Ahad, 25 Disember 2016 | 12:08am

Pesara buktikan ketahanan fizikal, mental jelajah 22 negara dalam 16 bulan

KUALA NERUS: Faktor usia bukan halangan besar buat Sofian Mohd untuk merealisasikan cita-citanya untuk mengayuh basikal mengelilingi dunia secara solo.

Bekas pensyarah berusia 56 tahun itu membuktikan kepada dunia yang impiannya berjaya direalisasikan dengan merentasi 22 buah negara yang mengambil masa selama 16 bulan.

Apa yang dilakukan Sofian itu bukan satu kerja yang mudah tanpa memiliki kekuatan, ketahanan fizikal dan mental mencukupi mengayuh basikal dengan jarak 22,000 kilometer (km).

Pelbagai halangan ditempuhi anak kelahiran Kampung Telaga Daing, Seberang Takir itu termasuk merentasi laluan gunung dan perubahan cuaca sepanjang perjalanan.

SOFIAN Mohd membersih basikal untuk dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias
SOFIAN Mohd membersih basikal untuk dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias

Namun, berkayuh sebenarnya cukup sebati dalam diri bekas Ketua Jabatan Pengajian Am Politeknik Kuching, Sarawak itu sejak mulai aktif ketika di tingkatan satu hingga tamat tingkatan lima di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Tengku Bariah, Kuala Terengganu.

Setiap hari Sofian mengayuh sejauh 25 km dari rumahnya ke sekolah kerana ketika itu basikal adalah pengangkutan paling mudah dan murah.

"Pada 2010, saya membeli basikal baharu dengan mengikuti kerja kemasyarakatan dan sesekali mengikuti aktiviti bersama peminat basikal di daerah ini.

"Pada mulanya, saya mahu menguji sejauh mana keupayaan diri dengan berkayuh bersama orang muda. Ketika itu, aktiviti berbasikal ini sangat diminati di Terengganu.

SOFIAN Mohd memperbaiki basikalnya sebelum dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias
SOFIAN Mohd memperbaiki basikalnya sebelum dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias

"Selepas setahun, saya mendapatkan pandangan yang jelas mengenai idea ini termasuk merujuk buku sejarah dan geografi negara yang akan dikunjungi.

"Pada 29 Julai 2015, saya memulakan kayuhan mengelilingi dunia, bermula di sekolah lama saya (SMK Tengku Bariah)," katanya.

Sofian mengayuh dengan membawa bebanan lebih 100 kilogram (kg) termasuk Jalur Gemilang, bendera Terengganu dan bendera SMK Tengku Bariah dengan slogan 'Malaysia Tanah Semangat Darahku'.

Sebagai persediaan, dia turut membawa bekalan sepasang tayar, dua rantai, 10 tiub, khemah, peralatan memasak, makanan merangkumi beras, lada hitam serta garam.

SOFIAN Mohd memperbaiki basikalnya sebelum dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias
SOFIAN Mohd memperbaiki basikalnya sebelum dipamerkan di Muzium Negeri. - Foto Aswadi Alias

"Cabaran paling getir adalah mengharungi cuaca terlalu sejuk hinggakan terpaksa memakai lima helai baju tebal, empat helai seluar, tiga helai stokin, dua sarung tangan, sarung muka dan topi selama lima bulan dari China hingga Turkmenistan.

"Malah, saya terpaksa berkhemah di dalam kalbad, di tepi jalan, kaki lima, setor, rumah yang ditinggalkan, gurun dan masjid yang selamat untuk berehat.

"Apa yang membuatkan saya bersemangat meneruskan misi jelajah dunia ini apabila setiap negara yang dilawati, penduduk setempat menyambutnya dengan layanan yang baik.

"Saya bersyukur diberikan kesihatan yang sihat sekalipun dalam keadaan salji tebal dan setiap hari mengayuh sejauh antara 80 hingga 100 km bergantung kepada cuaca," katanya.

Katanya, mengikut perancangan awal, dua rakannya yang berasal dari Sarawak mahu mengikuti pengembaraan itu. Bagaimanapun, mereka menarik diri atas masalah kesihatan.

"Menempuh rintangan seorang diri memerlukan cabaran mental dan fizikal cukup kuat terutama dari segi suhu, cuaca, bahasa, tempat tidur dan makan.

"Pengalaman berkayuh ini memberi kepuasan tersendiri selain membawa misi besar kepada dunia yang negara ini terutama Terengganu adalah mesra basikal. Saya berharap generasi akan datang, dapat meneruskan kesinambungan ini dengan jarak lebih mencabar," katanya.

Fakta:

- 22 negara direntasi Sofian

- 16 bulan Sofian berkayuh basikal

- 29 Julai 2015 ekspedisi sejauh 22,000 km bermula

Info: Antara 22 negara direntasi

Thailand, Laos, China, Kazakhtan ,Uzbekistan, Turkmenistan, Azerbaijan, Krygyzstan, Jerman, Georgia, Switzerland, Korea Selatan, Turki, Greece, Belanda, Belgium, Itali, France, United Kingdom, Jepun, Vietnam dan Kemboja.

BEKAS pensyarah berusia 56 tahun, Sofian Mohd ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air. - Foto NSTP
BEKAS pensyarah berusia 56 tahun, Sofian Mohd ketika dalam perjalanan pulang ke tanah air. - Foto NSTP
SOFIAN Mohd membuktikan kepada dunia yang impiannya berjaya direalisasikan dengan merentasi 22 buah negara yang mengambil masa selama 16 bulan. - Foto Imran Makhzan
SOFIAN Mohd membuktikan kepada dunia yang impiannya berjaya direalisasikan dengan merentasi 22 buah negara yang mengambil masa selama 16 bulan. - Foto Imran Makhzan
Berita Harian X