Sabtu, 19 November 2016 | 12:20am

Menikmati siput gonggong

RESTORAN Terapung Bujang Firefly di Bandar Penawar.
RESTORAN Terapung Bujang Firefly di Bandar Penawar.

RESTORAN Terapung Bujang Firefly di Bandar Penawar, Johor menepati kriteria pengunjung kerana restoran ini menawarkan pakej mengintai jejak kunang-kunang sepanjang hutan payau bakau Sungai Lebam.

Restoran ini menawarkan lebih 60 menu dan hidangan yang penulis anggap eksotik ialah belangkas dan siput gonggong dimasak menerusi pilihan rasa lemak dan pedas.

Tidak kurang juga mengulang kunjung kerana terpaut dengan kelazatan udang masak mentega, sotong goreng nestum, ikan talapia air masin dimasak tiga rasa namun ada juga pilihan dibakar, ikan siakap stim ala Thai ataupun masak Bali, ketam telur masin dan sebagainya.

Pengusahanya, Mohd Rizwan Shahril berkata, penawaran menu belangkas bergantung kepada bekalan dan sekiranya ia habis awal, pihaknya perlu berhenti mengambil pesanan.

"Belangkas enak dimasak pedas namun, saya akui cepat habis. Belangkas yang lebih sedap bukan pada bulan terang kerana ketika ini ia tidak bertelur. Ramai yang sukar melupakan keenakan telurnya itu," katanya.

ANTARA menu yang boleh didapati di restoran itu.
ANTARA menu yang boleh didapati di restoran itu.

Siput direbus hingga empat hari

Jika bekalan belangkas habis, anda boleh mencuba ketam telur masin yang tidak pedas tetapi menghadirkan rasa lemak telur, manakala siput gonggong digemari kerana lembut dan kenyal sewaktu dikunyah selain tidak berbau hanyir.

"Proses menyediakan siput gonggong untuk masakan agak sukar. Ia tidak boleh terus dimasak sebaliknya perlu direndam selama tiga hingga empat hari sebelum direbus kemudian dimasak cara manapun. Langkah ini perlu diikuti bagi menghilangkan bau hanyir siput itu," katanya.

Mengulas pilihan menu yang didatangkan dalam pakej untuk dua orang hingga sepuluh orang makan, kata Rizwan, set berkenaan yang memperuntukkan antaranya nasi putih, tomyam campur, masak masam manis, stim, goreng tepung, sayur dan sebagainya berserta satu jag jus berharga RM14 boleh dinikmati dengan harga serendah RM65 hingga paling mahal, RM350. Begitupun, sajian ala carte dan masakan Barat disediakan bagi yang menolak hidangan secara set.

SUASANA di Restoran Terapung Bujang Firefly.
SUASANA di Restoran Terapung Bujang Firefly.

Peluang menyusuri sungai

Laluan menuju restoran ini memang menguji pemanduan dan kecekapan kerana keadaan jalan raya yang gelap jika berkunjung pada waktu malam.

Dari simpang jalan besar dan selepas bertemu terowong, perlu meneruskan kurang setengah jam pemanduan melewati ladang sawit, jalan kampung yang berliku sebelum boleh menarik nafas lega melihat papan tanda restoran depan mata.

Penulis memandu Nissan Almera 1.5 liter dengan enjin empat silinder HR15DE dilengkapi sistem Continuously Variable-valve Timing Control (CVTC) yang menawarkan penjimatan bahan api mengagumkan. Kereta ini turut menawarkan sistem navigasi berasaskan Android dengan skrin bersaiz 6.5 inci menjadikan pemanduan lebih seronok bertemankan kompilasi lagu peribadi dari MP3 atau telefon pintar, manakala mengambil selekoh, pecutan kekal lancar dan stabil.

Selepas atau sebelum makan, anda boleh menyusuri Sungai Lebam untuk melihat kawasan paya bercahaya diterangi kunang-kunang bahkan semakin banyak yang mengeluarkan cahaya apabila pembantu bot mencurahkan air di rimbunan pokok di gigi air.

Kembali ke restoran, pelanggan boleh menyambung makan sambil merasai kesegaran hembusan angin segar dari muara. Tiupan yang lebih kuat bersama arus gelombang bot yang lalu di depan restoran menjadikan lantai restoran bergoyang sekali gus memberikan pengalaman mengasyikkan buat mereka yang belum pernah mengunjungi restoran sepertinya.

INFO

  • Restoran Terapung Bujang Firefly
  • Lokasi: Jalan Johor Silica, Sg Lebam, Bandar Penawar, Kota Tinggi.
  • Waktu operasi: 12 tengahari hingga 11.30 malam
  • Menu Tarikan: Masakan belangkas dan siput gonggong
  • Menu lain: udang masak mentega, sotong goreng nestum, ikan talapia air masin dimasak tiga rasa dan ketam telur masin

Berita Harian X