Isnin, 16 Januari 2017 | 12:08am

Samsung perkenal varian baharu Galaxy S7, Note5 64GB

Galaxy S7 Black Pearl
Galaxy S7 Black Pearl

SAMSUNG Malaysia Electronics memperkenalkan telefon pintar varian baharu Galaxy S7 Black Pearl berwarna hitam permata yang dilengkapi memori dalaman 126GB berbanding 32GB sebelum ini.

Telefon pintar terbaru itu boleh didapati di pasaran mulai 12 Januari lalu pada harga runcit yang disyorkan RM3,399 di kedai Samsung Experience Store yang mengambil bahagian.

Telefon pintar berkenaan juga mempunyai sokongan memori luaran sehingga 256GB, menggunakan microSD yang membolehkan pengguna menyimpan dan menonton filem di mana saja pada bila-bila masa.

Naib Presiden IT dan Unit Perniagaan Mobile Samsung Malaysia, Lee Jui Siang, berkata syarikat itu sentiasa menawarkan produk yang terbaik kepada pelanggan dan berusaha untuk meningkatkan mutu produk mereka setiap hari.

Dalam pada itu, Samsung Galaxy S7 edge dilengkapi dengan perangkap debu IP68 dan kalis air sehingga 1.5 meter air dan 30 minit, selain kamera belakang 12 megapiksel dilengkapi Dual Pixel Sensor.

"Ini menjadikan pengguna seolah-olah seorang jurukamera profesional apabila menggunakan kamera belakang Galaxy S7 terbaharu ini kerana ia mampu mengambil gambar dengan mudah, jelas walaupun berada di dalam keadaan yang gelap," katanya.

Ia juga dilengkapi fokus automatik, mod bergerak, mod panorama, f/1.7, hyper lapse, gerak perlahan, mod pro, siaran langsung, kolej video, virtual shot, mod makanan dan 5 megapiksel kamera hadapan dengan kamera flash.

 Galaxy Note5 64GB
Galaxy Note5 64GB

Selain itu, Samsung turut memperkenalkan varian terbaru Galaxy Note5 dengan memori dalaman 64GB yang menambah lebih kapasiti bagi mengambil gambar dan video berdefinisi tinggi.

Ini bagi memudahkan pengguna menyimpan pelbagai dokumen penting, gambar dan video.

Varian terbaru Galaxy Note5 64GB juga dilengkapi S Pen, alat yang sangat berguna untuk menulis nota di mana saja - menggalakkan kreativiti dan kebebasan pengguna.

Galaxy Note5 64GB juga mempunyai teknologi skrin terbaik, kamera yang paling canggih untuk kualiti foto tinggi dan video, pengecasan tanpa wayar dan berwayar cepat.

  Galaxy Note5 64GB kini ditawarkan pada harga runcit yang disyorkan RM2,399 (termasuk GST) dalam tiga pilihan warna - Perak Titanium, Gold Platinum dan Black Sapphire.

Info Galaxy S7 126GB

  • Sistem Operasi (OS): Android v6 Marshmallow dengan prosesor 2.3GHz + 1.6GHz Exynos 8890 octa core , 4GB RAM
  • Bateri: 3600mAH lithium-ion yang membolehkan masa berbual sehingga 27 jam
  • Berat 160 gram
Berita Harian X