Selasa, 31 Januari 2017 | 12:06am

Hisyam Hamid dipinggirkan penerbit filem?

HISYAM Hamid tidak syak antara pelakon yang dikira mempunyai pakej lengkap menghiasi dunia lakonan ketika ini. Memiliki wajah tampan, disokong pula bakat dan pengalaman, tiada alasan untuk lelaki berusia 32 tahun ini tidak menjadi pilihan penerbit drama mahupun filem.

Namun, buat waktu ini, wajah pelakon dari Singapura berkenaan lebih menyerlah di layar kaca, dengan pelbagai drama sudah pun dibintanginya sejak empat tahun mengembangkan kerjaya di Malaysia.

Ia agak berbeza dengan beberapa rakan seperjuangannya dari seberang, Aaron Aziz dan Adi Putra, yang turut kencang beraksi di filem. Hisyam pula sehingga kini hanya berlakon filem Kau Yang Satu, arahan Osman Ali. Apakah tiada tawaran muncul di layar perak diterima pelakon ini?

PELAKON Hisyam Hamid pada sidang media Program Ramadan Astro 2016 di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan
PELAKON Hisyam Hamid pada sidang media Program Ramadan Astro 2016 di Duchess Place, Jalan Ampang, Kuala Lumpur. - Foto Nik Hariff Hassan

"Saya ada menerima tawaran berlakon filem, tetapi undangan terbabit selalunya datang tidak kena pada waktunya. Ketika tawaran datang, saya sudah pun terikat dengan kerja lakonan drama. Ada pula yang tiba pada saat-saat akhir, jadi saya menganggapnya sebagai bukan rezeki.

"Peluang berlakon dalam filem Kau Yang Satu, umpamanya, saya lihat sebagai rahmat. Ketika itu, saya terbabit dengan drama keluaran Global Station dan saya beruntung kerana produk terbabit boleh bertolak ansur serta mengizinkan saya mencuri waktu untuk ke layar perak.

"Sekalipun hanya memegang watak pembantu, saya melihat peluang diberikan sebagai proses pembelajaran terbaik untuk saya terus mengukuhkan nama di arena lakonan," katanya yang mula mengasah bakat sejak berusia 18 tahun di Singapura.

Di kaca TV, peminat sememangnya sudah biasa melihat lakonan bapa kepada Nurish Syameliah, 9, dan Hayden, 7, ini. Sejak mencipta nama menerusi Ariana Rose, Hisyam muncul pula dalam drama panjang, Memori Cinta Suraya. Tahun lalu, beliau memikat ramai peminat dengan naskhah Abang Bomba I Love You.

HISYAM melihat peluang diberikan sebagai proses pembelajaran terbaik untuk saya terus mengukuhkan nama di arena lakonan. - FOTO Zunnur Al Shafiq
HISYAM melihat peluang diberikan sebagai proses pembelajaran terbaik untuk saya terus mengukuhkan nama di arena lakonan. - FOTO Zunnur Al Shafiq

Tahun ini, Hisyam kembali mencuri perhatian menerusi siri Sayang Papa Saya Tak? yang menyaksikannya bergandingan julung kali dengan Emma Maembong.

Bercerita mengenai rakan gandingan, akui suami kepada Melrose Hanafi, 37, ini, beliau teringin untuk beraksi di sisi Maya Karin dan Lisa Surihani.

"Mereka antara pelakon wanita yang saya minati dan teringin untuk bekerjasama. Kedua-duanya sangat berbakat dan sudah terbukti kemampuan masing-masing dengan pengiktirafan serta anugerah yang diterima. Sebagai pelakon, saya percaya ruang sedemikian dapat mencabar kemampuan diri selain menambah pengalaman.

"Cuma, saat ini peluang itu dirasakan agak terbatas kerana kedua-duanya lebih kepada lakonan di filem. Sedangkan saya pula banyak berlakon drama TV. Namun, jika ada peluang dan masa, saya takkan menolak peluang bergandingan dengan kedua-dua aktres ini," katanya.

Selain dua bintang terbabit, Hisyam juga menunggu peluang untuk berlakon di sisi Datuk Rosyam Nor dan Adi Putra. Manakala impiannya untuk beraksi bersama Aaron sudah pun terlaksana menerusi Kau Yang Satu.

"Saya dan Aaron bergandingan buat kali pertama dalam filem yang turut dibintangi oleh Izara Aishah itu. Filem sulung saya itu dijangka tayangannya pada tahun ini. Ia terbitan bersama Nuansa dan Global Station," katanya yang baru saja selesai menjalani penggambaran supertelefilem Duit Cinta yang turut menampilkan Amyra Rosli.

HISYAM antara pelakon yang dikira mempunyai pakej lengkap . - Foto Mahzir Mat Isa
HISYAM antara pelakon yang dikira mempunyai pakej lengkap . - Foto Mahzir Mat Isa

Menurut Hisyam, beliau tidak mempunyai masalah untuk digandingkan dengan mana-mana pelakon.

"Bagi saya, setiap peluang yang datang itu amat berharga. Sebagai pelakon, saya kena wujudkan hubungan kerja yang baik dengan orang lain. Saya perlu rasa selesa dan seronok dengan pelakon gandingan. Masing-masing bekerja sebagai pelakon dan ia menjadi tanggungjawab serta kerja kita. Jika dari awal gandingan tidak 'ngam', bagaimana kalau ada peluang bekerjasama lagi pada masa hadapan?

"Jadi, saya cuba wujudkan suasana kerja dan kerjasama yang baik. Begitu juga dengan Aaron. Setakat ini, alhamdulillah saya selesa dengan beliau. Sebelum berlakon juga, kami ada berjumpa dan berhubungan. Ia membantu untuk mewujudkan keserasian. Saya sendiri bangga dan seronok dapat berlakon dengannya yang sudah dianggap seperti abang senior," katanya.

Info:

Kerjaya seni Hisyam diuruskan isterinya sendiri, Melrose Hanafi.

Sudah 11 tahun mendirikan rumah tangga.

Drama rantaian Ariana Rose mula melonjakkan namanya sekitar 2014.

Pernah bertugas sebagai ahli bomba dan drama Abang Bomba I Love You yang dilakonkannya bagai mengimbas kembali kerjaya lamanya itu.

PELAKON, Hisyam Hamid. - Foto Aziah Azmee
PELAKON, Hisyam Hamid. - Foto Aziah Azmee
HISYAM Hamid di Majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-20 Astro di Studio satu Astro. - Foto Zunnur Al Shafiq
HISYAM Hamid di Majlis pelancaran sambutan ulang tahun ke-20 Astro di Studio satu Astro. - Foto Zunnur Al Shafiq
Berita Harian X