Selasa, 31 Januari 2017 | 12:03am

Vin Diesel kembali beraksi dalam filem ketiga XXX

APABILA Vin Diesel menyatakan persetujuan untuk kembali menjayakan watak Xander Cage menerusi judul susulan XXX terkini, ia tentu saja berita cukup menggembirakan buat pengikut setia siri filem aksi terbabit.

Mulai minggu lalu, filem arahan DJ Caruso itu sudah pun berputar di pawagam dan Diesel membuktikan, kepulangannya ke pangkuan filem berkenaan sememangnya bertepatan.

Selepas membintangi judul pertama XXX pada 2002, bintang lasak terbabit terpaksa melepaskan filem kedua, XXX: State of the Union (2005). Ketika itu beliau terikat dengan filem The Pacifier, yang seterusnya menyaksikan bintang rap dan pelakon, Ice Cube, diketengahkan sebagai tonggak utama.

Sayangnya, XXX kedua kurang mendapat tempat di hati peminat dan pengkritik.

Kembali menerajui filem yang turut mengangkat lagi namanya di arena hiburan, Diesel umpama mengesahkan beliau layak digelar antara bintang aksi terhebat saat ini. Selain Fast & Furious, yang bakal menemui peminat dengan episod kelapan tidak lama lagi, dan Riddick, XXX juga seharusnya menjadi sebuah lagi jenama yang terus mengekalkan nama beliau sebagai pelakon aksi paling berharga pada era perfileman moden ini.

DARI kiri: Tony Jaa, Michael Bisping dan Donnie Yen.
DARI kiri: Tony Jaa, Michael Bisping dan Donnie Yen.

DARI kiri: Vin Diesel, Donnie Yen, dan Deepika Padukone.
DARI kiri: Vin Diesel, Donnie Yen, dan Deepika Padukone.

Return of Xander Cage contohnya sarat dengan babak aksi dan lasak yang ada kala membuatkan khalayak bagai sukar hendak bernafas. Pasukan produksi nyata cuba membawa tahap babak lasak dan aksi filem ini ke peringkat lebih tinggi.

Sesuai dengan karakter Cage yang digambarkan sebagai lelaki gemarkan aktiviti ekstrem, begitulah corak aksi dihidangkan menerusi naskhah bernilai kira-kira RM377 juta ini.

Daripada babak beliau menggunakan papan luncur meredah hutan belantara, seterusnya menuruni kawasan berbukit dengan kelajuan maksimum, sehingga ke adegan meluncur ombak dengan menggunakan motosikal serta terjun daripada pesawat tanpa menggunakan payung terjun, ia cukup untuk membuatkan penonton kecut perut.

Semua itu belum dicampur babak kejar-mengejar di jalan raya dan tembak-menembak yang membingitkan telinga. Pendek kata, namakan saja babak aksi bagaimana anda ingin tonton, semuanya dipaparkan dengan secara berlebihan dalam Return of Xander Cage.

Biarpun ada yang mungkin terbayangkan watak Dominic Toretto ketika menyaksikan semua babak lakonan Diesel dalam filem ini, namun aktor itu seboleh-bolehnya cuba memberikan kelainan apabila karakternya digambarkan sering tersenyum.

Apa saja tanggapan penonton, beliau tidak syak menjadi tarikan utama yang akan terus membawa khalayak ke panggung, selain pelbagai babak menyesakkan dada sepanjang tayangan berlangsung.

LAKONAN Ruby Rose dalam xXx: Return of Xander Cage.
LAKONAN Ruby Rose dalam xXx: Return of Xander Cage.

AKSI Vin Diesel dalam filem xXx: Return of Xander Cage.
AKSI Vin Diesel dalam filem xXx: Return of Xander Cage.

Lebih menarik, bukan sekadar bintang Hollywood yang membintangi naskhah kali ini, malah ia sebuah filem yang bersifat majmuk. Turut ditampilkan ialah pelakon terkenal Hong Kong, Donnie Yen; aktres popular Bollywood, Deepika Padukone; raja aksi Thailand, Tony Jaa; bintang keturunan Cina yang juga anggota kumpulan EXO, Kris Wu; aktor Scotland yang terkenal dengan siri Game of Thrones, Rory McCann; aktres Australia, Ruby Rose dan lain-lain.

Tidak ketinggalan memeriahkan filem terbabit ialah Nina Dobrev, Toni Collette, Samuel L Jackson, Ice Cube dan bintang bola sepak Brazil, Neymar Jr.

Filem ini mengisahkan bagaimana Cage (Diesel), yang disangka sudah meninggal dunia, kembali ditagih perkhidmatannya oleh pihak CIA selepas kematian ejen NSA, Augustus Eugene Gibbons (Jackson).

Beliau perlu memerangkap Xiang (Yen) yang merampas alat yang mampu menjatuhkan satelit ke bumi dikenali sebagai Kotak Pandora daripada pihak berkuasa.

Tawaran itu diterima Cage dengan syarat beliau diberikan kebebasan untuk memilih pasukannya sendiri, tanpa dicampuri pihak CIA.

ANTARA watak penting dalam filem xXx: Return of Xander Cage; Vin Diesel, Donnie Yen, Tony Jaa, Deepika Padukone, Nina Dobrevc dan Ruby Rose.
ANTARA watak penting dalam filem xXx: Return of Xander Cage; Vin Diesel, Donnie Yen, Tony Jaa, Deepika Padukone, Nina Dobrevc dan Ruby Rose.

Info

Judul: XXX: Return of Xander Cage

Terbitan: Paramount Pictures, One Race Films, Revolution Studios dan Roth Kirschenbaum Films

Pengarah: DJ Caruso

Pelakon: Vin Diesel, Donnie Yen, Deepika Padukone, Tony Jaa, Samuel L Jackson, Toni Collette, Ruby Rose, Nina Dobrev, Ice Cube, Neymar Jr

Genre: Aksi

Durasi: 1 jam 50 minit

Tarikh Tayangan: 26 Januari 2017

ANTARA babak dalam filem xXx: Return of Xander Cage (2017).
ANTARA babak dalam filem xXx: Return of Xander Cage (2017).
Berita Harian X