Khamis, 20 Oktober 2016 | 12:03am

Rakaman dua cinta dalam Mahadewi

NOVEL Mahadewi. - Foto Ihsan Pembaca
NOVEL Mahadewi. - Foto Ihsan Pembaca

APA khabar agaknya Alang dan Nuha sesudah berumah tangga? Khabar apa pula menanti di Rumah Teh Timor di Tanah Tinggi Cameron yang dulu pernah menjadi saksi kisah cinta Dahlia dan Wadi Hannan?

Bagi peminat novel Noor Suraya Adnan Sallehudin atau lebih dikenali sebagai Noor Suraya, watak seperti Nuha dan Dahlia cukup dekat dengan jiwa mereka.

Nuha ialah watak utama dalam novel terkenal Noor Suraya, iaitu Surat Ungu Untuk Nuha yang diterbitkan pada 2007, sementara Dahlia pula daripada naskhah Panggil Aku Dahlia yang diterbitkan setahun kemudian.

Peluang untuk kembali menemui Nuha dan Dahlia pasti tidak akan disia-siakan. Di situlah letaknya keunikan Mahadewi, karya terbaharu Noor Suraya yang memuatkan dua novela, iaitu Surat Putih Untuk Alang dan Panggil Saya Mawar.

Kedua-dua karya ini sangat manis dan istimewa terutama dalam kalangan pembaca setia Noor Suraya.

Bagaimanapun, bagi pembaca baharu, tulisan Noor Suraya jarang menghampakan, sebaliknya ia sangat dekat dengan jiwa pembaca dengan penggunaan bahasa yang indah, tetapi santai.

Bagi mereka yang sudah membaca Surat Ungu Untuk Nuha, Surat Putih Untuk Alang adalah sambungan naskhah itu yang menyorot kisah Nuha dan Alang sesudah empat tahun berkahwin.

Rakaman kisah kasih sayang

Mereka dihadapkan dengan cabaran suami isteri yang menggugah setia dan mengocak emosi apabila anak mereka, Waizh meninggal dunia pada usia 57 hari.

Sementara Panggil Aku Mawar menghidangkan cabaran lain pula untuk Dahlia yang tampil dengan watak lebih dominan berbanding Nuha apabila lebih cekal dan bijak menangani masalah berikutan penutupan Rumah Teh Timor.

Mahadewi sebenarnya adalah rakaman kisah kasih sayang dan kemanusiaan yang indah serta manis dalam cara tersendiri tetapi ia seharusnya tidak dilepaskan oleh pembaca setia Noor Suraya.

Berita Harian X