Khamis, 25 Ogos 2016 | 12:04am
SEBAHAGIAN hasil tangkapan.
SEBAHAGIAN hasil tangkapan.

Umpan besi tetap disambar ikan Pelabuhan Klang

STEVEN Teoh dengan jenahak zon ZEE .
STEVEN Teoh dengan jenahak zon ZEE .

PELABUHAN Klang kotor dan berbau, itu antara alasan mengapa kaki pancing hari ini semakin kurang menggunakan umpan tradisional.

Bersesuaian dengan peredaran masa, hari ini terdapat pelbagai kaedah dan perkakasan memancing yang lebih baik, cantik, bersih dan mudah digunakan.

Itulah yang digunakan oleh sekumpulan pemancing yang membawa peralatan memancing lebih moden untuk menduga ikan di perairan Pelabuhan Klang.

Bukanlah hasil tangkapan yang menjadi topik utama, sebaliknya kepuasan menarik ikan yang melekat pada mata kail.

Tidak hairanlah lima rakan pemancing iaitu Ismail Majnil, Steven Teoh, Wong Kin Yek, Sam Owh, Adrian Lee dan Aziz Husin menjadikan hujung bulan mereka untuk turun di perairan Zon Eksklusif Ekonomi (ZEE) Selat Melaka memenuhi hobi.

STEVEN, Sam Owh dan Adrian Lee bersama tangkapan masing-masing.
STEVEN, Sam Owh dan Adrian Lee bersama tangkapan masing-masing.

Sudah pasti tekong Nadhil Putra Alam Syah (Wali Saiko) menjadi pilihan mereka kerana arif mengenai lubuk di sekitar perairan Selat Melaka, bermula dari rumah api Permatang Sedepa (One Phantom Bank) hingga ke pintu gedung Pelabuhan Klang.

"Ketika mula-mula membawa mereka memancing menggunakan umpan besi, saya tergelak lucu dan terlintas dalam fikiran, mana mungkin ikan hendak membahamnya.

"Teringat kata-kata Steven. Ini teknologi ma, kita (pemancing) kena cuba, manalah tahu ikan sudah tidak mahu makan umpan ikan atau sotong, dia mahu makan besi.

"Sejak daripada itu, saya tidak banyak berkata hanya sekadar membawa ke lubuk yang dihajati. Menariknya, geng pemancing ini tidak semua ikan yang dipancing dibawa pulang, hanya yang difikirkan perlu saja," kata Nadhil.

Tong gas sambar joran

Trip terbaharu mereka ialah pada minggu lalu apabila dia ditugaskan membawa lima rakan karib ke laluan kapal, ZEE di sempadan Pelabuhan Klang.

"Sam Owh menjadi pembuka tirai apabila jig yang dilepaskan disambar kerapu seberat 11 kilogram (kg).

"Menariknya peralatan yang sederhana, kekili model 4000 dan joran berkekuatan 15 hingga 30 paun yang halus mampu menjinakkan kerakusan kerapu.

"Begitu juga, Steven. Jig merah coklat yang digunakan disambar kerapu 15 kg yang dipanggil tong gas. Setiap kali ikan melekat di mata jig, mereka melayannya dengan lemah lembut dan tidak memberi tekanan kepada ikan.

AZIZ Husin dengan jenahak emas yang ditewaskannya.
AZIZ Husin dengan jenahak emas yang ditewaskannya.

Aksi profesional

"Kebiasaannya, ikan yang dinaikkan akan tersembul beg udara, tetapi aksi mereka sungguh profesional. Jika ikan yang dinaikkan lemah dan hendak mati, ia akan disimpan. Sekiranya masih hidup dan kuat, mereka akan melepaskan ikan berkenaan ke laut," katanya.

Nadhil berkata, Aziz dan Ismail juga tidak kurang hebatnya apabila menaikkan jenahak bantal dengan menggunakan teknik jigging.

"Sepanjang seharian di laut, hanya empat lubuk yang kami singgah. Itupun tidak larat melayan jenahak bantal dan kerapu.

"Boleh dikatakan setiap lubuk yang kami berlabuh, tiga atau empat jenahak dan kerapu melebihi empat kg akan menyambar jig yang dilemparkan.

"Saya seronok melihat mereka melayannya. Saya hanya membantu menyimpan ikan ke dalam tong, manakala yang lain-lain dilakukan mereka secara bekerjasama," katanya.

Berita Harian X