Ahad, 11 Disember 2016 | 12:21am

Waspada 'bom jangka' dalam rumah

KUALA LUMPUR: Sekurang-kurangnya 40 peratus, perkakasan elektrik terutama peranti dan aksesori alatan telekomunikasi dalam pasaran negara ini, dipercayai tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM.

Pengecas telefon bimbit yang mengalami litar pintas hingga meragut nyawa suri rumah pada April dan 'power bank' meletup mencederakan pemiliknya pada Ogos lalu, adalah antara kemalangan berpunca daripada peralatan tanpa kelulusan SIRIM.

Malah, Suruhanjaya Tenaga menyifatkan penggunaan barangan elektrik termasuk aksesori telefon tanpa kelulusan SIRIM, ibarat bom jangka kerana berpotensi mencetuskan bahaya kepada pengguna pada bila-bila masa.

Lambakan produk elektrik tanpa SIRIM dipercayai berpunca daripada tiada keseragaman prosedur kebenaran, mengawal kemasukan dan penjualan perkakasan elektrik terbabit, tetapi dijual meluas dan terbuka termasuk secara dalam talian serta menerusi sesawang sosial.

Keadaan itu juga dipercayai berlaku ekoran pertindihan tugas dalam mengawal selia semua produk berkenaan, kerana setiap agensi kerajaan mempunyai bidang kuasa yang terhad.

PENGARAH Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga, Othman Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah
PENGARAH Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga, Othman Omar. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Pengarah Penguatkuasaan dan Penyelarasan Kawasan Suruhanjaya Tenaga (ST), Othman Omar, berkata barangan elektrik tanpa kelulusan SIRIM, boleh mencetuskan bahaya kepada pengguna kerana tidak melalui ujian ketahanan dan keselamatan mengikut piawaian negara ini.

"Barangan elektrik tanpa kelulusan SIRIM ini ibarat bom jangka kerana tidak tahu bila ia menyebabkan litar pintas. Jika peralatan tidak sesuai dengan saluran elektrik rumah, ia boleh menyebabkan fius utama menyekat arus kepada seluruh premis.

"Contohnya, bagi pengecas telefon bimbit, jika ketebalan dan jenis wayar tidak sesuai dengan arus elektrik yang mampu ditampung, getah pembalutnya akan mencair, seterusnya boleh menyebabkan kebakaran," katanya kepada BH.

Othman berkata, siasatan pihaknya mendapati produk tiada kelulusan SIRIM terbabit dibawa masuk ke negara ini, menerusi pelbagai cara dan helah.

Beliau berkata, siasatan pihaknya juga mendapati, ada perkakasan yang tertera logo SIRIM/ST masih tidak menepati piawaian, apabila disambung dengan komponen lain yang tiada kelulusan.

OTHMAN Omar menunjukkan barangan elektrik yang mempunyai label SIRIM dan yang tidak mempunyai label berkenaan. - Foto Mohd Fadli Hamzah
OTHMAN Omar menunjukkan barangan elektrik yang mempunyai label SIRIM dan yang tidak mempunyai label berkenaan. - Foto Mohd Fadli Hamzah

Katanya, ada juga produk dibawa masuk, ditampal dengan jenama terkemuka untuk melepasi pemeriksaan pihak berkuasa.

"Ketika ini, peranti telekomunikasi seperti kabel, telefon, telefon bimbit, radio, televisyen, komputer riba, tablet, mesin faks dan penerima televisyen satelit, pula berada di bawah tanggungjawab Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM).

"Namun, aksesori seperti power bank masih tidak dikawal mana-mana badan kerajaan," katanya sambil menjelaskan yang ST hanya bertanggungjawab mengawal 34 jenis barangan elektrik seperti HS (peralatan rumah) dan pengecas alat (adapter).

Ketua Pengarah Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahyudin, mengakui pihaknya hanya berperanan memantau barangan elektrik yang mempunyai label SIRIM.

Beliau berkata, penguatkuasaan itu tidak termasuk tanggungjawab memastikan barangan elektrik yang dibawa dan dijual dalam pasaran negara ini mematuhi piawaian ditetapkan SIRIM.

KETUA Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahyudin. - Foto Saddam Yusoff
KETUA Penguatkuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri, Koperasi dan Kepenggunaan (KPDNKK), Mohd Roslan Mahyudin. - Foto Saddam Yusoff

"Setakat ini, kami hanya bertanggungjawab mengawal barangan mainan elektrik yang tidak mempunyai tanda keselamatan 'Malaysia Confirmity' (MC) secara khusus.

"KPDNKK sering bekerjasama dengan ST dan agensi lain bagi mengawal penyeludupan dan kemasukan barangan-barangan elektrik tidak patuh piawaian ini," katanya.

Semakan dengan Jabatan Standards Malaysia (JSM) mendapati, KPDNKK, ST, SKMM dan Lembaga Pembangunan Industri Pembinaan Malaysia (CIDB) serta Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM), mempunyai tugas masing-masing dalam mengawal produk elektrik.

SIRIM pula adalah badan yang dilantik untuk tujuan pematuhan pensijilan dengan piawaian kod barangan elektrik.

Tinjauan BH di sekitar ibu kota mendapati aksesori telefon bimbit tanpa sebarang piawaian keselamatan, dijual secara bebas dan meluas, sama ada di kedai atau kaki lima.

Begitu juga dengan perkakasan elektrik seperti HS (peralatan rumah), WA (aksesori kabel), LT (lampu) dan AV (audio dan video) yang boleh didapati dalam pasaran pada harga rendah, kerana kebanyakannya diimport dari China hingga mendominasi pasaran kini.

SIRI KEDUA ESOK: "Undang-undang ada tetapi banyak agensi keliru"

BARANGAN elektrik dan aksesori telefon tanpa mematuhi piawaian SIRIM boleh membahayakan keselamatan pengguna.
BARANGAN elektrik dan aksesori telefon tanpa mematuhi piawaian SIRIM boleh membahayakan keselamatan pengguna.
LAMBAKAN barangan elektrik tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM di negara ini.
LAMBAKAN barangan elektrik tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM di negara ini.
BARANGAN elektrik yang tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM digemari ramai kerana dijual murah
BARANGAN elektrik yang tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM digemari ramai kerana dijual murah
KEBANYAKAN barangan elektrik tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM dibawa masuk dari China
KEBANYAKAN barangan elektrik tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM dibawa masuk dari China
AKSESORI telefon adalah antara produk yang banyak tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM di negara ini.
AKSESORI telefon adalah antara produk yang banyak tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM di negara ini.
BARANGAN elektrik dan aksesori telefon yang tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM dijual secara terbuka di negara ini.
BARANGAN elektrik dan aksesori telefon yang tidak mempunyai kelulusan dan mematuhi piawaian SIRIM dijual secara terbuka di negara ini.
Berita Harian X