Sabtu, 12 November 2016 | 12:05am

Pembalakan Bukit Perangin dihentikan untuk siasatan

ALOR SETAR: Projek pembalakan dalam Hutan Simpan Bukit Perangin dekat Padang Terap, yang didakwa menyebabkan pencemaran bekalan air tandak penduduk Kampung Paya Terap yang terletak berdekatan, diarah dihentikan serta-merta semalam.

Arahan pemberhentian sementara itu dikeluarkan Jabatan Perhutanan Negeri Kedah bagi tujuan kajian dan penilaian semula terhadap operasi syarikat konsesi pembalakan terbabit, sama ada melanggar syarat lesen diberi termasuk menceroboh zon penampan.

Pemangku Pengarah Jabatan Perhutanan Negeri Kedah, Abdul Rahman Abdul Jalil, berkata menjadi kewajipan setiap aktiviti pembalakan membabitkan sungai, untuk mewujudkan zon penampan bagi mengelak operasi menyebabkan pencemaran terhadap sumber air.

"Kita sudah arahkan supaya kerja pembalakan di situ dihentikan sementara, untuk kita buat semakan semula sama ada ia memang memberi kesan kepada air.

"Jika berlaku pelanggaran syarat lesen, kita boleh hentikan aktiviti terbabit, selain mengenakan denda kepada pelesen," katanya kepada BH semalam.

PROJEK pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perangin didakwa menyebabkan pencemaran kepada bekalan air penduduk Kampung Paya Terap, dekat Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam
PROJEK pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perangin didakwa menyebabkan pencemaran kepada bekalan air penduduk Kampung Paya Terap, dekat Padang Terap. - Foto Sharul Hafiz Zam

Beliau mengulas pendedakan BH mengenai pembalakan sekitar puncak Hutan Simpan Bukit Perangin sejak tiga bulan lalu, yang didakwa penduduk menyebabkan pencemaran sumber bekalan air tandak yang dinikmati kira-kira 200 penduduk Kampung Paya Terap.

Pencemaran dipercayai berlaku berikutan hutan terbabit menjadi kawasan tadahan sumber air kepada kolam tandakan yang dibina penduduk sejak 40 tahun lalu. Kawasan tandakan air terbabit dibina penduduk kampung secara bergotong-royong dengan peruntukan bekalan paip daripada Jabatan Kesihatan Daerah Padang Terap.

Tandakan air bukit bukan sesuatu yang asing kepada penduduk luar bandar di Kedah, kerana projek seumpama itu banyak dibina sekitar 1980-an, yang dilaksanakan secara gotong royong oleh penduduk dengan sokongan agensi kerajaan khususnya Jabatan Kesihatan bagi menyalurkan bekalan air bersih.

Ketika ini, penduduk kampung terbabit menerima air bersih bagi tujuan memasak dan minuman daripada Syarikat Air Darul Aman (SADA) yang menghantar bekalan menggunakan lori setiap dua hari kepada semua rumah penduduk di situ.

Kawasan kampung terbabit tidak menerima bekalan air menerusi paip SADA kerana berdepan masalah tekanan rendah.

CONTOH air yang kotor di rumah salah seorang penduduk di Kampung Paya Terap. - Foto Amran Hamid
CONTOH air yang kotor di rumah salah seorang penduduk di Kampung Paya Terap. - Foto Amran Hamid

Mengulas mengenai aktiviti pembalakan dalam Hutan Simpan Bukit Perangin itu, Abdul Rahman berkata, ia membabitkan kawasan Kompartmen 36B dengan keluasan kira-kira 70 hektar yang dilesenkan.

Beliau berkata, susulan pendedahan BH, pihaknya sudah menghantar pegawai meninjau kesan pembalakan di Hutan Simpan Bukit Perangin termasuk memeriksa keadaan bekalan air yang didakwa menjadi kotor akibat kegiatan itu.

Bagaimanapun, katanya berdasarkan pemeriksaan awal dibuat petugas Jabatan Perhutanan negeri, keadaan itu disifatkan hanya sementara, berikutan bekalan air itu hanya didapati menjadi keruh apabila berlakunya hujan.

Mengenai kewujudan tandak air di kawasan hutan simpan itu, beliau berkata, Jabatan Perhutanan negeri tidak dimaklumkan mengenainya berikutan tiada permohonan dibuat wakil penduduk kampung untuk mewartakan ia sebagai bekalan air masyarakat.

AIR tadahan di kolam tandakan yang dibina penduduk menjadi keruh. - Foto Sharul Hafiz Zam
AIR tadahan di kolam tandakan yang dibina penduduk menjadi keruh. - Foto Sharul Hafiz Zam

"Sebenarnya jika mana-mana pihak mahu membuat tandak air dalam kawasan hutan simpan, mereka perlu memohon dengan Jabatan Perhutanan negeri kerana ia tertakluk mengikut Akta Perhutanan Negara 1984.

"Mereka perlu membuat permohonan untuk mendaftarkan bekalan air masyarakat supaya kita tahu penggunaan air oleh penduduk setempat," katanya.

Mengulas perkara itu, Abdul Rahman berkata, pihaknya tidak menolak kemungkinan jabatan yang terbabit dengan projek kemasyarakatan itu, tidak memaklumkan kepada Jabatan Perhutanan negeri mengenai pembinaan tandak berkenaan.

FAKTA:
* 70 hektar kawasan pembalakan dalam Hutan Simpan Bukit Perangin
* 200 penduduk Kampung Paya Terap terjejas
* 40 tahun usia kemudahan air tandak.

PENDUDUK terpaksa menggunakan sumber air tadahan yang kotor dan keruh. - Foto Sharul Hafiz Zam
PENDUDUK terpaksa menggunakan sumber air tadahan yang kotor dan keruh. - Foto Sharul Hafiz Zam
Berita Harian X