Isnin, 6 Februari 2017 | 12:08am

Hanis Zalikha dikongkong suami?

KETIKA masih solo, Hanis Zalikha agak kencang mengasah bakat lakonan sama ada di kaca televisyen mahupun filem. Namun, selepas mendirikan rumah tangga bersama pelakon, Hairul Azreen, wanita cantik ini tidak lagi aktif berbuat begitu.

Apatah lagi dengan kehadiran anak pertama mereka, Yusuf Iskandar, pada 3 Jun tahun lalu, bukan sekadar Hanis, malah kehidupan suaminya juga bagai berubah 360 darjah. Selain memberikan tumpuan kepada di kecil, mereka juga bagai memfokuskan perhatian kepada usaha mengukuhkan perniagaan yang diceburi.

Justeru timbul persoalan, apakah selepas mendirikan rumah tangga dan mempunyai zuriat, Hanis enggan lagi berlakon serta mengacara seperti dulu? Atau, apakah dirinya dikongkong suami sehingga terpaksa melupakan bidang yang memperkenalkan namanya di arena seni?

"Saat ini, jika ditanya sama ada saya masih hendak berlakon dan mengacara, memang susah untuk saya menjawab soalan itu. Cuma apa yang pasti, saya belum terfikir ke arah itu.

"Bukannya saya tidak mahu berlakon, tetapi kekangan masa dan keadaan semasa membuatkan saya melupakan seketika aktiviti terbabit.

HANIS mengutamakan perkara yang lebih penting. - Foto Munira Abdul Ghani
HANIS mengutamakan perkara yang lebih penting. - Foto Munira Abdul Ghani

"Saya juga enggan mengeluarkan kenyataan sudah tidak mahu berlakon lagi kerana esok atau lusa, siapa tahu saya akan kembali berbuat begitu? Apa pula tanggapan orang nanti?" katanya kepada BH.

Menurut Hanis yang pernah membintangi filem Momok The Movie, Romeo Kota dan Gangster Celop, sesetengah artis mungkin merancang untuk aktif buat beberapa tahun dan selepas itu memberikan fokus kepada perkara lain, beliau pula tidak termasuk dalam kelompok terbabit.

"Saya tetap berpegang pada prinsip hidup membuat keputusan pada waktu semasa. Saya melakukan pertimbangan terhadap sesuatu perkara pada masa ia terjadi ataupun dalam waktu terdekat.

"Tawaran untuk kembali ke lokasi drama dan pengacaraan masih ada. Begitupun, dengan kekangan masa dan tumpuan sepenuhnya terhadap Yusuf, selain menguruskan perniagaan, saya terpaksa menolaknya dengan berat hati.

"Ketika ini, keutamaan saya memang lebih kepada keluarga. Pada masa sama, tidak timbul soal saya dikongkong suami kerana keputusan yang datang itu diputuskan secara perbincangan bersama," katanya.

PELAKON, Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan anak mereka, Yusuf Iskandar. - Foto Munira Abdul Ghani
PELAKON, Hairul Azreen, Hanis Zalikha dan anak mereka, Yusuf Iskandar. - Foto Munira Abdul Ghani

Kata Hanis, Hairul sangat menyokong dan memahami dirinya dalam perkara membabitkan kerja.

"Kalau ada tawaran berlakon pun, kami akan berbincang sebaik mungkin. Malah, ada tawaran yang tiba tidak kena pada masanya. Dalam keadaan ini, saya dan suami akan mengutamakan perkara yang dirasakan lebih penting. Maklumlah, kami bukan lagi hidup sendirian seperti dulu, sebaliknya sudah memiliki keluarga," katanya.

Hanis dan Hairul juga dilihat sebagai pasangan yang bijak merencana masa depan, terutama dalam hal membabitkan selok-belok dunia perniagaan.

"Kelebihan saya mungkin dari segi ilmu, manakala suami pula lebih banyak pengalaman dalam melakukan pelbagai kerja. Jadi, apabila digabungkan 'diploma' jalanan dirinya dan kelayakan yang saya peroleh, ia kombinasi yang baik. Suami saya lebih kepada kerja teknikal dan dia juga bijak dalam mendorong saya melakukan sesuatu perkara.

"Selalunya, kalau perkembangan perniagaan kami usahakan itu bergerak agak perlahan, dialah yang akan 'push' dan saya akan kembali fokus," katanya.

HANIS bersama anaknya.
HANIS bersama anaknya.

Info:

  • Dilahirkan dengan nama Hanis Zalikha Zainal Rashid pada 9 Oktober 1990 di Kuala Lumpur.
  • Selain berlakon, Hanis juga dikenali di bidang peragaan dan pengacaraan.
  • Berkahwin dengan Hairul Azreen pada 5 Jun 2015. Setahun kemudian, mereka dikurniakan anak pertama, Yusuf Iskandar.

TAWARAN berlakon dan pengacaraan masih ada.
TAWARAN berlakon dan pengacaraan masih ada.
HANIS bersama suaminya Hairul Azreen.
HANIS bersama suaminya Hairul Azreen.
Berita Harian X