X
Sabtu, 7 Januari 2017 | 12:01am

Rawat kecederaan otak

MANGSA yang mengalami kecederaan otak yang teruk sama ada disebabkan kemalangan atau serangan strok berpeluang kembali menjalani hidup normal menerusi proses 'pendawaian semula' otak.
MANGSA yang mengalami kecederaan otak yang teruk sama ada disebabkan kemalangan atau serangan strok berpeluang kembali menjalani hidup normal menerusi proses 'pendawaian semula' otak.

MANGSA yang mengalami kecederaan otak yang teruk sama ada disebabkan kemalangan atau serangan strok berpeluang kembali menjalani hidup normal menerusi proses 'pendawaian semula' otak.

Ia bukan mustahil kerana otak sentiasa menyesuaikan 'diri' dengan keadaan malah melakukan sendiri 'pendawaian semula' mengikut keadaan semasa.

Otak adalah organ dinamik yang berhubung dengan kuasa grid dengan berbilion jalan dan laluan yang diterangi setiap kali seseorang berfikir, rasa atau melakukan sesuatu.

Justeru, mangsa kecederaan otak tidak seharusnya dibiarkan terbaring kaku begitu saja sebaliknya otaknya perlu 'dididik' semula untuk kembali berfungsi menerusi pelbagai aktiviti.

Pakar Bedah Neuro, Ramsay Sime Darby Healthcare, Dr Ramesh Narenthirananthan, berkata ahli keluarga perlu memberikan sokongan kepada pesakit dengan memastikan mereka terus menjalani terapi pemulihan.

Masalahnya kini beliau berkata, kebanyakan ahli keluarga akan membiarkan pesakit terbaring begitu saja kerana tidak sampai hati hendak memaksa pesakit bangun dan melakukan terapi.

Galak pesakit jalani terapi pemulihan

"Jangan terlalu kasihan kepada pesakit dengan mengekang pergerakan mereka kerana mereka perlu belajar untuk berdikari demi kebaikan mereka di masa depan," katanya.

Bagaimanapun, Dr Ramesh berkata, keluarga atau orang terdekat yang berada di samping mangsa ketika berlaku kejadian kemalangan atau serangan strok, dinasihatkan membawa pesakit segera berjumpa doktor.

Ini kerana katanya, apabila seseorang mengalami kecederaan otak, perkara pertama yang perlu dilakukan adalah untuk mengawal kerosakan dan mencegah kerosakan daripada merebak di kawasan lain di dalam otak.

Kerosakan otak memang sukar dirawat, tetapi apa yang penting adalah untuk mengawalnya menerusi pembedahan atau perubatan yang sesuai.

Sekiranya rawatan lewat diterima, tidak banyak dapat dilakukan doktor melainkan kerosakan berpunca daripada ketumbuhan yang membesar secara perlahan lahan.

Jalani rutin harian

"Pendawaian semula otak boleh dilakukan dengan memberi peluang kepada pesakit melakukan rutin harian yang pernah dijalani sebelum ini terutama perkara asas dalam kehidupan.

"Sekiranya pemikiran dan sesuatu perkara dilakukan berulang kali, saraf otak akan berhubung dengan lebih kuat dan mencipta laluan yang dikenali sebagai neural," katanya.

Apabila pesakit mempelajari sesuatu yang baharu, otak mula menggunakan dengan lebih banyak laluan ini dan laluan lama akan semakin kurang digunakan.

Konsep moden merawat pesakit yang mengalami kecederaan otak termasuk membantu proses pemulihan dan merangsang otak mereka yang dijalankan antara sesi fisioterapi.

Ini termasuk melakukan senaman dan tidak membiarkan pesakit terbaring termasuk memandikan mereka untuk mendidik semula otak.

Peluang kembali normal

Pesakit berpeluang berdikari semula selepas tiga minggu sehingga sembilan bulan selepas menjalani 'pendawaian semula' otak untuk kembali bekerja seperti biasa.

Bagaimanapun, timbul persoalan kos yang mana program 'pendawaian semula' otak tidak termasuk di dalam sesetengah skim perlindungan insurans kerana tidak tertakluk sebagai salah satu bentuk rawatan.

Dr Ramesh berharap supaya pihak berkenaan melihat program dengan menimbangkannya sebagai rawatan yang diperlukan pesakit untuk terus hidup normal walaupun mungkin tidak sepenuhnya.

"Sesetengah pesakit tidak berupaya kembali bekerja bagi mencari nafkah keluarga sehingga dua tahun atau lebih kerana tidak mampu menjalani program itu seperti kerana ia tidak dilindungi insuran," katanya.

INFO:

Kira-kira 40 peratus kecederaan otak yang teruk menyebabkan individu terbabit mengalami:

- Kelumpuhan

- Kematian.

Kerosakan otak bermakna:

Otak hilang fungsi yang boleh membabitkan;

Gangguan penglihatan.

- Lumpuh pada tangan, kaki atau keseluruhan tubuh.

Kerosakan otak boleh berlaku:

- Secara keseluruhan menyebabkan pesakit tidak sedar.

- Separa koma (separuh sedar)-mata mungkin terbuka tetapi tidak mampu untuk mendengar, bercakap atau memahami percakapan orang lain.

Punca kerosakan otak:

1. Kemalangan yang menyebabkan trauma pada otak.

2. Strok-iskemia (sel otak mati akibat kekurangan bekalan darah atau pendarahan).

Penunggang motosikal paling ramai mengalami: Kecederaan otak akibat kemalangan jalan raya.

Rawatan membabitkan:

- Doktor (pakar bedah saraf atau pakar saraf).

- Pakar pemulihan-jururawat dan pakar terapi.

Fasa rawatan:

Fasa satu - Rawatan kecederaan otak yang teruk.

Fasa dua - Pemulihan dan penjagaan oleh jururawat.

Fasa tiga - Pemulihan intensif.

Bila untuk menjalani pemulihan?

- Tekanan dalam otak stabil

- Tekanan darah stabil

Berita Harian X