Sabtu, 17 September 2016 | 12:02am
AUGUSTINE (kanan) melihat gambar mendiang bapanya, Jatan Sabid ketika menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sambil diperhatikan ibunya, Jikien Gobil dan anak saudaranya, Govenda Foo (kiri). - Foto Mohd Roji Kawi
AUGUSTINE (kanan) melihat gambar mendiang bapanya, Jatan Sabid ketika menerima Pingat Jasa Malaysia (PJM) sambil diperhatikan ibunya, Jikien Gobil dan anak saudaranya, Govenda Foo (kiri). - Foto Mohd Roji Kawi
NURUL Ainna menunjukkan gambar mendiang bapanya, Jatan Sabid sambil diperhatikan suami, Koperal (B) Mohd Alias Mat Arif di Taman Gadong Jaya, Labu, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman
NURUL Ainna menunjukkan gambar mendiang bapanya, Jatan Sabid sambil diperhatikan suami, Koperal (B) Mohd Alias Mat Arif di Taman Gadong Jaya, Labu, Negeri Sembilan. - Foto Iqmal Haqim Rosman

Jatan Sabid wariskan satu platun tentera


LUNDU: Kecintaan kepada negara, bukan setakat dibuktikan dengan pengorbanan Koperal Jatan Sabid berkhidmat sebagai anggota renjer dalam Tentera Darat Malaysia (TDM) selama 15 tahun, malah diteruskan 27 ahli keluarga dan sanak saudaranya.

Jumlah ahli keluarga menyertai perkhidmatan tentera hampir satu platun adalah sesuatu yang jarang berlaku di dunia, tetapi itulah pengorbanan keluarga Jatan dari Kampung Stoum Muda dekat Jalan Bau-Lundu di sini, demi tanah air tercinta.

Paling membanggakan, sembilan daripada 13 anak Jatan, mengikut jejak bekas anggota Batalion Ke-10 Rejimen Renjer Diraja (10 RRD) itu, manakala seorang lagi anak perempuannya sedang menunggu keputusan pemilihan.

Selain itu, tiga menantunya juga terdiri daripada anggota tentera dan dua cucunya kini meneruskan legasi berkhidmat dengan Angkatan Tentera Malaysia (ATM).

Bukan itu sahaja, lima iparnya iaitu adik isterinya, Jikien Gobil, 60, turut berkhidmat dengan ATM, manakala lapan anak saudara sebelah isterinya turut memilih kerjaya sama.

KEGGEN bersalaman dengan abangnya Methew sambil diperhatikan Nurul Ainna dan Roslan sebelum ditemubual BH di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin
KEGGEN bersalaman dengan abangnya Methew sambil diperhatikan Nurul Ainna dan Roslan sebelum ditemubual BH di Kuala Lumpur. - Foto Mohd Yusni Ariffin

MENDIANG Koperal Jatan Sabid. - Foto Mohd Roji Kawi
MENDIANG Koperal Jatan Sabid. - Foto Mohd Roji Kawi

Jikien berkata, walaupun suaminya hanya berkhidmat selama 15 tahun dalam ATM dan menamatkan perkhidmatan dengan pangkat Koperal, beliau kagum kerana anak-anak mereka sanggup mengikut jejak terus berkhidmat kepada negara.

Beliau bangga melihat semangat anak-anaknya memilih kerjaya tentera, walaupun melihat sendiri pelbagai kepayahan yang terpaksa diharungi ayah mereka sepanjang perkhidmatan sebagai anggota renjer.

"Ibu mana tidak bangga apabila hampir semua anaknya memilih tentera sebagai kerjaya. Anak-anak saya tidak pernah dipaksa mengikut jejak ayah mereka, sebaliknya masing-masing membuat keputusan sendiri memilih kerjaya itu.

"Mendiang suami saya menyertai tentera pada 1973 dan ketika itu kami mempunyai dua anak yang kemudian mengikut jejaknya sebelum diikuti adik-adik yang lain. Saya gembira melihat ramai di antara mereka menamatkan perkhidmatan dengan baik," katanya.

Dua daripada sembilan anaknya sudah bersara daripada perkhidmatan iaitu PWII Augustine Jatan dan Koperal Nurul Ainna [email protected] Jesni Jatan yang kedua-duanya berkhidmat dengan Rejimen Semboyan Diraja (RSD).

AUGUSTINE Jatan. - Foto Mohd Roji Kawi
AUGUSTINE Jatan. - Foto Mohd Roji Kawi

Tujuh lagi anak pasangan itu iaitu Sarjan Udara Mathew Jatan; Koperal Keggen Jatan; Sarjan Philip Jatan; Sarjan Udara Patrick Jatan; Koperal Roslan Jatan; Signal Kamal Anak Jatan dan Prebet Azahar Jatan masih dalam perkhidmatan ATM.

Seorang lagi anak perempuan pasangan itu, Winnie, 20, pula masih menunggu tawaran selepas menghadiri pemilihan baru-baru ini.

Semua tiga menantu mereka pula sudah bersara dari perkhidmatan iaitu Koperal Mohd Alias Mat Arif; Koperal Foo Ah Jenk dan Sarjan Magried Jehong. Legasi Jatan diteruskan anak Ah Jenk iaitu Lans Koperal Govenda Foo dan Renjer Halvenia Foo.

 

Jikien berkata, beliau turut bangga apabila lima adiknya mengikut jejak suaminya menyertai ATM iaitu Gombek Gobil; Drong; Josin; Peking dan Ahet, malah enam lagi anak saudaranya turut memilih kerjaya sama.

"Keluarga kami memang keluarga tentera. Apabila semua mereka balik bercuti, suasana di rumah umpama seperti kem tentera, kerana tajuk perbualan mereka biasanya berkisar mengenai kerjaya dan cabaran dihadapi di tempat tugas masing-masing," katanya.

KOPERAL Foo Ah Jenk, seorang daripada menantu mendiang Jatan. - Foto Mohd Roji Kawi
KOPERAL Foo Ah Jenk, seorang daripada menantu mendiang Jatan. - Foto Mohd Roji Kawi

SIRI KEDUA ESOK: Jatan menjadi inspirasi kepada anak dan cucu serta ATM

Info: 27 ahli keluarga mendiang Koperal Jatan Sabid berkhidmat dengan ATM.

  • 9 - anak (termasuk seorang perempuan)
  • 5 - ipar
  • 8 - anak saudara
  • 3 - menantu
  • 2 - cucu
Berita Harian X