Khamis, 8 September 2016 | 12:04am

Nabi tak tegah makan daging arnab

Saya ada dengar orang Islam tidak boleh makan arnab sebab ia seperti kucing. Betulkah begitu ustaz?

Pandangan yang anda dengar itu adalah tidak benar sama sekali kerana ulama dalam menentukan hukum memakan daging arnab hanya terbahagi kepada dua pandangan. Pandangan pertama, kebanyakan ulama daripada mazhab Hanafi, Maliki, Syafie dan Hanbali menghalalkan umat Islam memakan daging arnab. Ini berdasarkan riwayat Anas bin Malik yang berkata: "Suatu hari, kami berada di satu tempat dan terserempak dengan seekor arnab. Sebahagian daripada kami telah mengejarnya hingga dapat. Lantas aku mengambil haiwan itu dan membawanya kepada Talhah. Talhah telah menyembelih haiwan itu dan menghantar bahagian pehanya kepada Baginda Nabi SAW. Nabi SAW menerima pemberian itu tanpa berkata apa-apa." (Bukhari dan Muslim)

Hadis ini menunjukkan bahawa daging arnab halal dimakan kerana Nabi SAW tidak menegah sahabat ketika mereka menghadiahkan bahagian peha haiwan itu kepada Baginda. Jika ia haram dalam Islam, nescaya Baginda Nabi SAW akan terus menegah mereka dari terus memakannya.

Secara pastinya al-Quran akan pantas turun kepada Baginda sebagai peringatan. Namun, hal itu tidak berlaku. Maka hukum memakan daging arnab adalah halal tanpa perlu dipertikaikan lagi.

Pandangan kedua, Abdullah bin Amru berpendapat hukum memakan daging arnab adalah makruh kerana Nabi SAW sendiri tidak memakannya. Ia dapat dibuktikan menerusi hadis yang diriwayatkan oleh Khuzaimah ibn Juz: "Suatu hari aku bertanya kepada Nabi SAW, apakah pandangan kamu berhubung arnab? Jawab Baginda Nabi SAW: Aku tidak makan dan tidak pula aku mengharamkannya." (Riwayat Ibn Majah)

Berdasarkan dua pandangan itu, maka pandangan pertama adalah lebih tepat berdasarkan hadis sahih yang menunjukkan tiada sebarang larangan untuk memakan daging arnab. Kaedah fikah juga secara jelas menyebut: "Asal pada setiap perkara itu adalah harus sehinggalah terdapat dalil yang mengharamkannya."

Apakah pandangan Islam berhubung hukum memakan landak?

Landak antara haiwan yang dihalalkan makan oleh ulama mazhab Syafie dan mazhab Maliki berdasarkan dalil firman Allah SWT dalam surah alAn'am, ayat 145 yang bermaksud: "Katakanlah (Wahai Muhammad): Aku tidak dapati dalam apa yang telah diwahyukan kepadaku, sesuatu yang diharamkan bagi orang yang hendak memakannya melainkan kalau benda itu bangkai, atau darah yang mengalir, atau daging babi kerana sesungguhnya ia adalah kotor atau sesuatu yang dilakukan secara fasik, iaitu binatang yang disembelih atas nama yang lain dari Allah. Kemudian sesiapa yang terpaksa (memakannya kerana darurat) sedang ia tidak mengingininya dan tidak melampaui batas, maka sesungguhnya Tuhanmu Maha Pengampun, lagi Maha Mengasihani."

Ayat itu secara umum menghalalkan semua haiwan kecuali yang terkandung dalam larangan ayat. Secara jelasnya juga, landak tidak termasuk dalam sifat yang tersebut dalam ayat itu. Landak tidak termasuk dalam golongan haiwan bertaring atau berkuku tajam yang bersifat pemangsa. Tidak terdapat dalil khusus sama ada daripada al-Quran dan al-Sunah yang mengharamkan landak. Kaedah fikah menegaskan: "Asal pada setiap makanan adalah halal sehinggalah terdapat dalil yang menunjukkan kepada pengharaman."

Berita Harian X