Khamis, 29 September 2016 | 12:15am
CONTOH ugutan siber Ransomware yang dipaparkan di skrin komputer atau telefon pintar selepas diceroboh.
CONTOH ugutan siber Ransomware yang dipaparkan di skrin komputer atau telefon pintar selepas diceroboh.

Virus siber curi tesis, siswa diperas RM2,000

 

 


KUALA LUMPUR: Seorang pelajar universiti tempatan terpaksa membayar RM2,061 (USD500) bagi mendapatkan kembali tesis pengajian, selepas data terbabit dikunci pengugut siber, menggunakan virus Ransomware.

 

Dalam kejadian akhir Julai lalu, virus berkenaan dihantar bersama dokumen yang dimuat turun mangsa dalam fail berformat ketika membuat rujukan internet.

 

Ketika kejadian, mangsa terkejut melihat skrin komputer ribanya memaparkan nota amaran berbunyi, "Your personal files are encrypted by CTB-Locker" (Fail peribadi anda dijangkiti CTB-Locker, iaitu sejenis virus Ransomware).

 

Pelajar Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia (UTHM), Faris Fahmi Zahari, 26, berkata beliau kemudian menerima pesanan susulan yang semua fail miliknya sudah dikunci dengan kata kunci dan diminta membayar jika mahu memperolehnya kembali.

 

"Dalam kejadian itu, fail tesis saya yang disimpan dengan nama Projek Satu, bertukar nama menjadi gabungan 32 huruf, yang membentuk kata kunci hingga saya tidak mampu membukanya.

 

"Berdasarkan pesanan diterima, jika saya gagal membayar dalam tempoh ditetapkan, nilai bayaran meningkat RM1,000 setiap minggu sehingga data itu lenyap jika enggan membayarnya.

 

 KETUA Jabatan Keselamatan Maklumat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Isredza Rahmi A Hamid.
KETUA Jabatan Keselamatan Maklumat Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat Universiti Tun Hussein Onn Malaysia, Dr Isredza Rahmi A Hamid.

"Kaedah pembayaran adalah masuk ke satu capaian yang dihubungkan ke akaun maya menggunakan mata wang digital," katanya yang tidak lagi menggunakan komputer riba terbabit kerana bimbang penyerang masih menyembunyikan virus menerusi Internet Protocol (IP) yang digunakan.

 

Fahmi tampil berkongsi pengalaman itu, susulan pendedahan BH minggu lalu yang melaporkan ugutan siber Ransomware yang dikesan CyberSecurity Malaysia (CSM) semakin meningkat di negara ini.

 

Berbanding lapan kes pada 2014, jumlah pemerasan secara siber menggunakan virus itu meningkat kepada 134 kes sejak tahun lalu. menyebabkan pengguna terpaksa membayar bagi mendapatkan kembali fail yang dikunci.

 

Ransomware adalah jenis virus malware yang bertindak mengunci atau menyekat komputer hingga tidak dapat diakses pengguna.

 

Ketua Jabatan Keselamatan Maklumat, Fakulti Sains Komputer dan Teknologi Maklumat UTHM, Dr Isredza Rahmi A Hamid, berkata pihaknya dimaklumkan insiden itu oleh pensyarah yang dirujuk pelajar berkenaan.

 

Beliau berkata, pensyarah berkenaan menyarankan pembayaran bagi menyahsulit data fail yang dikehendaki pelajar terbabit serta membersihkan virus serta format semula komputer riba terbabit tetapi berisiko kehilangan data yang disimpan termasuk yang dikuncikan.

 

"Saya mencadangkan Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) mengenal pasti IP capaian penyerang atau IP emel pengirim serta menyekat kemasukan IP berkenaan daripada masuk ke ruang siber negara.

CONTOH ugutan siber Ransomware yang dipaparkan di skrin komputer atau telefon pintar selepas diceroboh.
CONTOH ugutan siber Ransomware yang dipaparkan di skrin komputer atau telefon pintar selepas diceroboh.

 

MANGSA ugutan siber Ransomware, Faris Fahmi Zahari dituntut membayar RM2,000 untuk data dikembalikan.
MANGSA ugutan siber Ransomware, Faris Fahmi Zahari dituntut membayar RM2,000 untuk data dikembalikan.

"Saya yakin masih ramai mangsa sepertinya tetapi tidak melaporkan kepada pihak berkuasa, sebaliknya menyelesaikan sendiri secara membayar bagi mendapatkan kembali data.

 

"Belum ada maklumat sahih dari mana punca atau tapak pelancaran serangan di lakukan, namun kami percaya ia dilakukan dari luar negara," katanya.

 

Tindakan pencegahan Ransomware
1. Memastikan muat turun perisian atau perkakasan internet yang diyakini sumbernya.
2. Jangan buka emel meragukan daripada orang tidak dikenali sebaliknya terus dipadamkan.
3. Jangan klik pautan sesawang atau emel yang tidak dipastikan sumbernya.
4. Sentiasa simpan data sama ada di dalam external hard disk atau pusat simpanan data maya
5. Muat turun "ransomware decrypter' daripada internet
6. Sentiasa naik taraf tahap keselamatan gajet internet

 

Berita Harian X