pengasuh yang dimasukkan ke situ akibat tekanan akibat layanan majikan, ugutan ejen pekerja asing, kos sara hidup meningkat, faktor sosial dan persekitaran.

BERJAUHAN daripada keluarga untuk tempoh yang panjang dan lama boleh menimbulkan tekanan psikologi kepada pekerja asing. - Foto hiasan
BERJAUHAN daripada keluarga untuk tempoh yang panjang dan lama boleh menimbulkan tekanan psikologi kepada pekerja asing. - Foto hiasan

Dr Abdul Razak berkata ada pekerja asing terbabit mengalami tekanan apabila tidak dapat pulang ke kampung dalam tempoh lama yang biasanya setahun sekali.

"Dengan cabaran mendapat cuti dalam tempoh kerja yang panjang, permit dipegang majikan dan dalam masa sama menerima berita kecemasan atau masalah peribadi dari kampung menjadi punca tekanan mula wujud," katanya.

Katanya, ada juga pelbagai faktor lain yang menyebabkan warga asing ini mendapat sakit mental dan sebahagian sudah menghidap penyakit mental seperti skizofrenia atau bipolar di negara mereka tetapi tidak meneruskan rawatan atau tertinggal ubat ketika tiba di negara ini menyebabkan penyakit mental berulang.

Beliau menyifatkan jumlah kemasukan pesakit mental warga asing ke wad psikiatri HKL itu sebagai lambakan.

Katanya, faktor tekanan pula wujud apabila mereka berjauhan daripada keluarga, mendapat berita keluarga jatuh sakit, hadapi masalah kewangan tetapi mereka tidak dibenarkan bercuti untuk menguruskan masalah mereka.

"Selalunya penyakit yang dialami adalah jenis kemurungan, dan masalah mereka semakin parah kerana mereka hidup terasing dan tanpa sokongan sosial komuniti mereka.

"Kesannya mereka boleh bertindak agresif dan mungkin membahayakan diri atau orang lain seperti anak majikan yang diasuh mereka," katanya.

Berita Harian X