Sabtu, 24 Disember 2016 | 12:05am

Tandoori udang lebih istimewa

UDANG Tandori dimasak guna rempah ratus asli bagi tambat selera. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
UDANG Tandori dimasak guna rempah ratus asli bagi tambat selera. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

SEBUT saja capati, tosai, nan, dal dan briyani pastinya beberapa masakan popular India ini sudah mula mencuri selera masyarakat tempatan.

Menariknya mengenai masakan ini, kebiasaannya ia dimakan bersama tandoori daging, ayam ataupun udang yang cukup menyelerakan.

Bagi roti naan, lazimnya ia dihidangkan bersama tandoori dengan hirisan bawang dan potongan limau nipis. Ada yang gemar memakannya tanpa kuah kerana ingin menikmati sepenuhnya rasa rempah tandoori istimewa itu.

Rempah ratus asli

Dengan pelbagai rempah ratus yang digunakan, tandoori yang sinonim dengan masyarakat India sebenarnya memerlukan masa agak lama untuk menyediakannya.

Namun, kini penggemar tandoori tidak perlu lagi bersusah payah keluar membelinya kerana Sous Chef TTEMPations, Hotel Renaissance, Chef Himanshu Roye tampil berkongsi resipi masakan tandoori udang cukup menarik sempena kehadiran pakej Taste of India hotel itu.

Menggunakan rempah ratus asli, hidangan asli India yang menyelerakan ini dapat disediakan sendiri di rumah dengan langkah mudah sungguhpun perlu sedikit masa untuk siap dihidangkan kepada keluarga.

BAHAN untuk membuat Udang Tandori. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam
BAHAN untuk membuat Udang Tandori. - Foto Nur Adibah Ahmad Izam

Bahan:

* 5 ekor udang

* 2 sudu besar hung curd (yogurt)

* 1 sudu kecil pes halia dan bawang putih

* 2 sudu kecil minyak

* 1 sudu kecil jus lemon

* 1/2 sudu nesar serbuk lada merah

* 1/4 sudu besar garam masala

* 1 sudu kecil Ajwani (jintan)

* 2sudu kecil daun ketumbar

* Secubit daun halba

* Garam secukup rasa

Langkah demi langkah:

1. Letakkan udang dalam mangkuk.

2. Campurkan pes halia dan bawang putih, jus lemon dan biarkan selama 15 minit.

3. Ambil mangkuk lain dan tuangkan minyak dan bahan-bahan lain.

4. Gaulkan sekali udang sedia diperam tadi sehingga sebati dan biarkan selama dua jam

5. Masakan tandoori dalam ketuhar dengan suhu sederhana selama 15 minit dan siap untuk dihidangkan.

INFO:

* Udang adalah sumber protein yang baik.

* Diperkaya dengan beberapa jenis vitamin dan mineral menggalakkan kesihatan bagus.

* Rendah kalori dan tidak mengandungi karbohidrat.

* Diperkaya dengan Omega-3.

Berita Harian X