Ahad, 11 Disember 2016 | 12:20am

Reda diuji, Siti Nurhaliza cemerlang sepanjang 2016

ANDAI 2015 ditutup penyanyi tersohor, Datuk Siti Nurhaliza Tarudin dengan kesedihan kerana hasrat untuk menimang cahaya mata selepas sedekad menjadi isteri tidak kesampaian apabila keguguran pada Disember tahun lalu, 2016 yang masih bersisa pula bakal ditinggalkan dengan pelbagai catatan manis.

Dua dekad mencipta nama selepas menjuarai Bintang HMI 1995, anak kelahiran Pahang itu mengakui, Konsert Datuk Siti Nurhaliza and Friends yang dianjurkan Yonder Music dan Celcom Xpax pada 2 April lalu di Stadium Negara membekas kenangan terindah yang sukar dilupakannya.

Konsert ke-11 bagi meraikan dua dekad pembabitannya dalam dunia hiburan menggandingkan Siti dengan penyanyi terkemuka serantau seperti Anggun Cipta Sasmi, Afgan, Cakra Khan, Hafiz Suip, Faizal Tahir, Joe Flizzow dan SonaOne, serta dihadiri lebih 7,000 penonton.

"Alhamdulillah, 2016 banyak meninggalkan kenangan manis terutama dari sudut kerjaya. Konsert bersama teman seperjuangan di Stadium Negara itu, Siti anggap antara pencapaian terbaik yang memberi kepuasan peribadi sebagai insan seni. Sepanjang tahun lalu dan 2016, Siti terus aktif menjayakan pelbagai persembahan dan konsert.

"Meskipun diuji dugaan apabila keguguran selepas beraksi dalam konsert Satu Suara Volume 2 pada hujung tahun lalu, Siti reda. Siti percaya, Allah akan gantikan kedukaan itu dengan ganjaran yang lebih baik. Syukur kerana 2016 berjalan dengan baik dan lancar.

PENGGAMBARAN video klip Siti Nurhalizi disempurnakan di bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
PENGGAMBARAN video klip Siti Nurhalizi disempurnakan di bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab

"Tidak hanya dari segi kehidupan peribadi dan kerjaya seni, Siti turut dimurahkan rezeki dalam bidang perniagaan. Percubaan memperkenalkan koleksi pakaian sedia pakai pada Ramadan lalu menerima sambutan memberangsangkan. Ia adalah di luar jangkaan Siti.

"Begitu juga dengan jenama kosmetik, SimplySiti yang semakin maju, malah mendapat kepercayaan apabila menjalin kerjasama dengan syarikat penerbangan tambang murah terbaik, AirAsia," katanya.

Kali terakhir tampil dengan album Datuk Siti Nurhaliza Unplugged, tahun lalu, produksi itu juga melayakkan Siti menerima tujuh pencalonan pada Anugerah Industri Muzik ke-22 (AIM 22) yang mendekati kemuncaknya di Dewan Merdeka, Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC) pada 18 Disember ini.

Siti kembali mengukuhkan kerjaya nyanyiannya apabila menghasilkan lagu duet bersama Faizal Tahir menerusi Dirgahayu ciptaan penyanyi itu bersama Mike Chan dan Ezra Kong. Sebelum ini, Faizal pernah menghasilkan lagu Aku yang dimuatkan dalam album Fragmen, dua tahun lalu selain mencipta lagu Inspirasi yang dinyanyikan Hafiz Suip sebagai dedikasi dua dekad pembabitan Siti sebagai insan seni.

"Lagu ini agak istimewa apabila menyatukan dua vokal berbeza genre. Ia memberikan cabaran untuk kami mencari keserasian supaya keharmonian lagu itu menyerlah. Siti akui, Faizal memiliki keampuhan vokal yang tersendiri malah penghayatannya juga sangat baik.

SITI gembira melihat jenama kosmetik miliknya, SimplySiti semakin maju - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
SITI gembira melihat jenama kosmetik miliknya, SimplySiti semakin maju - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab

"Sejak awal mendengar melodi lagu itu, Siti sudah tertarik. Sebaik saja ia selesai dirakamkan dan diadun, Siti akui Dirgahayu antara kerjasama terbaik yang pernah Siti usahakan," kata penyanyi itu yang sebelum ini pernah berduet dengan Hafiz menerusi lagu Muara Hati dan Cakra Khan (Seluruh Cinta).

Diperkenalkan kepada peminat sejak Ogos lalu, siri promosi Dirgahayu yang menjadi lagu tema drama rantaian, Lara Aishah siaran Astro diteruskan dengan pembikinan muzik video yang disempurnakan di bangunan Stesen Kereta Api Kuala Lumpur pada 3 Disember lalu.

Mengangkat tema cinta agung dan merentasi masa, muzik video itu digarap Syahir Ismail bersama produksi Lokalab. Menggayakan rekaan Ezuwan Ismail, manakala solekan Epie Temerloh, pembikinan muzik video itu bermula sejak awal pagi dan hanya berakhir pada sebelah petang.

"Penggambaran bermula dengan babak membabitkan Siti, disusuli adegan membabitkan Faizal. Sempat juga Siti melihat visual awal rakaman dan Siti akui, berpuas hati kerana latarnya yang mempesona. Tidak sabar menanti ia siap sepenuhnya kerana Siti percaya, peminat juga akan teruja," katanya.

Sementara itu, Faizal pula menyifatkan kerjasama itu sudah lama dinantikan dan apabila diberi kesempatan, dirinya tidak mampu menolak.

"Alhamdulillah kerana impian untuk merakamkan lagu bersama penyanyi yang dikagumi ramai ini akhirnya menjadi kenyataan. Ia adalah hadiah paling bermakna untuk peminat yang selama ini sentiasa berharap kami akan dipertemukan di studio rakaman," katanya.

2016 disifatkan sebagai tahun yang meninggalkan banyak kenangan manis buat Siti Nurhaliza- Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
2016 disifatkan sebagai tahun yang meninggalkan banyak kenangan manis buat Siti Nurhaliza- Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
DIRGAHAYU yang menjadi lagu tema drama rantaian diteruskan dengan pembikinan muzik video - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
DIRGAHAYU yang menjadi lagu tema drama rantaian diteruskan dengan pembikinan muzik video - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
SITI percaya peminatnya akan teruja dengan klip video yang dihasilkan - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
SITI percaya peminatnya akan teruja dengan klip video yang dihasilkan - Foto Ihsan Siti Nurhaliza Production dan Lokalab
Berita Harian X