Selasa, 20 September 2016 | 12:01am
ANTARA babak aksi dalam filem The Magnificent Seven.
ANTARA babak aksi dalam filem The Magnificent Seven.

Tujuh lelaki penghapus kejahatan

THE Magnificent Seven tetap hadir sebagai naskhah yang tidak harus dilepaskan, selain sarat dengan nilai seni dan pengajaran. - Foto AP
THE Magnificent Seven tetap hadir sebagai naskhah yang tidak harus dilepaskan, selain sarat dengan nilai seni dan pengajaran. - Foto AP

APABILA pengarah Antoine Fuqua yang terkenal dengan genre aksi menghasilkan The Magnificent Seven, tentu saja ramai penggemar filem koboi menjangkakan beliau bakal menampilkan naskhah sama dengan karya klasik terbitan 1960. Karya terbabit pula dihasilkan kembali berdasarkan filem Jepun arahan Akira Kurosawa, Seven Samurai (1954).

Bagaimanapun, sutradara yang sebelum ini menghadiahkan Southpaw kepada penonton bukan menghasilkan semula filem klasik berkenaan, sebaliknya menjadikannya sebuah naskhah yang baharu dengan menampilkan karakter yang berbeza. Cuma, idea asalnya yang dikekalkan.

Ia kekal sebagai sebuah judul yang mengajak khalayak mengikuti kisah kecekalan dan ketabahan hati, sikap saling membantu dan berpadu tenaga sekumpulan 'wira' dalam usaha mereka membantu masyarakat tertindas.

Tanpa perlu mengetengahkan babak terlalu ngeri mahupun budaya melampau bagi meraih perhatian, The Magnificent Seven tetap hadir sebagai naskhah yang tidak harus dilepaskan, selain sarat dengan nilai seni dan pengajaran.

Ia membawa penonton kembali ke tahun 1870 di Amerika Syarikat selepas era perang saudara.

Menampilkan watak Sam Chisolm lakonan Denzel Washington, Josh Farraday (Chris Pratt), Goodnight Robicheaux (Ethan Hawke), Jack Horne (Vincent D'Onofrio), Billy Rocks (Byung-hun Lee), Vasquez (Manuel Garcia-Rulfo) dan Red Harvest (Martin Sensmeier), mereka adalah sekumpulan lelaki yang saling tidak mengenali, sebaliknya mampu mengetepikan segala perbezaan bagi menghapuskan kejahatan.

ANTARA barisan pelakon filem The Magnificent Seven.
ANTARA barisan pelakon filem The Magnificent Seven.

Bersama kebolehan tersendiri, masing-masing hadir ke sebuah pekan untuk berdepan lelaki kaya yang kejam dan tamak, Bartholomew Bogue (Peter Sarsgaard).

Bukan saja menindas, membunuh si miskin, merogol wanita tidak terdaya dan membakar rumah serta gereja, lelaki tidak berperikemanusiaan itu dan kumpulannya turut merampas tanah milik penduduk kawasan berkenaan.

Seorang wanita, Emma Cullen (Haley Bennett) yang kematian suami akibat ditembak lelaki itu, bersama-sama penduduk tertindas, akhirnya meminta bantuan kumpulan lelaki berkenaan bagi menghentikan kezaliman. Malah, mereka sama-sama bangkit dalam usaha memperjuangkan hak.

Namun, sebelum mereka mampu berdepan Bogue dan konconya, tujuh lelaki terbabit terlebih dulu perlu melatih penduduk pekan itu untuk belajar menggunakan senjata, bertarung dan menunggang kuda. Saat itu jugalah beberapa babak kelakar akan dapat disaksikan.

Sesuai dengan genre koboi dan aksi yang diketengahkan pula, filem terbaharu Fuqua ini pasti saja sarat dengan babak tembak-menembak, tunggangan kuda yang mendebarkan selain adegan pertarungan.

Biarpun ada ketikanya plot cerita agak mendatar, tetapi menerusi teknik penggambaran yang baik, kehadiran bintang ternama, selain nilai seni yang hebat, filem ini sebuah karya yang menghiburkan.

WATAK Sam Chisolm lakonan Denzel Washington.
WATAK Sam Chisolm lakonan Denzel Washington.

The Magnificent Seven versi Fuqua mampu membawa khalayak kembali ke era silam menerusi arahan seni, penyediaan props dan lokasinya yang meyakinkan.

Lebih utama, filem yang memakan masa selama 64 hari penggambaran di enam lokasi di sekitar AS, termasuk di New Mexico dengan latar pergunungan, berupaya meninggalkan kesan mendalam apabila ia mengajar kita erti persaudaraan dan pengorbanan, sikap saling menghulurkan pertolongan, serta perjuangan menentang kebatilan.

Info:

Filem: The Magnificent Seven

Genre: Aksi / Western

Pengarah: Antoine Fuqua

Pelakon: Denzel Washington, Chris Pratt, Ethan Hawke, Vincent D'Onofrio, Byung-hun Lee, Manuel Garcia-Rulfo, Martin Sensmeier, Peter Sarsgaard, Haley Bennett

Berita Harian X