Isnin, 30 Januari 2017 | 12:10am

Warisan Rumah Panjang Melanau kekal terpelihara

MUKAH: Biarpun semakin sepi, Rumah Panjang Melanau Sok di Kampung Sok, yang letaknya 110 kilometer dari pusat bandar dan berusia ratusan tahun, terus kekal sebagai warisan peninggalan generasi terawal masyarakat itu.

Masih didiami sehingga kini, rumah panjang berkenaan yang dibina pada 1870-an dan memiliki 26 pintu itu muncul sebagai tarikan pelancongan terkenal di wilayah tengah Bumi Kenyalang.

Ketua Kaum, Wailie Raijee, berkata pada peringkat awal, struktur asas rumah panjang itu diperbuat daripada pokok hutan, kayu belian dan atapnya pula menggunakan daun rumbia.

GAMBAR kenangan peserta Bengkel Eko-Pelancongan bersama pemimpin masyarakat dan penduduk kampung di hadapan Rumah Panjang Melanau Islam Kampung Sok. Program anjuran UKM ini diadakan pada 4 Mac 2012. - Foto Khalid Latip

"Biarpun bahagian luarnya nampak biasa, rumah panjang ini memiliki keunikan tersendiri. Dulu, semua tiangnya adalah kayu belian yang didirikan dengan menggunakan sebatang pokok. Yang menjadi persoalan, kita tidak tahu dari mana sebenarnya tiang itu diperoleh kerana tiada pokok spesies itu di daerah ini.

"Selain ruainya yang berbeza dengan rumah panjang Iban kerana terletak di bahagian tengah, rumah ini juga dibina tinggi bertujuan melindungi keselamatan penghuninya daripada ancaman musuh," katanya ketika ditemui BH Plus, baru-baru ini.

Wailie berkata, rumah dibina berhampiran sungai kerana dipengaruhi oleh sosial ekonomi masyarakat Melanau ketika itu yang kebanyakannya nelayan dan petani.

Selain struktur asas yang kekal hingga ke hari ini, katanya, rumah berkenaan juga masih terletak di lokasi asal pembinaannya.

SUASANA meriah yang sempat dirakam ketika majlis ramah tamah aidilfitri di rumah panjang ini. - Foto Khalid Latip
SUASANA meriah yang sempat dirakam ketika majlis ramah tamah aidilfitri di rumah panjang ini. - Foto Khalid Latip

"Dulu, masyarakat Melanau mempunyai banyak rumah panjang. Bagaimanapun, perubahan semasa menyebabkan kebanyakan penghuninya berpindah dan membina rumah sendiri. Akibatnya semua rumah ini terbiar dan akhirnya lenyap. Yang tinggal hanyalah satu-satunya rumah ini," katanya.

Justeru, tidak hairanlah disebabkan keunikannya, Muzium Sarawak mengisytiharkan Rumah Panjang Melanau Sok sebagai satu warisan yang perlu dikekalkan pada 1987.

Bagaimanapun, katanya, apa yang membimbangkan, selepas 200 tahun, pembinaannya khazanah berharga itu juga bakal mengalami nasib yang sama dengan rumah panjang Melanau yang lain.

Wailie berkata, daripada beratus penghuni yang pernah tinggal di situ suatu ketika dahulu, rumah panjang itu semakin uzur dan sepi.

SELAIN pengunjung luar, rumah panjang ini menjadi sumber rujukan generasi baru melalui penganjuran lawatan sambil belajar anjuran pelbagai pihak termasuk Tabika dan sekolah di daerah Matu Daro. - Foto Khalid Latip

"Warisan paling bernilai kaum Melanau Sarawak ini kini hanya didiami satu keluarga selepas sebahagian besar penghuninya membina kediaman sendiri. Tidak lama lagi, mereka juga pasti akan berpindah.

"Akhirnya, rumah panjang ini semakin terbiar tanpa penghuni sedangkan pada masa sama, mampu memberi pulangan lumayan kepada penduduk melalui sektor pelancongan," katanya.

