Sabtu, 26 November 2016 | 12:15am
INDIVIDU yang kerap mengalami sembelit dan membiarkannya tanpa rawatan berdepan risiko penyakit lain seperti buasir kesan meneran kuat ketika membuang air besar. - Foto hiasan
INDIVIDU yang kerap mengalami sembelit dan membiarkannya tanpa rawatan berdepan risiko penyakit lain seperti buasir kesan meneran kuat ketika membuang air besar. - Foto hiasan

Sembelit boleh jadi punca buasir

SELAIN tabiat makan yang tidak menentu, gaya hidup yang sibuk dan tekanan juga menyumbang kepada sembelit. - Foto hiasan
SELAIN tabiat makan yang tidak menentu, gaya hidup yang sibuk dan tekanan juga menyumbang kepada sembelit. - Foto hiasan

KEBANYAKAN orang sering memandang remeh sekiranya tidak membuang air besar walaupun sehingga seminggu atau lebih kerana menganggap perkara itu bukan masalah besar.

Ramai juga tidak mengambil berat atau tidak sedar bentuk najis yang dikeluarkan juga petanda usus sedang mengalami masalah atau sebaliknya.

Ketua Perubatan Boehringer Ingelheim Syarikat Farmaseutikal Global di Malaysia, Dr Mogana Sivalingam, berkata sekiranya lebih tiga hari dalam seminggu tidak membuang air besar, bermakna individu terbabit sedang berdepan masalah sembelit.

Hakikatnya, beliau berkata, sembelit tidak boleh dibiarkan, tetapi perlu dirawat kerana gangguan itu menjejaskan kesihatan dan mengganggu aktiviti seharian.

"Masalah sembelit boleh dikesan dengan melihat bentuk najis sama ada berbentuk `sosej' yang lembut. Bentuk ini menandakan usus anda tidak bermasalah.

"Najis berbentuk kacang pula menunjukkan anda berhadapan masalah sembelit," katanya ketika mengulas mengenai kesihatan usus untuk kesihatan menyeluruh di Bangsar, Kuala Lumpur, barubaru ini.

Tekanan ganggu kelancaran usus

Pelbagai program kesedaran mengenai kesihatan usus dianjurkan antaranya Healthy Bowel, Healthier You, bertujuan meningkatkan kesedaran umum mengenai kepentingan sistem usus yang sihat.

Kebanyakan daripada masyarakat kata Dr Mogana, sering mengaitkan sembelit dengan kurang makan sayur walaupun terdapat banyak sebab lain termasuk gaya hidup yang tidak sihat turut menyumbang kepada masalah itu.

Banyak makan sayur dengan tinggi kandungan serat termasuk minum air mencukupi bukan jaminan seseorang bebas daripada sembelit.

"Selain tabiat makan yang tidak menentu, gaya hidup yang sibuk dan tekanan juga menyumbang kepada sembelit.

"Pengambilan ubat untuk mengatasi darah tinggi, kurang bersenam, kehamilan dan tempat baharu yang dikunjungi menyukarkan anda membuang air besar," katanya.

Ramai yang bimbang menggunakan ubat atau julap untuk memudahkan proses pembuangan air besar kerana menyangka akan terlalu bergantung dengannya.

Pemeriksaan lanjut kesan penyakit lain

Tanggapan itu kurang tepat kerana ubat diperlukan untuk mengatasi sembelit dan perlu berjumpa doktor sekiranya masalah berkenaan tidak selesai selepas lebih dua minggu.

Doktor akan membuat pemeriksaan rapi menerusi ujian bagi mengesan penyakit lain di dalam usus, khususnya dalam kalangan pesakit berusia lebih 40 tahun.

Risiko buasir

Individu yang kerap mengalami sembelit dan membiarkannya tanpa rawatan berdepan risiko penyakit lain seperti buasir kesan meneran kuat ketika membuang air besar.

Sering mengalami sembelit dan kerap meneran antara punca otot dinding usus lemah dan tidak berfungsi dengan baik pada tempoh jangka panjang.

Rektum iaitu penghujung usus juga boleh terkeluar sedikit akibat proses mengeluarkan najis yang keras dan pesakit perlu menjalani pembedahan untuk memasukkannya pada kedudukan asal.

Punca sembelit

- Diet tidak menentu

- Kurang makan sayuran atau serat

- Kurang bersenam

- Tekanan

- Mengembara ke tempat baharu

- Kehamilan

- Hormon

- Tabiat merokok

- Usia lanjut

- Kurang tidur

Cara atasi

- Makan banyak sayur, 25 gram serat sehari

- Makan buah-buahan

- Kurangkan makanan diproses seperti daging dan sosej

- Makan makanan segar

- Minum banyak air

- Bersenam sekurang-kurang berjalan kaki selama 30 minit setiap hari.

- Jangan tahan bila terasa hendak membuang air besar (sebaiknya dua kali sehari)

- 25 gram (gm) serat sehari

# Brokoli 5 gm

# Epal 4.5 gm

# Roti mil penuh 2 gm

# Pisang 3 gm

# Salad 5 gm

# Pasta 6gm

# Beras perang 3-5gm

# Air 6-8gm

INFO: Tanda sembelit

# Buang air besar kurang tiga kali seminggu

# Perubahan secara tiba-tiba corak amalan buang air besar

# Najis keras, sukar dikeluarkan

# Perut kembung Pembuangan air besar normal

# Sekurang-kurangnya tiga kali seminggu

# Satu daripada lima orang mengalami sembelit

Berita Harian X