Jumaat, 23 Disember 2016 | 12:10am

Razak setia sebagai pembuat Tengkolok Perlis

ARAU: Kemahirannya dalam seni penghasilan tengkolok bukannya calang-calang tempoh, tetapi sudah lebih 50 tahun dengan hasil sentuhannya dipakai rakyat jelata hingga kepada Raja.

Kerjaya Abdul Razak Embong, 76, dalam pembuatan penutup kepala terbabit khususnya Tengkolok Perlis, bermula pada 1965 selepas diminta Raja Perlis ketika itu, Almarhum Tuanku Syed Putra Ibni Almarhum Syed Hassan Jamalullail.

"Saya mula bekerja di Istana Negara dan berkhidmat di bawah Tuanku Syed Putra pada 1960 yang ketika itu menjadi Yang di-Pertuan Agong ketiga.

"Selepas Tuanku menamatkan tempoh pemerintahannya pada 1965, saya mengikut baginda dengan berkhidmat di Istana Arau dan selepas itu mula membuat tengkolok selepas menerima titah Tuanku," katanya ketika ditemui di kediamannya, di sini.

TENGKOLOK Perlis yang dihasilkan oleh Abdul Razak. - Foto Eizairi Shamsudin
TENGKOLOK Perlis yang dihasilkan oleh Abdul Razak. - Foto Eizairi Shamsudin

Bapa kepada lima anak berusia 28 hingga 50 tahun itu, berkata sepanjang tempoh berkhidmat sehingga kemangkatan Tuanku Syed Putra mangkat, jumlah tengkolok dihasilkannya tidaklah banyak kerana bergantung atas titah baginda.

"Saya mula serius membuat tengkolok selepas Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan semua penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan memakai Tengkolok Perlis.

"Baginda mahu tengkolok yang dipakai, diselaraskan dan saya dititah membuat Tengkolok Perlis kepada semua penerima serta kakitangan Istana Arau," katanya.

Abdul Razak, berkata selepas menamatkan perkhidmatan sebagai kakitangan Istana Arau pada 2003, beliau masih meneruskan kerjaya membuat tengkolok dan ketika ini hampir 1,000 tengkolok dihasilkannya.

ABDUL Razak mula serius membuat tengkolok selepas Tuanku Syed Sirajuddin Putra Jamalullail menitahkan semua penerima darjah serta pingat kebesaran sempena sambutan Hari Keputeraan memakai tengkolok Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin

"Dalam simpanan saya ada kira-kira 50 Tengkolok Perlis yang dibuat khas untuk disewakan kepada penerima darjah dan pingat kebesaran Raja Perlis.

"Kebiasaan ada penerima yang mahu menempah. Setakat ini saya sudah mula menerima tempahan untuk dipakai pada Hari Keputeraan pada 17 Mei tahun hadapan," katanya.

Beliau berkata, jumlah tempahan itu akan meningkat lebih-lebih lagi apabila semakin dekat dengan tarikh Hari Keputeraan.

"Saya mengambil masa hampir dua hari untuk menyiapkan setiap tempahan kerana seni membuat tengkolok ini memerlukan penelitian khususnya aspek jahitan supaya tidak berlaku kesilapan.

ABDUL Razak menyiapkan kemasan akhir pada tengkolok istiadat keputeraan atau tengkolok Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin
ABDUL Razak menyiapkan kemasan akhir pada tengkolok istiadat keputeraan atau tengkolok Perlis. - Foto Eizairi Shamsudin

"Harga sewaan tengkolok yang dikenakan adalah RM60 termasuk sampin dan bengkung. Manakala untuk tempahan mengunakan kain tenunan RM700 dan RM300 untuk kain mesin. Kedua-duanya juga disertakan sekali sampin dan bengkung," katanya.

Selain menerima tempahan tengkolok Perlis, Abdul Razak juga menerima tempahan membuat tengkolok untuk majlis perkahwinan.

Info:

- 24 - 48 jam tempoh penghasilan sebuah tengkolok.

- RM60 harga sewa tengkolok berserta sampin dan bengkung

- Hampir 1,000 tengkolok dihasilkan sejak 1965.

- RM300 - RM700 harga tengkolok Perlis tertakluk jenis kain 

HAMPIR 1,000 tengkolok yang sudah dihasilkan oleh Abdul Razak. - Foto Eizairi Shamsudin
HAMPIR 1,000 tengkolok yang sudah dihasilkan oleh Abdul Razak. - Foto Eizairi Shamsudin
ABDUL Razak mengambil masa hampir dua hari untuk menyiapkan satu-satu tempahan kerana seni membuat tengkolok memerlukan penelitian. - Foto Eizairi Shamsudin
ABDUL Razak mengambil masa hampir dua hari untuk menyiapkan satu-satu tempahan kerana seni membuat tengkolok memerlukan penelitian. - Foto Eizairi Shamsudin
Berita Harian X