Sabtu, 3 Disember 2016 | 12:04am

Anak buaya rezeki Pak Bujang

SARIKEI: Berbicara mengenai kisah buaya, pasti ramai mengaitkannya dengan sifat ganas reptilia itu kerana banyak nyawa menjadi korban setiap tahun, terutama di Sarawak.

Justeru, apabila ada individu tertentu mencari nafkah dengan menjadi penangkap atau penjinak buaya, tentu ada beranggapan ia pekerjaan yang menggerunkan kerana nyawa menjadi taruhan.

Namun, bagi petani, Bujang Ben, 50, dari Muara Payang di sini, pekerjaan dilakukannya itu bukan sesuatu yang luar biasa, malah tiada 'ilmu' tertentu diperlukannya bagi melakukan tugas itu kecuali sedikit keberanian.

"Ia bukanlah pekerjaan tetap saya tetapi sekadar melakukannya pada waktu terluang jika tidak pergi ke kebun. Ia tidak lebih dari hobi, selain didorong rasa cinta saya terhadap reptilia itu.

BUJANG Ben menunjukkan sebahagian daripada anak buaya yang dibelanya dan menjadi tarikan orang ramai untuk berselfie di tapak Pesta Nanas dan Buah Buahan Borneo 2016 di Sarikei. - Foto Khalid Latip
BUJANG Ben menunjukkan sebahagian daripada anak buaya yang dibelanya dan menjadi tarikan orang ramai untuk berselfie di tapak Pesta Nanas dan Buah Buahan Borneo 2016 di Sarikei. - Foto Khalid Latip

"Anak-anak buaya yang saya tangkap akan disimpan sebagai binatang peliharaan yang dijaga dengan baik. Ada juga dilepaskan kembali ke habitat asal," katanya.

Mesra membahasakan dirinya sebagai Pak Bujang, beliau mengakui menyedari bahaya menanti, namun tidak timbul rasa gusar kepada dirinya kerana sudah biasa dengan persekitaran sungai yang dikenal pasti sebagai lokasi 'persembunyian' reptilia terbabit.

Katanya, selain pengalaman dan kemahiran yang tinggi, beliau harus sentiasa berwaspada kerana setiap lokasi yang mempunyai anak buaya, pasti ada ibunya yang bersikap agresif.

"Kita juga kena tahu masa yang sesuai. Di Muara Payang, telur buaya paling banyak menetas pada bulan November hingga Disember. Perjalanan ke kawasan itu (lubuk buaya) mengambil masa sekurang-kurangnya sejam menggunakan bot.

"Biasanya, anak buaya merayau ketika air surut. Ketika itulah saya mengambil kesempatan untuk menangkapnya.

ANTARA anak buaya yang dipamerkan oleh Bujang Ben di Sarikei. - Foto Khalid Latip
ANTARA anak buaya yang dipamerkan oleh Bujang Ben di Sarikei. - Foto Khalid Latip

"Untuk menghampiri reptilia terbabit, petua dan dan pantang-larangnya, jangan buat bising atau berada terlalu hampir dengan kawasan ia membiak kerana itulah tempatnya membesar serta mencari makanan," katanya.

Biarpun sekadar mengisi masa terluang, Pak Bujang mempunyai pendekatan tersendiri untuk 'melariskan' anak-anak buayanya bagi menambah pendapatan seharian. 

Biasanya, beliau mengenakan bayaran cuma RM2 kepada orang ramai yang ingin bergambar dengan anak-anak sang bedal dalam koleksinya.

Pak Bujang berkata, beliau bukan sekadar ingin meraih rezeki tetapi membuka peluang kepada orang ramai merakam kenangan manis bersama reptilia itu dengan cara yang lebih mudah.

"Jika ada masa terluang, saya akan ke pasar tamu pada hujung minggu bagi memperkenalkan anak buaya ini kepada orang ramai. Mereka boleh membelai dan bergambar bersama haiwan ini.

ANAK buaya yang dipegang pengunjung ini sedia dijual pada harga RM200 jika ada pembeli yang mahu memilikinya. - Foto Khalid Latip
ANAK buaya yang dipegang pengunjung ini sedia dijual pada harga RM200 jika ada pembeli yang mahu memilikinya. - Foto Khalid Latip

"Bayarannya dikenakan cuma RM2. Orang ramai tidak perlu risau soal keselamatan, termasuk risiko digigit kerana semua anak buaya ini sudah diikat kemas mulut dan kakinya," katanya.

Bagi Pak Bujang, beliau puas melakukan pekerjaan berkenaan walaupun pendapatannya daripada acara 'Berselfie Bersama Sang Bedal' tidak menentu.

"Sekurang-kurangnya saya dapat memberi pengalaman baharu dan peluang kepada orang ramai untuk bermanja dengan  reptilia ini. 

" Ia sekali gus dapat menyemai perasaan sayang mereka terhadap sesama makhluk ciptaan Allah," katanya.

Pak Bujang juga sedia menjual anak buaya berkenaan kepada mana-mana pelanggan yang ingin membelinya untuk tujuan perubatan.

"Kalau ingin beli, saya menawarkan harga RM20 bagi yang bersaiz kecil dan RM150 hingga RM200 untuk yang bersaiz lebih besar," katanya.

ANAK buaya ditangkap oleh Bujang Ben ketika air surut. Foto Khalid Latip
ANAK buaya ditangkap oleh Bujang Ben ketika air surut. Foto Khalid Latip
BUJANG Ben, membantu seorang pengunjung bergambar kenangan bersama reptilia ini di Sarikei. - Foto Khalid Latip
BUJANG Ben, membantu seorang pengunjung bergambar kenangan bersama reptilia ini di Sarikei. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X