Khamis, 1 Disember 2016 | 12:08am

Haram gugurkan kandungan tanpa sebab dibenarkan syarak

Soalan: Bolehkah menggugurkan kandungan akibat penyakit yang saya alami. Saya dimaklumkan oleh rakan bahawa berbuat demikian adalah haram. Boleh ustaz bantu saya?

Jawapan: Perlu diingatkan hukum menggugurkan kandungan terbahagi kepada beberapa keadaan. Haram dan berdosa menggugurkan kandungan dengan sengaja tanpa sebarang sebab dibenarkan syarak. Lebih-lebih lagi apabila umur kandungan telah melebihi empat bulan.

Ini berdasarkan firman Allah SWT yang bermaksud: "Janganlah kamu membunuh anak kamu hanya kerana takut miskin. Sesungguhnya kami yang memberikan rezeki kepada anak itu dan termasuklah kamu juga. Ingatlah perbuatan membunuh mereka itu adalah satu jenayah yang sangat besar." (Surah al-Isra', ayat 31)

DR Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim
DR Mohd Izhar Ariff Mohd Kashim

Menggugurkan kandungan dibenarkan jika perbuatan itu menepati syarat iaitu kandungan memudaratkan ibu kerana penyakit yang dialaminya, mendapat nasihat daripada pakar sakit puan diiktiraf oleh kerajaan dan kandungan bukan akibat zina atau suka-suka.

Umur kandungan mestilah tidak melebihi empat bulan. Jika umur melebihi empat bulan maka ulama bersepakat mengharamkan perbuatan itu kecuali dalam keadaan darurat sangat seperti ia akan mengancam nyawa ibu pada saat-saat akhir kandungan.

Oleh itu, jangan sesekali kita cuba menggugurkan kandungan tanpa sebarang sebab yang munasabah atau yang dibenarkan oleh syariat.

* Penulis ialah pensyarah Fiqh Kepenggunaan Semasa Jabatan Syariah, Fakulti Pengajian Islam Universiti Kebangsaan Malaysia

Berita Harian X