Ahad, 19 Februari 2017 | 12:03am
PENULIS bersama keluarga menikmati percutian di pusat Pelancongan Eko Tagal Kampung Talungan, Kota Belud di utara Sabah.- Foto Mohd Azrone Sarabatin
PENULIS bersama keluarga menikmati percutian di pusat Pelancongan Eko Tagal Kampung Talungan, Kota Belud di utara Sabah.- Foto Mohd Azrone Sarabatin

Keindahan alam yang tersorok di Kampung Talungan

KEINDAHAN Pusat Pelancongan Eko Tagal, Kampung Talungan, Kota Belud, gamit kedatangan pelancong. - Foto Mohd Azrone Sarabatin
KEINDAHAN Pusat Pelancongan Eko Tagal, Kampung Talungan, Kota Belud, gamit kedatangan pelancong. - Foto Mohd Azrone Sarabatin

PUSAT pelancongan Eko Tagal Kampung Talungan, Kota Belud memiliki pesona tersendiri sehingga ada pengembara atau pelancong sukar melupakannya apabila tiba di tempat ini.

Namun, destinasi pelancongan menarik ini agak terasing, seolah-olah hilang dalam radar pelancongan Sabah.

Di sini, pengembara boleh mandi-manda di sungai sambil menyaksikan budaya tempatan masyarakat Kadazandusun yang mendiami kampung itu seperti pakaian tradisi, alat muzik, lagu dan binaan rumah tradisional khas untuk menarik pengunjung.

Duduk di atas batu sambil merendam kaki di permukaan air sungai yang dingin, jernih dan bersih ditemani kicauan unggas dan sesekali ada ikan kelah 'mengurut' kaki pasti memberi ketenangan dan keceriaan, ditambah persekitaran kekal menghijau dengan tumbuhan semula jadi dan tanaman penduduk.

Bagi mereka yang inginkan cabaran boleh berenang di arus deras sungai sepanjang 20 meter yang dilengkapi peralatan keselamatan seperti tali, selain ada pengawal keselamatan sungai mengawasi pergerakan pelancong.

Ada dua jambatan gantung merentangi sungai, sebuah khas untuk pelancong, manakala sebuah lagi untuk kegunaan penduduk kampung dan menariknya kelihatan penduduk kampung menyandang beg tradisional dikenali `wakid' dalam bahasa Kadazandusun membawa balik hasil kebun.

Mengekalkan keaslian budaya, warisan bangsa

Bagi yang gemar memanggang ikan atau ayam, ada peralatan khas disediakan. Tidak jauh dari Kampung Talungan adalah Kampung Bangkahak Lama dengan penduduknya masih tegar mengekalkan keaslian budaya warisan bangsa.

Mungkin pelik bagi orang luar Sabah, tetapi keunikan orang Sabah apabila dalam sebuah keluarga kacukan lebih tiga etnik.

Malah, penulis sendiri selain berketurunan Bajau dan Kadazandusun, ada juga darah etnik Iranun.

Pelancongan Eko Tagal Kampung Talungan, Kota Belud memiliki destinasi sesuai dipanggil 'keindahan yang tersembunyi' seperti Pelancongan Tagal Kampung Lingkubang, pusat pelancongan Air Terjun Sayap setinggi 15.24 meter dan Bukit Bongol yang baharu diterokai sebagai destinasi pelancongan lasak.

Panorama alam di Kampung Nanamun

Selain itu, Inap Desa Taginambur Jaya, pusat pelancongan Kampung Rajunah, Tamu Taginambur dan banyak lagi destinasi terutama kawasan sungai, air terjun, kuala dan pantai yang menjadi daya tarikan pengunjung ke pekan dikenali Cowboys of the East dikaitkan etnik Bajau.

Bagi yang berminat belayar di kuala sambil menikmati panorama kelip-kelip dan monyet bangkatan atau Proboscis monkey pula boleh mengunjungi Borneo Mataid terletak di pinggir Sungai Kawang-Kawang, Kampung Nanamun.

Kausar Agrotourism milik Kausar Farm pula menawarkan pakej pelancongan menyusuri Sungai Kawa-Kawa, selain pengalaman memancing serta menjala ikan dan menyaksikan panorama ladang lembu.

FAKTA

* 30 minit - Perjalanan dari pekan Kota Belud ke Pelancongan Eko Tagal Kampung Talungan

* 15 km - Jarak dari pekan Kota Belud

* 70 km - Jarak Kota Kinabalu ke Kota Belud.

INFO

  • MAS, AirAsia dan Malindo Air menawarkan penerbangan terus dari Kuala Lumpur - Kota Kinabalu - Kuala Lumpur

  • AirAsia juga menyediakan penerbangan dari Johor Bahru - Kota Kinabalu - Johor Bahru.

  • Perjalanan dari Kota Kinabalu ke Kota Belud mengambil masa sekitar sejam.
  • Berita Harian X