Sementara itu, seorang penghuni rumah panjang berkenaan, Abdul Razak Sidek, 60, berkata walaupun beliau dan keluarga bakal berpindah ke rumah baharu, Rumah Panjang Melanau Sok menyimpan nostalgia yang cukup istimewa.

Sehingga kini, katanya, beliau masih dapat mencium 'panorama silam' dan kemeriahan suasana hidup di rumah panjang yang pernah menjadi tempatnya membesar itu.

KETUA Kaum Wailie Raijee. - Foto Khalid Latip
KETUA Kaum Wailie Raijee. - Foto Khalid Latip

"Dulu, rumah ini cukup meriah. Di ruai inilah, tempat kami berkumpul beramai-ramai sambil dengar cerita orang tua. Pada satu sudut lain, ada yang duduk berehat serta berbual dan ada yang membaiki alat menangkap ikan serta menganyam atap rumbia.

"Lain pula ceritanya pada dinihari. Penghuni awal-awal bangun untuk ke kebun dan menoreh getah. Paling manis ketika bulan puasa dan menjelang hari raya, penduduk berganding bahu menyediakan juadah. Setiap bilik pula akan menyajikan hidangan sendiri di ruai untuk tetamu," katanya.

Abdul Razak berkata, seandainya berpeluang, ingin sahaja beliau memutarkan kembali masa ke zaman itu.

KAYU berlian yang menjadi struktur asas binaan rumah ini masih utuh hingga kini. - Foto Khalid Latip
KAYU berlian yang menjadi struktur asas binaan rumah ini masih utuh hingga kini. - Foto Khalid Latip

"Sayangnya, kisah suka-duka di rumah panjang itu sudah lama berlalu dan kini hanya tinggal kenangan. Walaupun semakin sepi, khazanah kaum Melanau yang masih wujud di dunia ini mesti dipertahankan.

"Warisan bersejarah ini masih berpotensi besar untuk menarik kehadiran pelancong dari dalam dan luar negara. Buktinya, rumah panjang ini dikunjungi tidak kurang 1,000 pelawat setiap tahun.

"Selain peruntukan untuk naik taraf, pihak berkaitan juga perlu memberi pendedahan kepada penduduk supaya mereka dapat menjana peluang ekonomi melalui perusahaan berkaitan, termasuk inap desa," katanya.

RUMAH Panjang Melanau Islam Kampung Sok yang menyimpan 1001 kisah suka duka masyarakat Melanau Islam silam masih berdiri teguh untuk tatapan generasi baru. - Foto Khalid Latip
RUMAH Panjang Melanau Islam Kampung Sok yang menyimpan 1001 kisah suka duka masyarakat Melanau Islam silam masih berdiri teguh untuk tatapan generasi baru. - Foto Khalid Latip

INFO

- Rumah Panjang Melanau Islam Kampung Sok, satu-satunya rumah panjang kaum Melanau yang masih wujud di dunia.

- Dipercayai bina sekitar 1872.

- Dibina menggunakan komponen asas seperti kayu belian, pokok hutan dan atap rumbia.

- Mempunyai 26 pintu dan ruainya terletak di tengah.

- Diisytiharkan sebagai satu warisan yang perlu dikekalkan oleh Muzium Sarawak pada 1987.

- Mampu menarik kehadiran lebih 1,000 pengunjung setahun.

SETIAP tetamu yang datang pasti terpesona dengan keramahan penduduk Kampung Sok. - Foto Khalid Latip
SETIAP tetamu yang datang pasti terpesona dengan keramahan penduduk Kampung Sok. - Foto Khalid Latip
ORANG ramai menandatangani buku pelawat ketika mengunjungi rumah panjang ini. - Foto Khalid Latip
ORANG ramai menandatangani buku pelawat ketika mengunjungi rumah panjang ini. - Foto Khalid Latip
RUMAH ini semakin sepi apabila penduduk berpindah ke kediaman baru. - Foto Khalid Latip
RUMAH ini semakin sepi apabila penduduk berpindah ke kediaman baru. - Foto Khalid Latip
Berita Harian X