X
Sabtu, 12 November 2016 | 12:02am

Riezman Khuzaimi dituntut tunaikan nafkah kepada anak-anak

PENGAKUAN pelakon, Riezman Khuzaimi, 46, bakal menamatkan zaman duda dengan usahawan wanita berstatus Datuk pada hujung tahun ini mendapat reaksi bekas isterinya, Kartina Ayoob, 47, yang kini menetap di Perth, Australia.

Mengakui sudah terlalu lama memendam rasa kerana mahu menjaga nama baik bekas suaminya, Kartina akhirnya bersuara meluahkan segala yang selama ini hanya terbuku di sudut hatinya.

Kartina yang mendirikan rumah tangga dengan Riezman pada tahun 2001, tetapi bercerai talak satu pada Januari 2005 mendakwa Riezman tidak bertanggungjawab apabila mengabaikan nafkah dan peranannya sebagai bapa kepada dua anak mereka, Afiq Kiraman, 13, dan Ruzain Nasr, 8.

"Saya tumpang gembira mendengar berita Riezman bakal menamatkan zaman duda tetapi khabar itu hanya menggembirakan hatinya, bukan anak-anak yang diabaikannya. Riezman selama ini gagal melaksanakan peranannya sebagai bapa, tetapi sanggup pula memikul tanggungjawab baharu.

"Selama ini, saya hanya mendiamkan diri kerana tidak mahu mengeruhkan keadaan. Namun, selepas terlalu banyak janji yang dimungkiri, saya terpaksa mendedahkan perkara sebenar kepada media. Selepas berbincang dengan anak-anak dan menerima restu mereka, saya akhirnya terpaksa bersuara," luah Kartina dalam perbualan menerusi aplikasi Whatsapp.

PELAKON, Riezman Khuzaimi, bakal menamatkan zaman duda dengan usahawan wanita berstatus Datuk pada hujung tahun ini.
PELAKON, Riezman Khuzaimi, bakal menamatkan zaman duda dengan usahawan wanita berstatus Datuk pada hujung tahun ini.

Kartina yang kini menetap di Perth sejak tiga tahun lalu bersama tiga anaknya termasuk anak sulung hasil perkahwinan pertamanya, Tatiana Batrisya, 21, mendakwa dia terlalu banyak berkorban sepanjang mereka hidup bersama.

Pelakon kelahiran Singapura itu juga sanggup melalui susah payah bersama kerana cinta.

"Saya sedia membantu untuk meringankan bebannya. Disebabkan terlalu cinta dan sayang, saya kehilangan ramai kawan. Saya bukan mahu mengungkit atau memburuk-burukkan bekas suami, tetapi hanya ingin Riezman menyelesaikan hutang dan nafkah anak yang tertangguh.

"Sejak hari pertama kami bernikah hingga berpisah, saya banyak mengeluarkan duit untuk menanggung keluarga. Bayaran menguruskan perkahwinan, perbelanjaan rumah malah ketika hamil dan anak sakit, semuanya saya tanggung. Siang malam saya bekerja, mencari nafkah untuk keselesaan kami sekeluarga.

"Bekas suami sering memberikan alasan tidak cukup wang kerana tiada tawaran berlakon. Terlalu banyak alasan yang diberikannya. Tetapi apabila ada duit, dia bebas berbelanja sesuka hati memenuhi hobinya," katanya.

KARTINA sudah berkahwin semula, kini menetap di Perth, Australia sejak tiga tahun lalu bersama suami baharu dan tiga anaknya.
KARTINA sudah berkahwin semula, kini menetap di Perth, Australia sejak tiga tahun lalu bersama suami baharu dan tiga anaknya.

Menegaskan luahan itu dibuat bukan untuk menagih simpati, Kartina sebaliknya hanya ingin memperjuangkan hak anak dan dirinya selama mereka hidup bersama.

Kartina berkata, perkara itu tidak akan menjadi besar sekiranya Riezman menunaikan segala janji, termasuk melangsaikan segala hutang dan nafkah anak.

"Saya tidak akan tergamak mendedahkan perkara ini kepada umum jika Riezman berpegang kepada janji. Saya cuma mahu Riezman berubah, tambahan pula dia bakal mendirikan rumah tangga. Saya kenal bakal isterinya, malah mengakui wanita itu baik orangnya. Saya berharap apa yang berlaku kepada saya tidak berulang lagi pada masa depan," katanya.

Kartina yang sudah berumah tangga semula, kini menjalankan perkhidmatan katering dan membekalkan kuih tradisional sejak awal tahun lalu, selain terbabit dalam kerja pemasaran untuk syarikat pengiklanan di Perth.

"Saya juga membuka gerai makanan Singapura di bandar sejak lima bulan lalu. Cuma, kini saya sedang berehat kerana masalah kesihatan. Suami akan sesekali membantu saya di gerai. Alhamdulillah, suami sangat menyokong biarpun pada masa sama, sibuk dengan pengurusan syarikatnya," katanya.

KARTINA Ayoob ketika masih bersama Riezman Khuzaimi sebagai suami isteri.
KARTINA Ayoob ketika masih bersama Riezman Khuzaimi sebagai suami isteri.
Berita Harian X