Rabu, 12 Oktober 2016 | 12:08am
PELAKON, Tony Eusoff atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman. - Foto Instagram
PELAKON, Tony Eusoff atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman. - Foto Instagram
TONY (kanan) sebagai P Ramlee dan Nadia Aqilah (kiri) sebagai Saloma ketika menjayakan P Ramlee The Musical Tour "Dari Penang ke Singapura" di Panggung Seri Taman Budaya, Jabatan Kebudayaan dan Kesenian Negara Melaka, Ayer Keroh, Melaka, pada September 2015. - Foto Muhammad Zuhairi Zuber

GAYA tersendiri Tony Eusoff ketika membawa watak P Ramlee ketika pementasan teater muzikal P Ramlee di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, pada September 2015. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin
GAYA tersendiri Tony Eusoff ketika membawa watak P Ramlee ketika pementasan teater muzikal P Ramlee di Dewan Sri Pinang, Pulau Pinang, pada September 2015. - Foto Rudy Syareme Sheriffudin

Tony Eusoff hargai peluang kedua selepas bebas penjara awal

KUALA LUMPUR: Pelakon Tony Eusoff, 38, dibebaskan lebih awal tiga bulan daripada hukuman lapan bulan penjara di Singapura pada 1 Oktober lalu.

Tony atau nama sebenarnya Anthony Joseph Anak Hermas Rajiman, yang dijatuhkan hukuman bermula 21 April lalu, meluahkan rasa gembira akhirnya dibebaskan dan dapat kembali menjalani kehidupan seperti biasa.

Katanya, sepanjang menjalani hukuman di balik tirai besi, beliau cuba bermuhasabah diri dan pada masa sama memastikan sentiasa berdisiplin agar dapat dibebaskan lebih cepat.

"Saya sihat, berat badan pun sudah naik tiga kilogram. Bermula pada hari pertama di penjara, saya nekad dalam hati, jangan buat hal. Fokus saya adalah untuk keluar dari tempat itu saja. Jika berdisiplin, pihak penjara akan membenarkan kita bebas lebih awal.

"Saya juga mengikut rentak di tempat berkenaan. Saya menghormati orang lain dan orang juga akan hormat pada kita. Lama-lama, saya boleh menerima suasana di situ. Cuma, lima bulan berada di sana diibaratkan seperti lima tahun lamanya," kata pelakon itu kepada BH.

Tony dihadapkan ke mahkamah pada 31 Mac lalu dan didakwa memiliki dadah terkawal Kelas A di bawah Akta Penyalahgunaan Dadah.

MAHKAMAH Singapura menjatuhkan hukuman penjara ke atas Tony kerana memiliki dadah pada 21 April 2016. - Foto Instagram
MAHKAMAH Singapura menjatuhkan hukuman penjara ke atas Tony kerana memiliki dadah pada 21 April 2016. - Foto Instagram

Laporan berita menyebut, pelakon itu dipercayai memiliki satu paket mengandungi tidak kurang daripada 4.56 gram bahan sayuran yang dianalisis dan didapati mengandungi kesan ganja.

Beliau didakwa memiliki dadah itu di balai ketibaan bas Pihak Berkuasa Imigresen dan Pusat Pemeriksaan di Pusat Pemeriksaan Tuas pada 12 Mac lalu.

Ekoran kesalahan berkenaan, Mahkamah Singapura menjatuhkan hukuman lapan bulan penjara ke atas Tony kerana memiliki dadah pada 21 April 2016.

Pelakon filem Sepi itu berkata, bukan mudah untuk menyesuaikan diri di penjara dan bagi memastikan dirinya sentiasa waras, beliau menguatkan fizikal dan mental menerusi aktiviti senaman. Pada masa sama Tony turut memastikan beliau makan mengikut jadual yang ditetapkan pihak penjara.

Dalam pada itu, Tony berkata, beliau juga berdepan dengan situasi dirinya tidak mempercayai beliau perlu menjalani kehidupan di penjara untuk beberapa bulan.

"Saya bermuhasabah diri. Maklumlah, saya masih lagi dalam keadaan tidak percaya dan tidak mahu percaya dengan realiti (berada di penjara). Kemudian, perlahan-lahan saya renung kembali kesilapan diri.

"Tetapi, paling sukar adalah untuk memaafkan diri atas kesilapan yang dilakukan. Kira-kira dua bulan juga saya mengambil masa untuk menerima diri saya semula.

TONY Eusoff mengesahkan sudah dibebaskan daripada hukuman penjara di Singapura tiga bulan lebih awal pada 1 Oktober lalu. - Foto Khairunisah Lokman
TONY Eusoff mengesahkan sudah dibebaskan daripada hukuman penjara di Singapura tiga bulan lebih awal pada 1 Oktober lalu. - Foto Khairunisah Lokman

"Saya fikir, perkara itu sudah pun berlaku dan kita perlu meneruskan kehidupan di samping orang yang kita sayangi," ujarnya.

Sementara itu, Tony turut bersyukur kerana memiliki rakan-rakan yang tidak henti-henti memberikan sokongan kepadanya.

Malah, ada juga yang menghantar surat kepadanya dengan memberitahu beliau sentiasa dikelilingi rakan-rakan yang akan membantunya dan perkara itu benar-benar membuatkan beliau terharu.

"Risau juga orang tidak akan menerima saya, tetapi saya amat bertuah mempunyai kawan-kawan yang sentiasa menyokong walaupun ketika saya berada dalam keadaan susah.

"Malah, ada beberapa produksi yang sudah menawarkan saya berlakon filem. Ketika ini, ia masih lagi dalam peringkat perbincangan.

"Bagaimanapun apa yang berlaku menjadi pengajaran buat diri ini, yang semestinya saya takkan ulangi lagi. Jangan sia-siakan segala pengajaran yang diberikan," katanya.

Berita Harian X