Jumaat, 21 Oktober 2016 | 12:12am

Watak penari balet berhijab, Puteh Maimun Zahrah sedia dikritik

KUALA LUMPUR: Ketika sindrom Islamofobia hangat diperkatakan masyarakat dunia, industri sinematik tempatan bakal menyaksikan munculnya filem eksperimentasi, "Hijabsta Ballet" yang mengupas isu wanita Islam termasuk soal diskriminasi dalam kerjaya dan bidang diminati mereka.

Memikul watak utama dalam filem garapan sutradara Syed Zulkifli Syed Masir itu, penari profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail, 20, sedar peranan dibawa mampu mencetus kontroversi buat dirinya yang masih hijau dalam bidang lakonan.

Cuba memberi yang terbaik, Puteh menjiwai watak pejuang hak wanita berhijab yang dibawanya dalam filem berkenaan biarpun secara realitinya, dirinya belum bertudung.

"Ini pengalaman pertama saya. Bagi saya, bagi saya semua orang terbuka untuk memberi pendapat.

"Saya cuba mengambil inspirasi orang lain untuk menguatkan semangat jika setiap orang melemparkan kritikan mengenai isu hijab yang dipaparkan dalam filem ini.

PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.
PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.

"Kritikan adalah proses normal pembelajaran bagi setia pelakon yang baharu menceburi bidang ini.

"Saya fikir, sebelum ini pun, ramai pelakon lain melalui situasi sama seperti saya iaitu melakonkan watak berhijab tetapi dalam masa yang sama, realitinya belum bersedia untuk berhijab," katanya kepada BH.

Mengulas plot cerita yang mengangkat subjek hijab sebagai hukum yang wajib dilakukan wanita Islam dan seni tari balet, Puteh mengaku membuat kajian mendalam mengenai topik berkenaan.

"Sewaktu hadir pada sesi uji bakat, produksi ada beritahu plot dan konflik dalam filem ini. Apabila membacanya, saya tidaklah rasa terkejut.

"Saya pernah membaca kisah Stephanie Kurlow yang berada dalam situasi sama ketika mahu menyertai kelas balet. Kisahnya menjadi inspirasi saya untuk membawakan watak itu dalam filem ini," katanya.

ANTARA babak dalam filem Hijabsta Ballet.
ANTARA babak dalam filem Hijabsta Ballet.

Puteh berkata, dia teruja dengan jalan cerita filem terbabit yang ada kaitan dengan minatnya dalam bidang tarian sejak berusia empat tahun.

"Secara peribadi, jalan ceritanya sesuatu yang segar bagi industri filem dan tidak pernah diceritakan di Malaysia hingga diangkat ke layar perak," katanya yang bersyukur diberi peluang menimba pengalaman apatah lagi didorong ikon penari, Farah Sulaiman untuk menghadiri uji bakat filem itu.

Tak suka tonton lakonan sendiri

Maimun yang kurang fasih berbahasa Melayu, mengakui kekok untuk melihat aksinya di skrin apatah lagi mendengar dirinya melontarkan dialog.

"Sejak kecil saya didedahkan dengan bahasa Inggeris, baik ketika belajar di sekolah rendah, menengah mahupun kolej. Namun, apabila tahu saya harus melakonkan watak yang memerlukan saya bercakap bahasa Melayu, saya berdebar-debar dan malu.

"Namun, saya bersyukur, walaupun diberi peranan utama, tetapi dalam setiap babak, saya tidak banyak mendapat dialog yang panjang. Saya hanya perlu bermain emosi dan aksi," katanya.

Puteh berkata, melihat hasil filem berkenaan, banyak lagi yang perlu diperbaikinya dalam lakonan.

"Saya tidak suka tengok diri sendiri dalam skrin, baik ketika membuat persembahan tari atau lakonan yang memerlukan saya melontarkan suara dan beraksi," katanya.

ANTARA babak dalam filem Hijabsta Ballet.
ANTARA babak dalam filem Hijabsta Ballet.

Info

Nama: Puteh Maimun Zahrah Ismail

Usia: 20 tahun

Asal: Kuala Lumpur

Adik-beradik: Anak keempat daripada lima beradik

Pendidikan: Diploma Akademi Seni Pastri Malaysia

Pengalaman: Menari balet sejak berusia empat tahun dan kini berada pada peringkat akhir atau Level 2

Kebolehan: Tarian tab, balet, Broadway dan kontemporari serta pengajar tarian tab kanak-kanak

PUTEH menjiwai watak pejuang hak wanita berhijab yang dibawanya dalam filem Hijabsta Ballet.
PUTEH menjiwai watak pejuang hak wanita berhijab yang dibawanya dalam filem Hijabsta Ballet.
PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.
PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.
PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.
PENARI profesional, Puteh Maimun Zahrah Ismail.
Berita Harian X